P

March 4, 2009

IKHLAS DALAM IBADAT

LURUS NIAT KERANA ALLAH

Dalam setiap amal ibadat, ikhlaskan hati bahawa semuanya adalah untuk dan kerana Allah semata-mata.
Hadis berikut mengisahkan kesan dari amal perbuatan seseorang yang dilakukan hanya untuk tujuan duniawi.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya,
'Sesungguhnya di antara yang mula-mula dibicarakan pada hari kiamat kelak ialah orang yang gugur syahid. Dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Maka Allah menyatakan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada orang itu.
Maka orang itu mengakui telah menerimanya. Kemudian Allah bertanya kepdanya, 'Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?

Jawab orang itu, 'Aku berperang kerana mematuhi perintahMu hingga aku gugur mati syahid.'
Allah berfirman, 'Engkau berdusta. Engkau berperang supaya mendapat gelaran 'gagah berani'. Dan engkau telah pun mendapat gelaran demikian.
Kemudian dia dihukum dan diseret dalam keadaan tertiarap. Lalu dihumban ke dalam neraka.

Orang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al Quran, dipanggil pula menghadap Allah s.w.t. Allah menyatakan tentang segala nikmat yang telah diberikan kepadanya. Dia mengakui telah menerima nikmat-nikmat itu.
Allah bertanya kepadanya, 'Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?

Maka jawabnya, 'Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya, serta membaca Al Quran kerana meangharapkan keredhaanMu.'
Allah berfirman, 'Engkau berdusta, engkau mempelajari ilmu dengan tujuan supaya orang mengatakan engkau itu 'orang alim'. Engkau mempelajari dan membaca Al Quran dengan tujuan supaya orang mengatakan engkau 'Qari'. Dan engkau telah pun mendapat gelaran itu.'

Kemudian dia dihukum. Lalu diseret dengan keadaan tertiarap dan dihumban ke dalam neraka.

Orang yang dimewahkan oleh Allah dengan berbagai harta kekayaan, dibawa menghadap Allah s.w.t. Allah menyatakan nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan kepadanya. Lalu dia mengakui telah menerimanya.
Allah bertanya kepadanya, 'Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?

Maka jawabnya, 'Segala jalan yang Engkau sukai telah aku belanjakan untuknya?

Allah berfirman, 'Engkau berdusta. Tetapi engkau belanjakan kekayaanmu dengan tujuan supaya orang mengatakan 'engkau orang dermawan'. Engkau telah mendapat gelaran itu.'

Kemudian dia di hukum. Lalu diseret dengan keadaan tertiarap dan dihumban ke dalam neraka.
Hadith riwayat Muslilm, Tirmizi dan An Nassai.