P

February 14, 2010

MENEBUS DOSA

IRINGI KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

DARI ABU ZAR Jundab bin Junadah dan Abu Abdur Rahman Muaz bin Jabal , DARI Rasululah s.a.w. Baginda bersabda,

‘Bertaqwalah kepada Allah s.w.t. di mana saja kamu berada. Iringi perbuatan jahatmu itu dengan perbuatan baik. Yang baik itu akan menghapus yang jahat. Bergaullah dengan manusia dengan budi pekerti (akhlak) yang baik.

Riwayat Tirmizi.

MANUSIA sentiasa terdedah kepada hasutan dan godaan syaitan. Syaitan telah berjanji akan menjerumuskan manusia.
Dia telah berjanji dengan Allah untuk menyelewengkan umat manusia seluruhnya.

‘Sesungguhnya akan aku sesatkan mereka semuanya (Surah Sad 82)

‘Aku akan datang memperdaya mereka dari hadapan dan dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka sehingga kebanyakan mereka tidak berterima kasih kepada Engkau.
(Surah Al A’araf 17)

Hasil hasutan dan godaan syaitan inilah manusia banyak yang terpesong dari landasan hidup yang telah digariskann oleh Islam.

Ingatlah sumpah syaitan itu, kerana setiap manusia tidak akan terlepas dari perangkap dan tipu helahnya, kecuali yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Sayugia diingat manusia itu sendiri mempunyai nafsu yang suka kepada perkara-perkara jahat.

‘Sesungguhnya nafsu itu sangat mengarah kepada kejahatan, kecuali yang dirahmati oleh Tuhanku, kerana sesungguhnya Tuhanku maha pengampun penyayang.’
(Surah Yusuf 53)

Dengan yang demikian mudah sajalah syaitan melalaikan manusia.
Malah dalam semua hal syaitanlah penghalang utama kepada manusia yang mahu bertaqwa.

Bagi orang-orang yang bertaqwa akan segera insaf selepas melakukan sebarang kesalahan. Mereka akan menyesali diri sendiri atas semua kesalahan yanag dilakukan dan terus berhenti dari perbuatan itu. Kemudian mereka berazam tidak akan mengulanginya lagi dimasa akan datang.

Para ulama memberi panduan bertaubat itu dengan tiga syarat:
- Berhenti dari melakukannya
- Menyesal atas perbuatan tersebut
- Berazam tidak akan mengulanginya.
Sebagai tambahan, seseorang yang telah melakukan ketiga-tiga perkara itu eloklah diusahakan meningkatkan amalan dengan lebih berlipat ganda lagi.

Ini sesuai dengan jaminan Allah dalam firmanNya,

Sesungguhnya perbuatan baik itu menghapus perbuatan jahat.’

(Surah Hud 114)

PENGAJARAN

Dari mafhum hadith tersebut dapat diambil beberapa pengajaran:

- Manusia memang ada melakukan kesilapan dalam hidupnya sejak dari zaman Adam a.s.
- Kesilapan manusia melakukan kejahatan adalah hasutan dari syaitan dan kerana kelemahan imannya sendiri.
- Setelah melakukan kesilapan, hendaklah segera bertaubat kepada Allah dan terus melakukan perkara kebaikan termasuk menunaikan segala perkara fardhu.
- Dalam diri manusia memang ada kecenderungan berbuat jahat, maka ia perlu dikawal. Jika tidak, maka rosaklah manusia itu.


email: kamalzin@yahoo.com
facebook: kamaluddin mad zin