P

June 20, 2010

KERANA MASA

KERANA MASA MANUSIA KECEWA

Ibn Umar r.a. berkata, ‘Jika engkau berada di waktu petang , maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan bila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu waktu petang. Dan gunakanlah masa sihatmu untuk masa sakitmu dan dari hidupmu bagi masa matimu.

(Riwayat Bukhari).

Setiap orang dikehendaki berhati-hati dan berhemah menggunakan masa yang diperuntukkan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t.,

1. Demi Masa!

2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

3. kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al Asr 1-3

Rasulullah s.a.w. mengingatkan tentang masa:

‘Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara yang lain:

1- Masa muda sebelum masa tua

2- Masa sihat sebelum datang masa sakit

3- Masa kaya sebelum datang masa papa

4- Masa lapang sebelum datang masa sibuk

5- Masa masih hidup sebelum datng maut.

Riwayat Tarmizi.

MASA MUDA

Ambillah peluang belajar sebanyak-banyak ilmu di masa muda. Cita-cita masih tinggi dan semangat masih berkobar-kobar.

Lebihkan ibadat di masa muda, kerana tenaga masih kuat. Semasa tua kesihatan selalu terganggu. Amalan fardhu pun tidak dapat disempurnakan, apatalah lagi yang sunat.

MASA SIHAT

Semasa anggota masih sihat dan segar bugar, maka gunakan segala kesempatan untuk kebajikan diri. Ketika badan sihat tiada halangann meningkatkan ibadat, kecuali malas. Semasa sihat sentiasalah bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t.

MASA BERADA

Di masa kaya dan berada, peluang terbuka luas untuk pelbagai ibadat yang tidak dapat dilakukan ketika miskin. Dengan biaya yang besar pelbagai ibadat dapat dilakukan untuk mendapat keridhaan Allah seumpama menunaikan haji, wakaf harta, menubuhkan dana, membina sekolah, hospital dan pusat-pusat kebajikan serta pengajian tinggi.

MASA LAPANG

Gunakan masa lapang untuk pekerjaan berfaedah. Elakkan menangguh-nangguh urusan walaupun yang paling mudah. Aturkan urusan menurut keutamaan berasaskan syarak.

MASA HIDUP

Ingatlah, semasa hiduplah peluang untuk melakukan segala amal. Apabila maut tiba, terputuslah segala kesempatan dan masa untuk beramal ibadat kepada Allah. Ingatlah Allah walaupun izrail sudah berada di sisi.

Sabda Rasulsullah:

Apabila mati Anak Adam, maka terputuslah amalannya. Kecuali tiga perkara:

Sedekah Jariah

Ilmu yang dimanfaatkan

Anak Salih yang mendoakannya.

Riwayat Muslim

Sabda Baginda lagi,

‘Kamu hari ini berada dalam di kampung amal, bukan kampung untuk hisab. Esok kamu berada di kampung akhirat, tiada peluang untuk beramal. Riwayat Baihaqi.

Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah s.a.w.,

‘Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya?

Baginda menjawab,

‘Yaitu engkau bersedekah ketika engkau dalam keadaan sihat, dalam keadaan engkau sangat sayangkan harta, ketika engkau takut akan jadi papa kerana sedekah itu dan ketika engkau berangan hendak jadi kaya raya. Janganlah bertangguh untuk bersedekah hingga nyawa sampai dihalkum. Waktu itu engkau berkata hendak bersedekah untuk sifulan sekian banyak, untuk sifulan sekian banyak dan untuk sifulan telah ditentukan. Riwayat Bukhari.

WISEL PENAMAT

Firman Allah SWT

. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila sampai tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya".

Surah Yunus 49.

MASA TERAKHIR

Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila sampai tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya".

Surah Al Aaraf ayat 34