P

January 7, 2010

KASIH DIRI KASIH SAUDARA

MENYAYANGI DIRI SENDIRI adalah sebahagian dari iman.

Abu Hamzah Anas bin Malik berkata, Nabi s.a.w. bersabda,

'Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya.

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.


Rasulullah s.a.w. menjelaskan, bahawa cinta kasih kepada saudara seagama adalah berkait rapat dengan keimanan seseorang. Cinta dan kasih kepada saudara adalah yang berasaskan agama bukan berasaskan nafsu dan kehendak sosial.

Cinta dan kasih kepada saudara adalah atas asas hidup bersama sebagai makhluk Allah dan ummat Nabi Muhmmad s.a.w.

Hidup bersaudara diperintahkan oleh Allah s.w.t. seperti dinyatakan dalam surah
Al Hujurat ayat 10,

'Sesunggguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara maka perkukuhkanlah persaudaraan itu.'

Dalam surah aali Imran, firmanNya lagi,

'berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.'

Apa yang kita cintai untuk diri kita?

Misalnya kita suka diri kita dilimpahi dengan nikmat. Kalau kita suka juga nikmat dilimpahkan kepada saudara kita, itu tanda sebahagian iman. Kalau kita suka nikmat hilang dari saudara kita, maknanya kita dengki akan saudara kita.

Kalau kita cinta hendak masuk syurga, kita doakan juga saudara kita masuk sama. Itu tandanya kita sama beriman. Tapi kalau kita kata. 'Biar dia masuk neraka.', maknanya kita busuk hati dan hilanglah sebahagian iman.

Memasukkan orang ke dalam neraka atau ke dalam syurga itu kerja Allah. Kita tidak ada hak langsung hendak masuk campur.

Marilah kita hidup dalam suasana kasih mesra sebagai tanda beriman kepada Allah dan hari Akhirat.