P

September 1, 2009

BERBUKA DENGAN TAMAR ATAU AIR SEJUK


BERBUKA DENGAN TAMAR ATAU AIR SEJUK



Dari Salman bin ‘Amir As Sabiy r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya,

“Apabila seseorang dari kamu berbuka puasa hendaklah ia berbuka dengan buah tamar, kerana ia ada berkatnya. Jika tidak ada tamar maka berbukalah dengan air sejuk, kerana ia bersih lagi membersihkan (Tahur).
(Riwayat Abu Daud dan Tarmizi).



Orang yang berpuasa, menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Dianggarkan selama lebih 17 jam perutnya kosong. Maka dengan itu amat sesuai makanan yang lembut penuh berkhasiat dimakan pada masa berbuka puasa.

Hadith ini menerangkan bahawa berbuka puasa dengan tamar itu adalah dituntut, malah ia menjadi amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Baginda menerangkan bahawa dalam tamar itu ada keberkatan.

Amat luas makna keberkatan itu kerana ia adalah rezeki dari Allah dan juga kerana ia adalah tanaman padang pasir yang tahan begitu lama. Ia mengandungi pelbagai bahan dan zat yang diperlukan oleh tubuh badan manusia.

Ilmu perubatan menyatakan bahawa ia menjadi makanan penghadam yang utama di dalam perut manusia.

Sebagai pilihan kedua ketika berbuka dengan ketiadaan tamar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya meminum air sejuk dan bukannya air lain yang bercampur pelbagai bahan-bahan seperti kopi, teh, gula atau air batu.

Rasulullah menjelaskan bahawa air sejuk itu lebih utama kerana ia bersifat bersih (tahur) dan berupaya membersihkan. Dalam ilmu perubatan pun, manusia digalakkan meminum air sejuk kerana ia membantu proses membersihkan usus dan untuk membersihkan perjalanan darah.



PENGAJARAN


Ibadah puasa mengandungi banyak hikmat. Salah satu darinya ialah untuk meningkatkan ketakwaan.

Ibadah puasa juga menjamin kesihatan manusia.

Islam menganjurkan penganutnya mengawal makanan dan kesihatan melalui ibadah puasa.

Islam menggalakkan penganutnya mengambil makanan berkhasiat untuk kesihatan.

Buah-buahan dan air bersih adalah bahan penting untuk keperluan tubuh badan manusia.