P

September 23, 2011

TIGA WASIAT RASULULLAH

Dari Abu Hurairah r.a. katanya,
'Rasulullalh s.a.w. berwasiat kepadaku dengan tiga perkara,
Pertama berpuasalalh tiga hari dalam sebulan
Kedua sembahayang dhuha dua rakaat
Ketiga sembahayang witirlah sebelum tidur.

Riwayat Bukhari (Mukhtasar Ibn Abi Jamrah)

September 9, 2011

JADILAH SEORANG PERANTAU

KAMPUNG KITA BUKAN DISINI

Dari Abdullah bin Umar r.a. katanya, ‘Rasulullah s.a.w. memegang bahuku, lalu bersabda, ‘Jadikanlah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau sebagai seorang musafir.’

Sejak dari itu Ibnu Umar r.a. berkata, ‘Apabila engkau berada di waktu petang maka janganlah engkau menunggu datangnya waktu pagi. Apabila engkau berada di waktu pagi janganlah engkau menunggu tibanya waktu petang. Ambillah peluang beramal semasa sihat sebellum datang masa sakit, ambillah peluang semasa hidup sebelum datang maut.’

Riwayat Bukhari.

Kalau kita seorang perantau, tentu dunia bukan kampung atau tanah air kita. Bukan tempat kekal kita. Kita tidak akan lama di sini. Kampung dan tanah air kita sebenar adalah akhirat. Kita di sini mencari bekalan untuk di bawa pulang.

Perantau sejati tidak akan leka di perantauan hingga ia kecundang.

September 8, 2011

DAHULUKAN MENGERJAKAN SOLAT

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

'Bahawa sesungguhnya yang seawal-awal dihisab amalan seorang hamba itu di hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya dilakukan dengan baik, maka beruntunglah dia. Jika solatnya rosak dan tidak diterima maka rugilah dia. Kiranya terkurang solat fardhunya maka Firman Allah s.w.t.. 'Cubalah periksa solat-solat sunatnya untuk menampung kekurangan yang fardhu.
Riwayat Tarmizi.


JELAS dari hadith ini bahawa amalan solat mestilah diberi keutamaan dalam apa keadaan sekali pun. Solat tidak boleh dicuaikan atau diabaikan.

Tidak ada perkara yang lebih utama dari solat, kerana ia adalah yang pertama sekali ditanya di hari akhirat kelak.

Utamakanlah solat dari segala urusan dunia.

September 7, 2011

TUJUH LINDUNGAN

PERLINDUNGAN ALLAH

Dari Abu Hurairah r.a. , dari Nabi s.a.w. Sabdanya,

‘Tujuh golongan yang mendapat lindungan di hari kiamat kelak yang tiada perlindungan selain dari perlindungan Allah. Mereka ialah:

Imam yang adil,

Pemuda yang hidup dalam lingkungan ibadat kepada tuhannya,

Orang yang sentiasa terikat hatinya di masjid,

Orang yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah

Lelaki yang dipujuk oleh jelita bangsawan dengan kata-kata ‘Aku takutkan Allah,

Orang yang bersedekah secara rahsia hingga tangan kiri tidak tau apa yang disedekahkan tangan kanan.

Orang yang mengingat Allah dalam bersendirian hingga mengalirkan air mata.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Imam yang adil maksudnya adalah para pemimpin ummah yang menjalankan hukum Allah.

Pemuda yang hidup dalam lingkungan ibadat kepada Tuhannya adalah generasi muda yang sentiasa memelihara cara hidup Islam dan mengamalkannya.

Orang yang hatinya terikat di masjid adalah jemaah masjid yang sentiasa mengimarahkannya bukan sahaja sebagai tempat ibadah malah merangkumi seluruh aktiviti kehidupan karyah.

Orang yang berkasih sayang bertemu antara satu sama lain hanya kerana mencari keridhaan Allah s.w.t. Mereka berpisah bukan kerana pertelingkahan atau pergaduhan, malah kerana mencari keridhaan Allah jua.

Orang yang digoda wanita bangsawan tidak mudah terjebak dalam perangkap syaitan.

Orang yang mengharap syurga sentiasa bersedekah secara rahsia, sehingga tidak diketahui tangan kiri apa yang disedekahkan tangan kanan.

Hamba yang tulus mengabdikan diri sentiasa bersunyian dalam zikir dan ibadah hingga menitiskan air mata kerana mengharapkan rahmat dan pengampunan Allah s.w.t.

PANJANG ANGAN

INGAT MASIH MUDA

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda,

‘hati orang tua sentiasa muda dalam dua hal: cinta dunia dan panjang angan-angan.’

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam hadith ini Baginda s.a.w. menjelaskan tentang sikap hidup manusia. Usia adalah anugerah Allah kepada manusia.

