P

May 7, 2011

MINTA IZIN BERZINA


IMAM Ahmad meriwayatkan bahawa pada suatu ketika seorang pemuda telah datang menemui Nabi Muhammad s.a.w.

Dia bertanya dengan soalan yang amat memeranjatkan.
‘Wahai Nabi Allah! Bolehkah tuan membenarkan aku berzina?

Para sahabat dan orang ramai jadi kecoh dan heboh. Ada yang mengutuk dan ada yang mencaci pemuda itu. Timbul satu kemarahan di kalangan mereka akibat soalan yang dikira celupar itu.

Nabi s.a.w. memanggil pemuda itu duduk hampir dengannya. Pemuda itu merasa tenang kerana Nabi memanggilnya dengan hormat, sedangkan orang lain memandangnya dalam keadaan yang membimbangkan.

Pemuda itu lalu segera hampir kepada Nabi s.a.w. dengan penuh yakin.
Nabi bertanya kepadanya, ‘Apakah engkau suka kalau ibumu sendiri dizina orang?

Anak muda itu macam terkejut. Namun dia menjawab dengan tegas dan berani, ‘Tidak sama sekali. Muga-muga hendaknya perkara itu dijauhkan Tuhan.
Nabi s.a.w. terus menjelaskan, ‘Begitulah pula orang lain, tiada suka ibu-ibu mereka dizina.’

Kemudian Nabi s.a.w. mengajukan pertanyaan lagi, ‘Apakah engkau setuju anak-anak perempuan engkau dizina orang?
Pemuda itu terus menjawab, ‘Tentu sekali tidak. Minta dijauhkan Tuhan dari berlaku perkara tersebut.

Kemudian Baginda s.a.w. bersabda lagi, ‘Demikianlah juga orang lain tidak suka anak perempuan mereka dizina orang.

Baginda s.a.w. pun bertanya lagi kepada pemuda tersebut, ‘Adakah engkau suka adik-beradik perempuan engkau dizina orang?

Pemuda itu segera menjawab, ‘Tidak sekali-kali, mintak di jauhkan Tuhan.

Baginda menjelaskan, ‘Demikian pula semua orang tidak suka saudar-saudara perempuan mereka berzina.

Baginda bertanya lagi sama ada pemuda itu suka sepupu-sepupu perempuannya dari sebelah ibu dan sebelah ayah, dizina orang.

Tiap kali ditanya, pemuda itu menjawab menafikannya. ‘Tidak suka, tidak suka.’
Soalan demi soalan yang dikemukakan Baginda s.a.w. memberi keinsafan kepada pemuda tersebut.

Baginda menyimpulkan sesi pertanyaan itu dengan meletakkan tangannya di dada pemuda tersebut. Baginda berusaha menenangkannya.

Baginda lalu bersabda, ‘Ya Allah ya tuhan kami, sucikanlah hatinya, ampunkanlah dosanya dan peliharalah kemaluannya.

Pemuda itu bangun meninggalkan Baginda dengan suatu keyakinan baru. Tidak ada diatas dunia yang paling dibencinya selain dari perbuatan zina. (Tarbiatul Awlad – Nasih Ulwan).


DARUL QURAN WASSUNNAH, Lot 2021 Jenderam Hulu, Sepang, Malaysia menyediakan pengajian al Quran untuk semua peringkat umur. Tel. 60192396355.

TEROKAI ilmu di: Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com - darulghufran.blogspot.com