P

June 13, 2010

PERTOLONGAN ALLAH

HIDUP BERMASYARAKAT

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda :

Dan Allah sentiasa menolong hambaNya, selagi hambaNya berusaha menolong saudaranya.
Hadith riwayat Muslim.

PERINTAH ALLAH SUPAYA HIDUP BANTU MEMBANTU::

Firman Allah dalam suratul Maidah Ayat 2.

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).

Tanggung jawab membantu saudara sesama se agama dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w.,


Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ada lima lima perkara,

1 Pertama menjawab salam

2 Kedua menziarahinya apabila sakit,

3 Ketiga Mengiringi jenazahnya,

4 Keempat Memenuhi undangan

5 Kelima Mendoakan ketika bersin. Riwayat Bukhari.

Dalam hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda,

Hak seorang muslim ke atas muslim yang lain:

1- Bila bertemu ucapkan salam

2- Bila diundang tunaikanlah undangan

3- Bila dia minta nasihat, maka nasihatkanlah

4- Apabila dia bersin dan mengucapkan Alhamdulillah maka doakanlah, ‘yarhamkumullah’.

5- Bila ia sakit, ziarahilah.

6- Bila dia meninggalkan iringilah jenazahnya hingga ke kubur.

Riwayat Muslim.

TELADAN DARI SAHABAT

ABU Jahmin bin Khuzaifah r.a. berkata,

Dalam Peperangan Yarmuk aku telah pergi mencari saudara sepupuku yang berada di bahagian depan dalam satu pertempuran. Aku ada membawa sedikit air bersamaku.

Setelah memeriksa tentera yang syahid dan yang cedera, akhirnya aku menjumpai seorang tentera Islam yang cedera parah. Keadaannnya sangat teruk. Agak seketika baru aku dapat cam dia adalah sepupuku. Dia merintih kesakitan akibat cedera teruk.

Aku cuba memberi sedikit air yang aku bawa. Air itu hampir ku tuang ke mulutnya tiba-tiba terdengar suara seorang tentera mengerang kesakitan, tidak jauh dari kami.

Sepupuku segera memberi isyarat supaya aku segera pergi menolong tentera tersebut.

Tidak sampai hati aku meninggalkan sepupuku dalam keadaan kesakitan dan kehausan. Tetapi sepupuku terus memberi isyarat supaya aku segera pergi menolong tentera itu.

Akhirnya aku pun pergi mendapatkan tentera yang cedera parah itu. Rupanya dia adalah Hisyam bin Abi Al As. Aku cuba merawatnya dan memberi minum dengan bekalan yang aku bawa. Kepalanya diangkat dan mulutnya sudah ternganga, tiba-tiba terdengar jeritan yang kuat dari seorang lagi tentera tidak jauh dari situ. Jeritannya sungguh menimbulkan belas kasihan. Hisyam yang sedang dipangku itu segera memberi isyarat supaya pergi mendapatkan rakannya yang menjerit tadi.

Kata Abu Jahmin, ‘Aku bergegas ke sana, tetapi belum sempat aku sampai, dia sudah menghembuskan nafas akhirnya.

Abu Jahmin kembali mendapatkan Hisyam, tetapi sungguh sedih, dia juga sudah syahid. Dua orang sahabat tidak dapat aku selamatkan.

Aku segera bergegas ke tempat aku tinggalkan sepupuku tadi dengan harapan dapat aku selamatkannya.

Alangkah sedihnya aku, bila mendapati dia juga telah syahid. (Kisah para sahabat – Fadhail Amal).

Demikianlah semangat patriot para syuhada zaman Rasulullah s.a.w. Walaupun mereka cedera parah dan dalam keadaan nazak, tetapi mereka lebih rela menolong saudara dari mendahulukan diri sendiri.

PENGAJARAN

Allah bersifat maha pengasih lagi maha penyayang

Bantu membantu dalam perkara kebajikan adalah dituntut

Allah sentiasa memberi ganjaran kepada mereka yang membantu saudaranya

Tidak boleh berputus asa memohon pertolongan dari Allah