P

December 27, 2010

MASUK RUMAH BERSAMA SYAITAN

ADA TEMPAT TINGGAL DAN MAKAN MALAM

Dari Jabir r.a. dia mendengar Nabi s.a.w. bersabda,

‘Apabila seseorang membaca bismillah ketika masuk rumah dan ketika hendak makan, maka syaitan berkata kepada kawannya, ‘Malam ini tidak ada tempat kalian bermalam dan tidak ada habuan makan malam.’

Apabila orang itu tidak menyebut bismillah ketika masuk rumah maka syaitan berkata kepada kawannya, ‘Malam ini kalian ada tempat bermalam.’

Dan apabila orang itu tidak membaca bismillah ketika hendak makan, syaitan berkata kepada kawannya, ‘Kini kamu dapat tempat tinggal beserta makan malam.’

Riwayat Muslim.

Hadith ini menyatakan kejahatan yang dilakukan oleh syaitan dan sekutunya terhadap manusia yang lalai. Syaitan sentiasa mengekori manusia kemana sahaja ia pergil.

Sekiranya manusia lupa berzikir dan berdoa ketika masuk ke dalam rumamnya, maka pasti syaitan akan ikut serta. Inilah peluang dan ketika syaitan bebas tinggal di dalam rumah bersama penghuninya.

Para syaitan bukan sekadar ikut masuk ke dalam rumah, malah dia menjalankan kerjanya mengganggu isi rumah. Suami diganggunya hingga benci kepada isteri. Isteri dihasutnya hingga cemburu buta dan tidak percaya kepada suami. Anak diganggunya hingga jadi degil, keras kepada dan derhaka kepada ibu bapa.

Bapa dirasuknya hingga mendera anak. Kadang-kadang diperkosanya sekali.

Ibu dirangsangnya dengan pelbagai sifat mazmumah.

Akhirnya rumah tangga jadi porak peranda.

PENGAJARAN


1. - Hendaklah sentiasa berzikir, ingat kepada Allah dalam apa keadaan sekalipun.

2. - Setiap kali masuk ke dalam rumah, walaupun rumah sendiri, hendaklah memberi salam, berdoa dan membaca bismillahirrahmanirrahim.

3. - Setiap kali hendak makan, bacalah doa mohon keberkatan dari Allah dan membaca bismillahirrahmanirrahim.

4. - Syaitan sentiasa menunggu peluang dan ketika untuk menyesatkan manusia.

5. - Hendaklah sentiasa memohon perlindungan Allah s.w.t. dari gangguan syaitan dan konco-konconya.

6. - Sentiasalah menganggap syaitan itu sebagai musuh manusia.