P

February 6, 2010

FADHILAT BELAJAR AL QURAN

Uthman r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, orang yang terbaik di kalangan kamu ialah yang mempelajari Al Quran dan
Mengajarkannya.
(Riwayat Bukhari).

Hadith ini menyatakan bahawa usaha mempelajari Al Quran dan mengajarkannya adalah usaha yang sangat terpuji.

Dari pemahaman hadith ini, kedua-dua pihak yang belajar dan yang mengajarkan Al Quran itu mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.

SUNGGUH-SUNGGUH PELAJARI AL QURAN

Aisyah r.ha berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Yang mahir Al Quran berada di kalangan malaikat-malaikat yang mulia. Orang yang tidak lancar, tersekat-sekat ketika membaca Al Quran maka ia mendapat ganjaran dua kali ganda.

(Riwayat Bukhari).

Hadith ini menyatakan tingginya darjat orang yang mahir dalam membaca Al Quran. Hidup di kalangan malaikat bermakna kita dikelilingi para malaikat. Dengan itu kita tidak dapat diganggu jin dan juga syaitan.

Selain dari itu, hadith ini juga menyanjung tinggi orang yang bersungguh-sungguh belajar Al Quran walau pun dalam keadaan tergagap-gagap.

Ini memberi motivasi dan galakan kepada orang yang kurang kemampuan menguasai Al Quran supaya tidak mudah berputus asa ketika belajar. Dengan dua ganjaran itu menambahkan lagi semangatnya untuk terus belajar, walaupun mengalami beberapa kesukaran.

Abu Said r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda.

‘Sesiapa yang membaca satu huruf dari Al Quran akan diberikan kepadanya satu kebajikan. Satu kebajikan itu menyamai sepuluh gandaan pahala. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf. Bahkan alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim pun satu huruf.
Riwayat Tirmizi.

Hadith ini merupakan satu lagi galakan untuk mempelajari dan terus membaca Al Quran.
Ia menggambarkan hebatnya ganjaran bagi orang yang membaca Al quran, berbanding membaca bahan-bahan lain.

Membaca bahan-bahan lain dari Al Quran mengganggu emosi, menimbulkan perasaan kurang senang dan kemarahan.
Sebaliknya membaca Al Quran selain dari mendapat pahala, ia mendatangkan ketenangan hati.

‘Ketahwilah, bahawa dengan zikrullah tenang tenteramlah hati manusia.’
(Ar Ra’ad 28)- Ibnu kathier 4:518
Imam Nawawi dalam bab zikir menyebut, termasuk dalam takrif zikir ialah membaca ayat-ayat Al Quran. (Al Azkar).


KELEBIHAN MEMBACA Al QURAN

IBNU Umar berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Hati-hati manusia berkarat seperti besi berkarat kerana terkena air.’

Seseorang bertanya kepada Baginda,
‘Apa ubatnya supaya kembali bersinar ya Rasulullah?

Baginda menjawab.
‘Selalulah ingatkan mati dan juga selalu membaca Al Quran.
(Riwayat Baihaqi)


Disediakan oleh Haji Kamaluddin Md. Zin.
Email- kamalzin@yahoo.com –
facebook: kamaluddin mad zin.
Blog – http://albaiyinah.blogspot.com