P

May 5, 2011

TELADAN PENDIDIKAN ROHANI

DIALOG KHALIFAH UMAR - ANAK DERHAKA

Setengah ibu bapa kerap merungut kerana anak-anak degil, tidak mendengar kata, jauh sekali mengikut nasihat.
Berikut adalah sedutan kisah yang wajar jadi teladan.
Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang menemui Khalifah Umar Al Khattab r.a. Dia mengadukan hal rumah tangganya. Keadaan keluarganya yang kucar kacir. Anaknya sentiasa derhaka kepadanya.

Khalifah meneliti kes lelaki berkenaan dan akhirnya memanggil untuk soal siasat anak tersebut. Anak itu dengan berani menyatakan isi hatinya kepada Khalifah Umar tentang latar belakang dan kelakuan ayahnya.

'Wahai Amirul Mukminin! Apakah anak tidak mempunyai hak atas ayahnya?
Jawab Saidina Umar, 'Memang ada.'
Anak tersebut bertanya lagi, 'Apa dia, wahai Amirul Mukminin?
Umar menjawab, 'Memilih ibu yang baik, memberi nama yang baik, dan mengajarkan membaca Al Quran.

Lepas seketika anak itu bertanya pula, 'Wahai Amirul Mukminin, Sesungguhnya ayah saya tidak melakukan walau satu pun dari perkara tersebut. Ibu saya bangsa Afrika. Dulu isterinya seorang Majusi. Saya diberinya nama Khunfusa (Lipas). Dia tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al Quran.
Mendengar jawapan dalam bentuk bantahan dari anak itu, maka Khalifah memandang muka lelaki yang datang mengadu. Tembelang telah dibuka oleh anaknya sendiri.
Khalifah Umar lalu berkata, 'Engkau mengatakan anakmu derhaka, padahal engkau telah menderhakainya. Engkau telah memalukannya sebelum engkau dimalukannya. (Abdullah Nasih Ulwan -Tarbiatul Aulad)