P

May 15, 2010

GANJARAN MENOLONG SAUDARA

MELEPASKAN KESUSAHAN ORANG LAIN

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW, yang bersabda :

" Barangsiapa yang melapangkan seorang mukmin, suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskan dirinya suatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan di hari kiamat.
Riwayat Muslim.

Di dalam dunia ini banyak kesusahan. Di akhirat (hari kiamat) juga banyak kesusahan. Sesiapa yang menolong saudaranya melepaskan satu dari kesusahannya di dunia itu, maka Allah akan menolongnya melepaskan satu dari kesushan yang dihadapinya di hari akhirat.

Manusia ini sememangnya bersifat lemah. Sebahagian dari kesusahan dunia tidak upaya dihadapinya bersendirian. Hanya dengan pertolongan orang lain baru dia berupaya menghindarkan kesusahan itu. Oleh kerana itu dia perlu kepada pertolongan orang lain.

Di sinilah letaknya nilai iman seorang Islam. Orang beriman itu adalah bersaudara diantara satu sama lain.

Firman Allah s.w.t.

'Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Surah Al Hujurat ayat 10.

Orang Islam yang beriman itu sifatnya sentiasa menolong saudaranya

Tanggung jawab menolong saudara itu akan hanya timbul melalui nilai iman.

Ini dikuatkan lagi dengan saranan dari Rasulullah s,a,w,

La yukminu ahadukum hatta yuhibba li akhihi ba yuhibbu li nafsihi. (Syaikhan)

'Tidak beriman seorang dari kamu hinggalah dia kasihkan saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.

Orang yang mengasihi saudaranya, sudah pasti sentiasa sanggup menolong saudaranya melepaskan sebarang kesusahan yang ada padanya.

Firman Allalh s.w.t.,

'Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.

Surah Al Maidah ayat 2

Rasulullah s.a.w. mengukuhkan lagi persaudaraan orang-orang beriman itu dengan sabdanya,

Mathalul al mukminin fi tawaddihim wa tarahumihim...

‘Bandingan orang mukmin dalam berkasih sayang dan kemesraan adalah seperti sebatang tubuh. Bila salah satu dari anggota merintih kesakitan, maka segala anggota lain akan turut sama berjaga malam dan juga demam. (riwayat Shaikhan).

GANJARAN MENOLONG SAUDRA

KATA Abu Musa Al Ash’ari, apabila ada orang datang kepada Rasulullah s.a.w. meminta atau memohon sesuatu hajat, baginda bersabda,

Ishfa’uu tu’jaruu

‘Usahakanlah menolongnya, nescaya kamu mendapat pahala.’

(riwayat Bukhari). Mustika 3:350

HADITH YANG HAMPIR SAMA MAKSUD

MAN KANA FI HAJATI AKHIHI KANA LLAHU TAALA FI HAJATIHI

(Riwayat Ahmad)

‘Barangsiapa yang menolong memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan memenuhi hajatnya pula. (Riwayat Ahmad)

Pengajaran:

1. Hadith ini mengajar manusia hidup bermasyarakat.

2. masyarakat yang baik adalah masyarkat yang bantu membantu antara satu sama lain.

3. Islam menggalakkan umatnya sentiasa meningkatkan hubungan ukhuwah dan silaturrahim melalui sifat suka menolong dan membantu orang lain.

4. setiap amalan kebajikan yang dilakukan orang beriman tetap menerima ganjaran setimpal di hari akhirat kelak.

5. menolong saudara dalam kesusahan dan dalam masa kecemasan adalah satu ujian keimanan kepada seorang yang beriman.

nnn