P

March 31, 2009

APABILA MATI ANAK ADAM

BERAMAL SEMASA HIDUP

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

‘Apabila mati seseorang anak Adam, putuslah pahala amalannya, kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat atau anak yang saleh yang mendoakannya.
(Riwayat Imam Ahmad)

Manusia selepas Nabi Adam disebut sebagai ‘anak adam’. Ini sebagai satu penghormatan kepadanya.

Setiap perbuatan manusia diberi ganjaran atau balasan. Perbuatan baik diberi balasan baik dan perbuatan jahat akan diberi balasan jahat. Semasa manusia itu hidup, peluang melakukan kebaikan dan kebajikan adalah luas. Amal perbuatannya, yang baik dan yang jahat, dicatit oleh dua malaikat: Atid dan Raqib.

Apabila dia mati, maka habislah tempoh dan peluang untuknya berbuat kebajikan. Tidak ada peluang dia mendapat pahala kecuali dengan tiga perkara.

Pertama, dia masih mendapat pahala hasil dari perbuatannya bersedekah jariah semasa dia hidup. Sedekah jariah ialah sedekah yang berkekalan. Misalnya dia mewakafkan tanah untuk didirikan masjid atau lain-lain kegunaan umat Islam.

Kedua, dia masih mendapat pahala hasil dari ilmu yang baik yang diajarkannya kepada orang lain sewaktu dia hidup dahulu.

Ketiga, dia masih mendapat pahala dari anak-anaknya yang saleh yang mendoakan dirinya.

PENGAJARAN

* Setiap yang bernyawa pasti akan mati.
* Apabila manusia mati, tidak ada peluang untuknya berbuat amal.
* Apabila manusia mati, dia masih mendapat pahala melalui tiga perkara: sedekah jariah semasa hidup, ilmu bermanfaat yang dijarkannya dan doa dari anak-anak yang soleh.
* Semasa hidup hendaklah memperbanyak amal.
* Anak hendaklah dididik menjadi anak yang saleh supaya mendoakan ibu bapanya.