P

December 27, 2010

MASUK RUMAH BERSAMA SYAITAN

ADA TEMPAT TINGGAL DAN MAKAN MALAM

Dari Jabir r.a. dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda,

‘Apabila seseorang membaca bismillah ketika masuk rumah dan ketika hendak makan, maka syaitan berkata kepada kawannya, ‘Malam ini tidak ada tempat kalian bermalam dan tidak ada habuan makan malam.’

Apabila orang itu tidak menyebut bismillah ketika masuk rumah maka syaitan berkata kepada kawannya, ‘Malam ini kalian ada tempat bermalam.’

Dan apabila orang itu tidak membaca bismillah ketika hendak makan, syaitan berkata kepada kawannya, ‘Kini kamu dapat tempat tinggal beserta makan malam.’

Riwayat Muslim.

Hadith ini menyatakan kejahatan yang dilakukan oleh syaitan dan sekutunya terhadap manusia yang lalai. Syaitan sentiasa mengekori manusia kemana sahaja ia pergil.

Sekiranya manusia lupa berzikir dan berdoa ketika masuk ke dalam rumamnya, maka pasti syaitan akan ikut serta. Inilah peluang dan ketika syaitan bebas tinggal di dalam rumah bersama penghuninya.

Para syaitan bukan sekadar ikut masuk ke dalam rumah, malah dia menjalankan kerjanya mengganggu isi rumah. Suami diganggunya hingga benci kepada isteri. Isteri dihasutnya hingga cemburu buta dan tidak percaya kepada suami. Anak diganggunya hingga jadi degil, keras kepada dan derhaka kepada ibu bapa.

Bapa dirasuknya hingga mendera anak. Kadang-kadang diperkosanya sekali.

Ibu dirangsangnya dengan pelbagai sifat mazmumah.

Akhirnya rumah tangga jadi porak peranda.

PENGAJARAN


1. - Hendaklah sentiasa berzikir, ingat kepada Allah dalam apa keadaan sekalipun.

2. - Setiap kali masuk ke dalam rumah, walaupun rumah sendiri, hendaklah memberi salam, berdoa dan membaca bismillahirrahmanirrahim.

3. - Setiap kali hendak makan, bacalah doa mohon keberkatan dari Allah dan membaca bismillahirrahmanirrahim.

4. - Syaitan sentiasa menunggu peluang dan ketika untuk menyesatkan manusia.

5. - Hendaklah sentiasa memohon perlindungan Allah s.w.t. dari gangguan syaitan dan konco-konconya.

6. - Sentiasalah menganggap syaitan itu sebagai musuh manusia.

December 17, 2010

PILIHLAH ANAK DARA

BERHATI-HATI dalam memilih jodoh, kerana pasangan hidup bukan untuk sehari dua, atau setahun dua.

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Pilihlah tempat jatuh air manimu (pasangan hidup) dan kahwinlah orang yang sekufu’.

Dalam hadith yang lain dinyatakan Baginda s.a.w.,

‘Pilihlah tempat tumpah air manimu, kerana sesungguhnya urat itu mempengaruhi.’

Riwayat Ibn Majah (Nasih Ulwan).

Calon pasangan yang membesar dari kalangan orang soleh adalah digalakkan menjadi pilihan mendirikan rumah tangga.

Sabda Baginda s.a.w.,

‘Nikahilah orang yang soleh , kerana urat itu mempengaruhi.

Hadith-hadith tersebut menganjurkan kepada mereka yang hendak berkahwin supaya memilih pasangan yang berpegang kepada ajaran agama Islam dan hidup serta membesar dalam kalangan orang-orang yang soleh dan terhormat. Rahsianya ialah apabila mendapat anak, maka mereka terbiasa dengan pendidikan Islam dan dalam suasana akhlak mulia serta mewarisi tabiat dan budaya yang baik.

Seorang anak yang dilahirkan akan mewarisi kedua ibu bapanya dalam hal kelakuan, bentuk fizikal dan bentuk pemikirannya.

Rasulullah juga menggalakan lelaki memilih pasangan dari kalangan perawan (dara).

‘Pilihlah yang perawan, kerana sesungguhnya mereka itu lemah lembut kata-katanya, boleh melahirkan anak yang banyak, kurang tipuhelahnya, dan sentiasa memada dengan yang sedikit.

(Ibn Majah dan Baihaqi).

Suatu ketika Baginda s.a.w. bertanya kepada Jabir,

‘Pernahkah engkau kahwin sebelum ini?

‘Pernah.’ Kata Jabir.

‘Janda ke dara?

‘Janda, ya Rasulullah’

‘Mengapa tak pilih anak dara. Engkau boleh bermesra dengannya, dan diapun mesra denganmu!

Jawab Jabir, ‘Duhai ya Rasulullah, ayahku gugur syahid di perang Uhud, Dia meninggalkan tujuh anak perempuan. Sebab itu aku berkahwin dengan wanita yang dapat memelihara serta mengurus keperluan anak-anak itu.

‘Engkau telah melakukan sesuatu yang baik dan benar.’ Jelas Rasulullah s.a.w.t

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Email: wadenko@yahoo.com

December 16, 2010

PILIH JODOH YANG SESUAI

EMPAT perkara yang menjadi pilihan ketika orang hendak mendirikan rumahtangga. Sabda Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Wanita dinikahi dengan empat sebab. Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah mereka yang mempunyai agama. Selamat tanganmu. (Hadith Bukhari).