Usia manusia makin berkurang hari demi hari. Makin lanjut usianya maka makin kuranglah ia. Saat akhir usianya ialah apabila ia menghembuskan nafas terakhir dan kemballi kepada Allah s.w.t.

Walau pun usia semakin berkurang, tetapi ia disebut usia lanjut. Semakin lanjut ia, maka semakin kuranglah ia.

Dalam keadaan demikian dua perkara masih tetap merasa muda: sifat kasihkan dunia dan juga panjang angan-angan atau cita-cita.

September 6, 2011

SEGERA LAKUKAN AMAL

REBUT LIMA SEBELUM DATANG LIMA

Dari Amr bin Maimun al Audi r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara yang lain.

Muda sebelum datang masa tua,

Sihat sebelum datang masa sakit,

Kaya sebelum datang masa miskin,

Lapang sebelum datang masa sibuk,

Hidup sebelum datang maut.

Hadith riwayat Tarmizi.

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. menasihatkan supaya sentiasa melakukan amal pada masa yang sesuai dan mudah, bukan di masa terdesak atau kecemasan.

Lakukanlah amal sebanyak-banyaknya semasa masih muda, ketika tulang masih kuat dan tenaga masih gagah.

Lakukanlah amal sedaya upaya semasa kasih sihat. Jangan menanti masa akhir hingga badan sudah terlantar di katil, maka peluang beramal sudang berkurang.

Lakukanlah amal semasa kita berada atau kaya dengan banyak zakat, bersedekah dan memberi bantuan, sebelum kita jatuh miskin.

Lakukanlah amal semasa kita masih lapang sebelum datang masa sibuk dengan pelbagai urusan.

Lakukanlah amal semamsa kita masih hidup dan selagi bernafas.

September 3, 2011

4 SOALAN

KAKI TAK BERGANJAK

Dari Abu Barzah Al Aslami r.a. dari Nabi s.a.w. Baginda bersabda,
‘Tidak berganjak kaki seorang anak Adam pada hari kiamat sehinggalalh ia disoal terlebih dahulu tentang umurnya kemana dihabiskan, tentang ilmunya untuk apa digunakan, tentang hartanya dari mana didapati dan kemana dibelanjakan, tentang jasadnya untuk apa disusutkan.

Hadith riwayat Tarmizi.

Dalam hadith ini, keseluruhan hidup akan di persoal di hari akhirat kelak.

UMUR

Allah anugerahkan umur kepada setiap orang. Kemanakah umur dihabiskan. Umur ialah masa.

Manusia banyak menghabiskan masa dengan sia-sia. Kebanyakan mereka dalam kerugian kecuali yang beriman dan beramal salih (Surah Al Asri).

ILMU

Allah anugerahkan ilmu kepada manusia sejak dari Nabi Adam.

‘Dan Allah mengajarkan Adam segala nama (ilmu) - Surah Al Baqarah 31.

Untuk apakah digunakannya.

HARTA

Allah anugerahkan harta menggunung dan anak pinak kepada manusia.

(Al Israk 6).

Kemanakah dibelanjakannya?

KESIHATAN BADAN


Allah anugerahkan jasmani yang sihat. Untuk apa digunakan sehingga ia jadi susut?

Adakah untuk ibadat dan sabilillah atau untuk bersenang lenang dan maksiat?

Kesemua hal ini akan dipersoalkan secara terperinci sebelum seseorang menerima ganjaran selanjutnya.

September 1, 2011

360 SENDI PAHALA

UTAMAKAN KEBAJIKAN

DARI Aishah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Tiap insan diciptakan dalam bentuk tubuh badan yang terdiri dari 360 sendi. Maka barangsiapa yang bertakbir, bertahmid, bertahlil, bertasbih, beristighfar dan juga membuang batu dari tempat lalu orang, atau membuang duri atau tulang dari jalanan, atau menyuruh manusia berbuat baik, atau melarang dari perkara mungkar, sebanyak bilangan 360 sendi itu, maka ia telah mendapat pahala sedekah. Selamatlah dirinya dari api neraka.

Riwayat Muslim.

Demikianlah mudahnya umat Islam berbuat sesuatu amalan yang mendatangkan pahala. Inilah suatu ajaran mulia menghargai jasa seseorang yang melakukan kebajikan kepada dirinya dan kepada orang lain.

Islam mengajar umatnya hidup bermasyarakat. Setiap perbuatan baik adalah disanjung dan diberi ganjaran besar oleh Allah s.w.t.

Setiap sendi mendatangkan laba pahala jika digunakan untuk kebaikan. Sendi dijari telunjuk misalnya boleh mendatangkan pahala jika digunakan untuk menunjukkan jalan yang benar. Sebaliknya mendatangkan dosa jika digunakan untuk menunjukkan jalan yang salah.

3syawal 1432 - 1 sept 2011