P

January 30, 2010

LANDASAN IMAN

Dari Abu Malik Al Harith bin ‘Asim AL Asy’ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabada,

‘Suci itu sebahagian dari iman. Alhamdulillah itu memenuhi timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah memenuhi atau memenuhi antara bumi dan langit. Sembahyang itu cahaya. Sedekah itu keterangan. Sabar itu sinaran. Al Quran itu hujjah (dalil) bagi engkau atau atas engkau. Tiap pagi ada manusia menjual dirinya, lalu dimerdekakannya atau dibinasakannya –
Hadith riwayat Muslim.

BERSUCI adalah perbuatan membersihkan diri dari hadath. Hadath besar atau hadath kecil. Dalam pengertian lain, mengangkat hadath bermaksud mengambil wudhuk selepas membersihkan hadath. Orang yang bersuci maksudnya orang yang telah ada wudhuk.

Dengan berwudhuk itu membolehkan seseorang melakukan ibadat, seumpama sembahyang, tawaf, menyentuh Al Quran. Sekaligus mnendekatkan diri kepada Allah. Mafhumnya kelakuan bersuci itu adalah untuk beribadat kepada Allah s.w.t.

Dengan kata lain, bersuci itu untuk tujuan beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Beribadat itu adalah salah satu tuntutan iman. Natijahnya bersuci itu adalah sebahagian dari iman.

Boleh juga dikatakan bersuci itu satu laluan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Membersih diri mengikut rukun syarat yang ditentukan tidak dilakukan melainkan hanya semata-mata bagi tujuan ibadah kepada Allah s.w.t.

Supaya kita sentiasa dapat mendekatkan diri kepada Allah, maka hendaklah tetap berada dalam keadaan suci, dan berada di tempat yang suci dari segala kemungkaran

SUCI atau kesucian menurut Imam Al Ghazali, adalah berkaitan dengan kesucian atau kebersihan hati (kebersihan batin) daripada sifat mazmumah; khianat, curang, dengki, dendam dan seumpamanya.

Iman yang sempurna adalah dengan kesucian dan kebersihan hati dari segala noda maksiat.

Menurutnya barangsiapa yang mengucap dua kalimah syahadah mendapat sebahagian iman. Jika diikuti dengan bersih hatinya daripada sifat yang kotor maka sempurnalah imannya

Dari mafhum hadith tersebut jelas bahawa suci hati itulah yang melonjakkan seseorang melakukan amal salih dengan ikhlas dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.

Dengan itu Rasulullah langsung mengaitkan kesucian itu dengan lafaz ‘Alhamdulillah’. Subhanallah, sembahyang, sedekah, sabar dan al Quran.


1- Ucapan Alhamdulillah
Ganjaran pahala diberi kepada yang mengucapkannya dan melaksanakan tuntutannya. Ia memenuhi timbangan kebajikan di akhirat kelak.

Melaksanakan tuntutan Alhamdulillah ialah menggunakan segala nikmat Allah dijalan-jalan yang diridhaiNya. Itulah makna syukur.

2- Ucaan Subhanallah
Kedua-dua ucapan Alhamdulillah dan Subhanallah, selain dari memenuhi timbahan di akhirat kelak, ia juga memenuhi ruang antara langit dan bumi. Memberi gambaran amat banyaknya ganjaran yang dibalas kepada orang yang berzikir dengan dua kalimah itu, hingga ganjarannya memenuhi dari langit hingga ke bumi.

3- Sembahyang itu cahaya
Ertinya cahaya yang menerangi jalan hidup bagi orang yang mengerjakannya. Cahaya dari dunia hingga ke akhirat.
Ini bermakna orang yang tidak sembahyang, tiada baginya cahaya untuk menyuluh kehidupannya.
Orang yang tiada cahaya, berada dalam kegelapan.
Orang yang berada dalam kegelapan tidak akan berjaya sama ada di dunia maupun di akhirat.

4- Sedekah itu keterangan

Sedekah adalah menjadi bukti dan keterangan yang nyata dan kukuh bahawa seseorang itu sempurna imannya
Sedekah itu sama ada yang sunat atau yang wajib (zakat).
Harta adalah sangat disayangi oleh manusia. Apabila seseorang itu bersedekah yang wajib atau sunat, ia mengikis sifat tamak dan kedekut.

Mengeluarkan sedekah dengan ikhlas adalah tanda imannya yang kuat dan sempurna. Jika ia tidak ikhlas maka dia merasa hartanya akan berkurang dengan sedekah itu, maka sia-sialah ibadahnya.

5- Sabar itu sinaran
Sabar itu bermakna tahan menempuh ujian atau kesukaran.
Bentuk kesabaran;

1- Sabar melakukan perkara ketaatan
2- Sabar menjauhi maksiat, yang dilarang
3- Sabar diatas segala takdir yang datang

Sabar pada melakukan taat dan sabar meninggalkan maksiat adalah sangat utama dari sabar menerima takdir.

Kata Saidina Ali, tiga jenis sabar:

• sabar melakukan perkara taat ditulis 300 darjat
• sabar dari segala maksiat 900 darjat

Baginda Rasulullah s.a.w, menyebut bahawa puasa sebagai ibadat memupuk kesabaran – bulan Ramadhan dinyatakannya sebagai bulan kesabaran.

6- Al Quran sebagai hujjah kepada engkau atau atas engkau

Ia menjadi hujjah untuk menolong seseorang di hari akhirat. Al Quran datang kepada tuannya di hari akhirat memberi syafaat.

Al Quran akan menjadi hujah atasnya terhadap segala kejahatan yang dilakukannya.

7- Menjual diri
Manusia bangun di pagi hari, ada yang menjual dirinya kepada Allah dengan beramal salih. Dengan itu dia merdeka dari azab
Allah swt. Malah ramai yang sanggup mati di medan perang untuk mendapat syahid.

Ada juga manusia bangun pagi lalu menjualkan dirinya kepada syaitan dan hawa nafsunya. Dengan itu dia membinasakan dirinya

Ada manusia berusaha memperbaiki dirinya.
Ada manusia berusaha membinasakan dirinya
Disinilah letak pentingnya suci dan bersih hati yang menjadi sebahagian dari iman.

Haji Kamaluddin Md Zin
email: kamalzin@yahoo.com
facebook; kamaluddin mad zin
blog: http://albaiyinah.blogspot.com

January 18, 2010

TUTUR KATA YANG BAIK TANDA IMAN

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda.


‘Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata yang baik atau hendaklah diam saja.

(Riwayat Bukhari dan Muslim – Al Azkar 660)

Percakapan atau pertuturan adalah penting bagi manusia. Ia adalah alat perhubungan dalam kehidupan. Melalui pertuturan manusia dapat memahami antara satu sama lain. Pertuturan boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan.

Pertuturan yang mendatangkan kebaikan adalah bermanfaat kepada manusia. Sebaliknya pertuturan yang mendatangkan keburukan adalah membinasakan manusia itu sendiri.

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. mengaitkan kata-kata yang baik itu dengan iman. Ini kerana kata-kata yang baik mendapat ganjaran baik di akirat, sementara kata-kata yang tidak elok kelak akan mendapat ganjaran buruk.

Oleh kerana itu hendaklah kita selalu bertutur perkara yang baik. Jika tidak maka adalah lebih elok berdiam diri sahaja. Supaya dengan itu kita akan selamat dari sebarang dosa dan azab akhirat.


SENARAI SEMAKAN

Ada beberapa senarai semakan yang boleh dilihat untuk jadi panduan harian mengawal lidah.

Lidah yang baik digunakan untuk:

1- Zikir: tasbih (subhanallah)
tahmid (alhamdulillah)
takbir (allahu akbar)
tahlil (la ilaha illallah)

2- Istigfar

3- Tilawatul quran

4- Nasihat

5- Sebarkan salam

6 Tunjuk ajar

PENGAJARAN

1. Setiap amalan manusia akan dihisab di hari akhirat kelak termasuk tutur katanya.

2. Tutur kata yang baik diberi ganjaran pahala manakala tutur kata yang buruk akan mendapat dosa.


3. Umat Islam hendaklah sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak mendatangkan bencana kepada diri dan orang lain.


4. Tutur kata yang tidak baik boleh menjejaskan akidah dan keimanan

Sentiasalah berhati-hati ketika bertutur.


Wallahu aalam.

January 15, 2010

TIGA MENGIRINGI JENAZAH

Alangkah ramainya orang mengiringi jenazah, sekiranya yang mati itu orang kenamaan. (VIP ATAU VVIP?). Apakah motif atau tujuan mereka mengiringi jenazah; sama ada ke kubur atau hanya datang berziarah.

Adakah menjadi satu kemegahan kepada keluarga si mati, kalau ramai orang datang menjenguk kali terakhir itu?

Adakah keluarga si mati merasa sedih kalau tidak berapa orang yang datang berziarah, kerana si mati bukan orang popular?

Adakah ramai orang datang berziarah itu boleh memberi apa-apa manfaat kepada si mati?

Atau adakah sedikit orang yang datang itu boleh meringankan dosa atau pembalasan kepada si mati?

Ada tiga jenis yang mengiringi jenazah ke kubur.

Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Tiga yang akan mengiringi orang mati hingga ke kuburnya. Dua daripadanya akan balik dan yang tinggal bersama mayat hanyalah satu. Dia diiringi keluarganya, hartanya dan amalannya. Keluarga dan hartanya akan pulang. Tinggallah amalannya bersama-samanya.

- Riwayat Bukhari Muslim, Tirmzi dan An Nassai.

Hadith ini menjelaskan keadaan apabila seseorang meninggal dunia. Menurut kelazimannya, selepas jenazah dimandikan , di kapankan dan disembahyangkan, ia akan diusung ke tanah perkuburan.

Dia diikuti oleh tiga perkara: Pertama kaum keluarga, sahabat handai dan rakan sekerjanya.

Kedua, diikuti oleh hartanya. Mungkin kereta dan lain-lain kelengkapannya semasa hidup (Termasuk segala bintang darjah kebesarannya).

Ketiga, dia diikuti juga oleh segala amalannya semasa hayatnya.

Dua terdahulu itu akan kembali selepas selesai urusan pengkebumian mayatya. Yang tinggal bersamanya di dalam kubur ialah amalannya. Kiranya amalan yang dibawanya berupa kebajikan, maka berbahagialah dia. Jika sebaliknya, maka akan disiksalah dia.

Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda,

'Bila mati seorang anak Adam, putuslah amalannya, kecuali tiga perkara.
1. Sedekah jariahnya
2. Ilmu yang memberi manfaat yang diajarkannya
3. Anak salih yang mendoakannya.
Riwayat Muslim.

Tiga perkara inilah yang boleh menolongnya diakhirat kelak.


Allah maha mengetahwi.

January 14, 2010

APA LAGI NAK DISEDEKAH

SELAIN DARI WANG RINGGIT, HARTA BENDA ATAU BARANGAN, apa lagi yang yang boleh disedekahkan untuk dapat pahala?

Banyak lagi yang boleh disedekahkan
Tenaga, kata-kata ucapan atau gerak anggota badan.

Abu Hurairah menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Tiap anggota manusia ada sedekah padanya tiap hari matahari terbit. engkau berlaku adil, mendamaikan dua ihak yang bersengketa adalah sedekah.
Menolong orang menaikkan barang ke atas kenderaannya adalah sedekah
Ucapan kalimah taiyibah adalah sedekah
Tiap langkah kaki untuk pergi sembahyang adalah sedekah
Tiap usaha membuang bahaya dijalan adalah sedekah.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Aisyah menceritakan,

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa,

'Setiap insan diciptakan Alah s.w.t. dengan tulang sendi sebanyak 360. Maka sesiapa yang mengucapkan Allahu Akbar, atau Al Hamdulillah, atau Lailaha illallah, Subhanallah, Astaghfirullah, atau membuang batu atau duri atau tulang yang menghalang perjalanan manusia, atau dia melakukan amar makruf nahi munkar sebanyak bilangann anggotanya itu, maka dia akan berjalan dimuka bumi dalam keadaan selamat dapat menjauhkan diri dari api neraka. Riwayat Muslim.

Gerakkan setiap anggota hingga boleh mendatangkan pahala sedekah.

Jari telunjuk boleh mendatangkan pahala sedekah jika diarah untuk menunjuk jalan bagi orang yang sesat.

Boleh mendapat dosa juga bila diguna untuk menuduh dan mengutuk orang.

Lidah membawa banyak pahala. Selain dari zikir, ucapkan kata mulia, santun bahasan dan yang menggembirkan orang dalam berduka.

Kaki bukanlah untuk menendang dan menerajang orang. Pahala datang kalau ia disuruh membawa tuannya ke masjid atau tempat pengajian.

Alangkah banyaknya anggota lain yang boleh menolong kita di akhirat kelak dengan pahala sedekah.

Allah lebih mengetahui.

MUDAH DAPAT PAHALA SEDEKAH

TIDAK ADA APA YANG HENDAK DISEDEKAHKAN

SAYA bukan orang kaya. Bukan hartawan atau usahawan yang banyak wang. Orang banyak duit bolehlah derma sana sedekah sini.

Benarkah begitu?

Ikuti kisah ini.

Sekumpulan para sahabat mendatangi Rasulullah s.a.w. lalu berkata,

'Ya Rasulullah, orang hartawan mendapat pahala yang banyak. Mereka mendirikan sembahyang seperti kami mendirikannya, mereka berpuasa macam kami juga. Mereka bersedekah dengan harta mereka yang banyak.

Para sahabat itu seolah camburu kerana tidak ada peluang untuk beramal yang dapat pahala sedekah.

Rasulullah bersabda kepada mereka,

'Sesungguhnya Allah telah menjadikan untuk kalian perkara yang membolehkan dapat pahala sedekah.

Tiap ucapan tasbih dapat sedekah.
Ucapan tahmid dapat sedekah
Ucapan tahlil la ilaha illallahm - dapat sedekah.
Buat amar makruf dapat sedekah
Buat nahi munkar dapat sedekah


Pada alat sulit kamu pun ada sedekah.

Sahabat bagaikan terkejut mendengar ayat terakhir itu. Lantas bertanya.

''Wahai Rasulullah, adakah seseorang mendatangi isterinya untuk memuaskan nafsunya itu dapat pahala sedekah?

Baginda menjawab,

'Cuba kamu fikir, kalau diletakkan di tempat haram, dosa tak?
Maka begitulah, jika diletak pada tempat yang halal, tentulah mendapat pahala.

Riwayat Muslim.

January 13, 2010

UNTUK APA SEDEKAH ITU?

HIJAB DARI API NERAKA, MENOLAK BALA, MENGIKIS SIFAT SOMBONG


ABU HURAIRAH pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

'Khabarkan kepadaku sesuatu amal bila aku lakukan, maka aku dimasukkan ke dalam syurga.

Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab,

'Beri makanlah (fakir miskin dan anak yatim, ucapkan swalam, hubungkan silaturahim, sembahyang malam (tahajud) ketika manusia lain sedang tidur. Engkau dimasukkan ke dalam syurga dengan selamat.

Maksudnya adalah bersedekah dengan memberi jamuan kepada yang tidak berada: fakir, miskin, anak yatim, orang melarat atau musafir sabilillah.

Amr bin Auf berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Sedekah seorang Islam itu melanjutkan usia dan mencegah kematiann dalam keadaan buruk. Allah menghapuskan sifat bangga diri dan takbur dalam dirinya.

Riwayat Tabarani.

Kata JABIR, dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Puasa itu adalah perisai, sedangkan sedekah itu menghapus dosa bagaikan air memadam api.
Riwayat Abu Ya'ala.

Puasa yang sangat hebat menjadi perisai bagi seseorang dari segala perbuatan jahat,
sedangkan sedekahnya pula menjadi penghapus dosa akibat dari amalah mungkar yang terlanjur dilakukan.

Alangkah beruntungnya orang yang berpuasa dan bersedekah.

Memang amat bernasib baik para dermawan yang bersedekah. Ada lagi yang lebih hebat.

Kata Anas bin Malik,

Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Hendaklah kamu sekelian segera bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkahi sedekah.'

Riwayat Baihaqi

Inilah jaminan sangat bermakna dalam kehidupan muslim. Dengan bersedekah, tertolak
segala bala yang mendatang. Insya Allah.

Bagaimana pula kehidupan di akhirat bagi orang-orang yang bersedekah?

'Tiap orang adalah dibawah naungan sedekahnya, sehinggalah selesai upacara menentukan hukuman'.
Riwayat Imam Ahmad

Maimunah binti Saad bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

'Ya Rasulullah, Tolong terangkan kepada kami tentang sedekah.

Rasulullah menjawab,

'Sesungguhnya sedekah itu adalah pendinding (hijab) dari api neraka bagi orang yang ikhlas mengharap pahala Allah s.w.t. dalam sedekahnya.
Riwayat Tabarani.

January 12, 2010

MANA HARTAKU

SEMASA DIDUNIA manusia asyik membilang harta-hartanya.

Ini bangloku
Ini MBku
Ini ladangku
Ini ... milkikku
Ini ... kepunyaanku.

Apakah semua itu miliknya?
Hak kepunyaannya?

Sabda Rasulullah s.a.w.,

'Harta seseorang itu tiga macam:
Apa yang dimakan dan diminum, habislah.
Apa yang dipakai (rumah, kereta atau lainnya) habis lusuh
Apa yang disedekahkan, itulah simpanan tetap.
Yang lainnya habis dan habuan orang lain (waris).

(riwayat Muslim).


Sebilangan manusia sangat sayang harta hingga menjadi bakhil dan kedekut. Cinta dunia.

Andai hartanya seluas satu wadi -lembah- maka dia hendak satu lembah lagi.

Dalam harta yang dimiliki sebenarnya ada hak orang lain -lapan asnaf-
Tunaikan hak mereka.

Dalam hadith Qudsi Allah memerintahkan,
'Wahai anak Adam
Belanjakan -dijalan kebajikan- sebagai simpanan di sisiKu
Nescaya ia selamat dari kebakaran, tenggelam, atau dicuri samun
Aku pulangkan ketika engkau sangat memerlukannya.
R. Attabarani.

Manusia sangat cinta harta.
Adakah hartanya membelanya selepas dia menghembuskan nafas terkahir?

Rasulullah bersabda,

'Apabila mati anak Adam, putuslah amalannya. Kecuali tiga perkara yang berlanjutan pahalanya:

Sedekah jariah semasa hayatnya, ilmu yang baik yang diajarkannya dan anaknya yang salih mendoakannya. R.Imam Ahmad.

MENANGGUHKAN SEDEKAH?

Alangkah sia-sianya.

Baginda s.a.w. memberi amaran,
Akan datang suatu zaman, orang mengusung emas kesana kemari untuk disedekahkan. tetapi tidak ada yang hendak menerimanya, kerana mereka semua hidup mewah. R. Bukhari.

Bila lagi nak bersedekah?

'Bersedekahlah ketika keadaan sihat dan sangat sayangkan harta. Ketika engkau sangat takutkan jadi papa. Janganlah bertangguh-tangguh, sehingga nyawa sampai DIHALKUM barulah engkau menentukan,
'Untuk si anu sekian, untuk si anu sekian'
Sedang untuk si anu sudah ada bahagiannya.

R. Bukhari.

January 11, 2010

PANJANG ANGAN-ANGAN

DARI ABU HURAIRAH R.A.
Bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda,
'Hati orang tua itu tetap sentiasa muda dalam dua perkara:
Kasihkan Harta dan Panjang angan-angan.

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan dua perkara ini menjadi lumrah dalam kehidupan manusia.

Manusia tetap cintakan harta dunia walaupun usianya sudah di penghujung. Dia seolah tidak mau berpisah dengan harta dunia.

Selain itu dia juga sentiasa mempunyai banyak angan-angan.

Dua perkara inilah yang sentiasa merugikan manusia kerana ia selamanya hanyut dalam melayan kehendak dua perkara tersebut. Masa habis dengan sia-sia, sedang amalan salih tidak bertambah.

Firman Allah s.w.t.,

'Sesungguhnya manusia di dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman serta beramal salih. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran'.
Surah Al Asr.

January 10, 2010

EMPAT SOALAN BUKAN CEPU MAS

INI EMPAT SOALAN BUKAN CEPU MAS. JAWAPANNYA BUKAN SEKARANG.

Dari Abu Barzah Al Aslami, dari Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda,

'Tidak berganjak kedua kaki seseorang hamba pada hari kiamat kecuali selepas ditanhya:

Tentang umur kemana dihabiskan,

Tentng ilmu, apa yang diperbuat dengannya

Tentang harta dari mana didapat dan kemana dibelanja

Tentang kesihatan badan kemana dipergunakan.


Hadith riwayat Tarmizi.


Dalam perbicaraan mahkamah dunia manusia boleh terlepas dari hukuman. Malah ada kalanya bebas dari tunduhan ke atasnya, kerana pedakwa gagal menimbulkan KERAGUAN.

Ada pula ketikanya hukuman gantung yang diputuskan oleh satu mahkamah tidak dapat dijalankan kerana ada mahkamah lain lebih tinggi yang menukar keputusan hakim.

Dengan sedikit pindaan pertuduhan seseorang kena tuduh boleh terlepas tali gantung.

Dengan demikian keadilan sebenarnya tidak dapat ditegakkan.
Di akhirat kelak segala persoalan akan terjawab. Yang zalim menerima balasan, yang kena zalim akan terbela.

Segala pertuduhan tidak akan dipinda lagi.
Setiap satu tindakan akan dipersoal dan dihakimi

Untuk apa umur yang diberi: apakah pengisiannya sepanjang hidup?

Ilmu yang dikurniakan Allah untuk apa dipergunakan. Adakah daya intelek itu benar-benar bermanfaat dan dimanfaatkan.

Rezki yang melimpah ruah hingga mendapat gelaran jutawan, dari mana didapat dan kemanakah dibelanjakan. Ke jalan kerosakan atau kebajikan?

Dipenghujung hadith Rasulullah s.a.w. menyebut, badan yang segar bugar, gemuk ke kurus, kemana digunakan.

Badan gemuk dikuruskan, hendakkan cantik lawa atau hendakkan mudah bergerak dan beribadah.

Tubuh lansung dan ramping pinggang untuk menggoda atau menempah neraka kerana bergaya dan memperaga.

Bersedialah melengkapkan jawapan.

Hisablah diri, sebelum kita dihisab. email: wadenko@yahoo.com

January 8, 2010

CINTA RASUL TANDA IMAN SEMPURNA

DARI ANAS r.a. KATANYA, Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang dikasihinya melebihi kasihnya kepada ibu bapa, anak pinaknya dan juga manusia sekeliannya.

(Hadith riwayat Muslim).

Tanda kesempurnaan iman seseorang ialah cintanya kepada Rasulullah s.a.w. mengatasi cinta manusia lain, walau pun ibu bapanya sendiri.

Secara fitrahnya, memang manusia lebih mencintai ibu bapa sendiri berbanding manusia lain. Ini kerana ibu dan bapalah orang yang paling hampir dengannya sejak lahir.


Namun dalam hal aqidah atau iman,cinta kepada Rasulullah lebih utama dari cinta kepada mereka atau orang lain.


Jika seseorang inginkan iman yang sempurna, tidak ada apa-apa yang boleh menghalang cintanya kepada Rasulullah s.a.w.

Cinta kepada manusia lain berasaskan keperluan nafsu dan sosial. sedangkan cinta kepada Rasulullah adalah tunjang cinta kepada Allah yang maha berkuasa.


BAGAIMANA CINTA RASULULLAH

Orang bercinta sentiasa mengutamakan kehendak orang yang dicintanya.
Berkorban untuknya.
Mempertahankan maruahnya.

Cinta Rasulullah adalah menegakkan syariat Baginda.

January 7, 2010

KASIH DIRI KASIH SAUDARA

MENYAYANGI DIRI SENDIRI adalah sebahagian dari iman.

Abu Hamzah Anas bin Malik berkata, Nabi s.a.w. bersabda,

'Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.


Rasulullah s.a.w. menjelaskan, bahawa cinta kasih kepada saudara seagama adalah berkait rapat dengan keimanan seseorang. Cinta dan kasih kepada saudara adalah yang berasaskan agama bukan berasaskan nafsu dan kehendak sosial.

Cinta dan kasih kepada saudara adalah atas asas hidup bersama sebagai makhluk Allah dan ummat Nabi Muhmmad s.a.w.

Hidup bersaudara diperintahkan oleh Allah s.w.t. seperti dinyatakan dalam surah
Al Hujurat ayat 10,

'Sesunggguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara maka perkukuhkanlah persaudaraan itu.'

Dalam surah aali Imran, firmanNya lagi,

'berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.'

Apa yang kita cintai untuk diri kita?

Misalnya kita suka diri kita dilimpahi dengan nikmat. Kalau kita suka juga nikmat dilimpahkan kepada saudara kita, itu tanda sebahagian iman. Kalau kita suka nikmat hilang dari saudara kita, maknanya kita dengki akan saudara kita.

Kalau kita cinta hendak masuk syurga, kita doakan juga saudara kita masuk sama. Itu tandanya kita sama beriman. Tapi kalau kita kata. 'Biar dia masuk neraka.', maknanya kita busuk hati dan hilanglah sebahagian iman.

Memasukkan orang ke dalam neraka atau ke dalam syurga itu kerja Allah. Kita tidak ada hak langsung hendak masuk campur.

Marilah kita hidup dalam suasana kasih mesra sebagai tanda beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

January 6, 2010

RAJA DIHATI

Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Ketahwilah bahawa di dalam badan ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila rosak ia maka rosakla badan seluruhnya. Ketahwilah, itulah dia hati.
Hdith riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Abdullah an Nu'man.


HATI adalah membentuk hidup seseorang.

Hati ibarat raja kepada segala anggota. Dialah yang menggerak atau memberhentikan.

Hati yang baik menyebabkan semua anggota ikut jadi baik. Jika hati tidak baik yakni rosak, maka rosak semua anggota.

Hati yang baik adalah yang sentiasa:
Ingat kepada kebesaran Allah
Mematuhi perintahNya
Menjauhi laranganNya
Menghindari perkara-perkara Syubahat
takut jatuh kepada yang haram.

Dengan yang demikian maka anggota badan selamat. Terhenti dari melakukan yang ditegah.

Hati yang tidak bik atau rosak:

Dipengaruhi hawa nafsu
dipengaruhi oleh syahwat
tidak menunaikan perintah Allah s.w.t.
Melakukan yang dilarang
Melakukan yang syubhat.