Itulah panduan memilih jodoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Anas r.a. pula menerangkan bagaimana risiko orang yang tidak menurut nasihat Baginda dalam memilih jodoh.

Sabda Baginda s.a.w., kata Anas,
'Barangsiapa yang menikahi wanita kerana ketinggian darjatnya, nescaya Allah tidak menambah kecuali kehinaan kepadanya. Barangsiapa yang menikahi wanita kerana hartanya, nescaya Allah tidak menambah kecuali kepapaan kepadanya. Barangsiapa yang menikahi wanita kerana keturunanya, nescara Allah tidak menambah kecuali kerendahan kepadanya. dan barangsiapa yang menikahi wanita tiada diharap melainkan supaya dapat ditutup pandangan dan memellihara kemaluan, dan memelihara silaturrahim, nescaya Allah memberi berkat kepadanya dan memberi berkat bagi wanita itu.(Abdullah Nasih Ulwan).

kamalzin@yahoo.com

December 9, 2010

MOTIVASI KELUARGA

JURAIJ ANAK DERHAKA

JURAIJ adalah seorang yang sangat kuat beribadat. Dia meninggalkan membina pondok ibadat dari tanah jauh dari kesibukan kampungnya. Dia beruzlah supaya dapat beribadah tanpa sebarang gangguan. Dia tidak menghiraukan ibunya.

Suatu hari ibunya datang minta pertolongan sedang dia sembahyang. Dikatakan dia hanya sembahyang sunat. Salam ibu tidak dijawabnya walaupun berulang-ulang.

Katanya, ‘Wahai tuhanku, sembahyangku atau ibuku.’

Dia terus sembahyang tanpa menghiraukan ibunya.

Akhirnya ibu itu berdoa, ‘Wahai Tuhan, janganlah engkau matikan dia melainkan setelah ditemukan dengan perempuan-perempuan lacur.

Ditakdirkan suatu hari seorang perempuan jahat datang menemui Juraij untuk berbuat maksiat. Juraij menolak permintaan perempuan itu walau diajak berulang kali. Perempuan itu tidak berpuas hati kerana tidak dapat menggoda Juraij.

Dia lalu menemui seorang gembala ternakan dan melakukan maksiat dengannya. Akhirnya dia hamil hasil kejahatannya bersama gembala itu.

Perempuan jahat itu memberitahu orang ramai, bayi yang dilahirkannya adalah anak Juraij. Orang ramai naik marah, kerana menyangka Juraij hanya berpura-pura baik. Mereka meruntuhkan pondok ibadat Juraij sambil memaki hamun dan mencercanya.

Juraij lalu berwudhuk dan sembahyang sunat dan berdoa kepada Allah. Dengan takdir Allah bayi itu boleh bercakap. Jurai bertanya kepadanya, ‘Siapakah bapamu yang sebenar?

Kata bayi itu, ‘Bapaku si gembala ternakan!

Mendengar jawapan itu, orang ramai insaf dan menyesal atas perbuatan meruntuh pondok Juraij dan menghinanya. Mereka berjanji akan membina semula pondok itu daripada emas. Tetapi Juraij mahukan hanya daripada tanah seperti yang asal.

PENGAJARAN:

Balasan derhaka kepada ibu, bukan saja di akhirat, malah di dunia pun sudah mula dirasai.

Doa ibu bapa terhadap anak-anak adalah sangat mujarrab.

Perkara yang hak lambat laun akan terselah juga.

Tuduhan melulu menimbulkan penyesalan.

Tindakan melulu melahirkan permusuhan dan kekecohan.





email: wadenko@yahoo.com

December 8, 2010

HIJRAH KERANA CINTA


HATIB BIN BALTAAH seorang pemuda Mekah, jatuh cinta dengan Ummu Qais yang juga berasal dari Mekah. Dia berusaha memikat jelitawan itu, namun cintanya tidak berbalas.

Apabila turun perintah umat Islam berhijrah ke Madinah, Ummu Qais turut sama berhijrah. Tinggallah Hatib di Mekah.

Hatib tidak tahan lama berpisah dengan orang yang dicintainya. Akhirnya dia pun berhijrah ke Madinah menemui Ummu Qais dan mengajaknya bernikah.

Terbukalah pintu hati Ummu Qais dek kesanggupan Hatib turut berhijrah. Mereka nikah. Beritanya tersebar, Hatib hijrah kerana nak kahwin. Cerita disampaikan kepada Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda,

‘Sesungguhnya sesuatu amal itu bergantung kepada niat. Dan bagi tiap-tiap seorang itu apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang hijrahnya untuk Allah dan Rasulnya, maka hijrahNya adalah untuk Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya adalah untuk apa yang dia hijrahkan. (Hadith Bukhari dan Muslim).

- D Dari buku Kuliah Subuh, Syed Isa Semait, Singapura 1982.

-

December 5, 2010

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1432

DENGAN PENUH AZAM MENJADI INSAN KAMIL, AMAN DARI GANGGUAN SYAITAN, ILTIZAM DENGAN SEGALA AMAR MAKRUF NAHI MUNKAR DAN SENTIASA DILANDASAN SIRATAL MUSTAQIM.

AMIN YA RABBAL ALAMIN
KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIR.