P

January 22, 2011

TAKUT DITIMPA GUNUNG

DOSA: dari kacamata berbeza

Dari Abdullah r.a. Nabi s.a.w. bersabda,

‘Bahawa orang yang beriman memandang dosanya seolah-olah ia duduk di bawah gunung, ia takut ditimpanya. Orang yang yang jahat melihat dosanya bagai lalat yang lalu di hidungnya. Lalu kastanya ‘Begini’ sambil tangannya menghalau lalat dengan tangannya.

Riwayat Bukhari

(Mukhtasar Ibn Abi Jamrah)

Rasa takut kepada Allah adalah kekuatan Iman. Percaya kepada kekuasaanNya. Beriman dengan segala balasan amalan yang dilakukan, sama ada kecil atau pun besar.

Sebahagian manusia membuat penilaian berbeza tentang dosa. Ada dosa besar ada dosa kecil. Dengan itu timbul gerun berhadapan dosa besar. Kurang takut meninggalkan dosa kecil.

Dengan fikiran waras tidakkah merasa bahawa kedua-duanya masih dalam lingkungan dosa. Sedangkan melakukan dosa itu tanda keingkaran kepada Allah s.w.t.

Sindiran hadith ini amat tajam. Orang yang beriman lagi bertaqwa melihat sesuatu dosa itu bagai gunung yang akan menimpanya. Sedangkan orang yang biasa melakukan kejahatan menganggap dosa hanya bagai seekor lalat yang boleh dihalau dengan jari tangannya.