Maka kesannya, rosak sekelian anggota badan hingga menyebabkan bencana kepada diri, akal dan kehormatan.

Hati adalah raja kepada sekelian anggota. taat dan patuh kepdanya.

Jika hati menjadi raja yang baik, maka semua anggota jadi angota yang baik.

Sebaliknya hati itu menjdi raja yang tidak baik (rosak) maka seluruh anggota jadi tidak baik dan rosak.

Iman yang lurus menggerakkan amal salih. Iman yang lurus datang dari hati yang lurus.


Sabda Nabi s.a.w.

Tidak lurus Iman seseorang hinggalah lurus lebih dahulu hatinya.

January 5, 2010

HATI YANG BERKARAT

ABDULLAH BIN UMAR meriwayatkan,

Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Hati manusia berkarat sebagaimana besi berkarat dek air'.

Sahabat bertanya,
'Apa ubatnya supaya ia bersinar?

Jawab Baginda, 'Ingatkan mati dan bacalah Al Quran'.

Hadis riwayat Al Baihaqi.

Antara punca hati rosak kata Imam Al Ghazali,

Hasad
Takbur
Bakhil
Suka bermegah
Marah
Kasih harta
Kasih dunia
Sombong
Ujub
Riya'

Lembutkanlah hati dengan:

Taat
Taubat
Takut
Zuhud
Sabar
Shukur
Tawakal
Redha
Ikhlas
Zikrul Maut.

January 4, 2010

JADILAH SEORANG PEDAGANG

Kata Ibn Umar r.a. Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda,
'Hendaklah engkau berada di dunia ini seolahnya engkau berdagang atau saeorang yang sedang mengembara.

Riwayat Al Bukhari.

Nasihat Baginda Rasulullah itu sangat bermakna. Renungkanlah dengan penuh keinsafan.

Kalau kita pedagang, kampung atau tanah air kita bukan disini, tetapi di akhirat sana.

Seorang pedagang sentiasa rindu akan kampung halamannya.
Dia sentiasa ingat dan yakin suatu masa nanti dia akan kembali. walau bagaimana hebatnya tempat berdagangnya, namun dia lebih suka untuk kembali ke kampungnya.

Orang berdagang tidak mudah leka dan lalai. dia sentiasa berusaha mencari bekal untuk di bawa balik.

Orang berdagang sentiasa ingat bahawa dia tidak akan lama di perantauan. suatu masa nanti pasti akan kambali juga.

Orang berdagang adalah mencari laba kerana itu dia hidup dengan santun yang tinggi, tidak sombong atau bongkak.

PENGEMBARA pula adalah orang yang sentiasa mengkaji dan meneliti kejadian serta ciptaan allah.

Dia kagum dan bersyukur melihat tanda-tanda keagungan Allah. Dia mengembara melihat kesan-kesan runtuhan tamadun manusia yang engkar kepada Allah.

Pengembara bukanlah pelancong yang hanya bersantai berhibur melupakan Maha Pencipta dan Maha berkuasa.

Pengembara bukan pelancong yang hanyut dalam keindahan semesta.

Ibnu Umar berkata,

'Kalau engkau berada di waktu petang janganlah tunggu waktu pagi. Jika engkau berada di waktu pagi janganlah bertangguh hingga waktu petang. Gunakanlah masa sihatmu sebelum sakit. Hidupmu sebelum maut. (al Bukhari).

Manusia sentiasa dalam kerugian kecuali yang beriman dan beramal salih, berpesan dengan hak dan berpesan dengan sabar. (Al Asr).

Sabda Rasulullah s.a.w.

'Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara,

Masa mudamu sebelum datang masa tua
Sihat sebelum sakit
kaya sebelum papa
Lapang sebelum sibuk
Hidup sebelum datang maut.

JADILAH pedagang atau pengembara.