P

June 24, 2011

GAYA HIDUP BERMASYARAKAT

PENDIDIKAN SOSIAL

Dalam pendidikan sosial, anak-anak hendaklah sentiasa diasuh memilih rakan, sahabat yang baik. Rasulullah s.a.w. mengingatkan supaya berhati-hati mencari kawan.
Sabdanya, ‘Seseorang itu dipandang (diukur) dengan orang yang didampinginya. Maka hendaklah kamu berhati-hati dengan siapa dia berkawan.
Riwayat Tarmizi.
Baginda bersabda lagi,
‘Bandingan teman yang salih dan teman yang jahat itu adalah seumpama orang yang menjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi, sama ada dia memberi minyak wangi, atau engkau membelinya, maka engkau dapat baunya yang enak. Seorang tukang besi mungkin menyebabkan bajumu terbakar atau pun engkau mendapat baunya yang hapak.
Riwayat Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Hak Muslim ke atas muslim lainnya ada lima:

1. membalas salam
2. menziarahi ketika sakit
3. mengiringi jenazahnya
4. memenuhi undangannya
5. mengucapkan rahmat kepada yang bersin. (R. Bukhari).

Abdullah bin Amru menyatakan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. ‘Islam bagaimanakah yang paling baik?
Baginda menjawab, ‘Hendaklah engkau memberi makan, memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan yang tidak engkau kenal.
Riwayat Bukhari.
MENGUCAPKAN YARHAMKALLAH

Sabda Nabi s.a..w.
‘Apabila seseorang bersin hendaklah dia mengucapkan Alhamdulillah. Orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan ‘yarhamkallah. Orang yang bersih itu hendaklah membalas, ‘Yahdikum wa yuslih balakum’.

Pendidikan sosial juga merangkumi kehidupan berkasih sayang satu sama lain.

MENZIARAHI ORANG SAKIT

Anak-anak sangat wajar dibawa menziarahi orang sakit, sama ada ahli keluarga, sahabat handai, jiran maupun kenalan jauh.

Allah memberi ganjaran tinggi kepada orang yang menziarahi pesakit.
Sabda Rasulullalh s.a.w.,
‘Barangsiapa menziarahi orang sakit atau menziarahi sahabat kerana Allah s.w.t., akan berteriak suatu suara, ‘Muga-muga engkau menjadi baik dan baik pula langkahmu, dan engkau telah memperolehi sebuah rumah di syurga.’
Riwayat Ibn Majah dan Tarmizi.
BERKASIH SAYANG

Hadith riwayat Muslim menyatakan sabda Baginda s.a.w.
‘Kalian tidak masuk syurga kecuali beriman, kalian tidak beriman kecuali hidup berkasih sayang. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu apa bila kamu lakukan pasti kamu berkasih sayang? Sebarkanlah salam sesama kalian. ‘

MEMBANTU DI KALA SUSAH

Tanamkanlah dalam jiwa anak-anak sifat suka membantu orang lain, khususnya saudara yang dalam kesusahan.
Ibn Umar membawakan hadith Rasulullah s.a.w.
‘Seorang Muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Tidak boleh menganiayainya, tidak boleh dibiarkan tanpa diberi bantuan dan pertolongan. Barangsiapa mengambil berat terhadap keperluan saudaranya, maka Allah akan mengambil berat terhadap keperluannya pula. Barangsiapa yang melepaskan seorang muslim dari suatu kesusahan, pasti Allah akan melepaskan daripadanya kesusahan-kesusahan hari akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seseorang muslim, pasti Allah menutup keaibannya di hari kiamat.
Riwayat Bukhari dan Muslim

MEMBERI HADIAH

Memberi hadiah adalah amalan yang sangat digalakkan. At Tabarani dalam kitabnya Al Ausat menyebut hadith Rasulullah s.a.w.,
‘Bertukar-tukar hadiahlah, pasti timbul rasa kasih sayang di kalangan kamu.’

At Tabarani dalam kitabnya juga mengutip kata-kata Aishah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Wahai para mukminat, saling bertukar hadiahlah, walaupun hanya kaki kambing, kerana yang demikian itu menimbulkan rasa kasih sayang dan menghapuskan sifat dengki mendengki.

Ad Dailamy juga membawakan hadith dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Hendaklah kamu memberi hadiah, kerana yang demikian itu membangkitkan rasa kasih sayang dan menghapuskan hasad dengki.’

Selanjutnya dalam hadith yang lain, Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda,
‘Berjabat salamlah, kerana ia menghapus rasa dengki. Bertukar hadiahlah, kamu akan berkasih sayang. Dan terhapuslah rasa permusuhan. (Imam Malik dalam al Muwatta’).
Alangkah baiknya jika anak-anak juga diberi hadiah sebagai ganjaran dan galakan, setiap kali dia berjaya atau melepasi suatu halangan atau kesulitan.


MENCIUM TANGAN
Anak-anak hendaklah dibiasakan dengan adab bermasyarakat termasuk kebiasaan mencium tangan orang tua dan orang-orang yang dihormati. Adab seperti ini meninggalkan kesan mendalam. Dengan itu dia sentiasa bersifat merendah diri, menghormati orang yang lebih tua dan orang yang berkedudukan.
Ada beberapa pentunjuk sebagai asas amalan ini.

Imam Bukhari dan Imam Ahmad dalam kitab al Adab As Saghir telah menyebutkan hal ini. Abu Daud dan Ibnul Arabi pernah menyertai rombongan Abdul Qaith. Katanya, ‘Apabila kami tiba saja di Madinah, kami pun berlumba turun dari kenderaan lalu mendapatkan Nabi s.a.w. serta mencium tangan dan kaki baginda.
Imam Bukhari dalam kitab Adab Al Mufrad meriwayatkan dari Wazik bin Amir, katanya ‘Setelah kita tiba, kita pun ditunjuk kepada Rasulullah s.a.w.. Maka kita pun menangkap tangannya dan kakinya serta menciumnya.
Al Bukhari juga meriwayatkan dalam Al Mufrad daripada Suhaib, katanya, Saya lihat Ali mencium tangan Al Abbas dan kedua belah kakinya.

Al Hafiz Abu Bakar Al Muqirri telah mengeluarkan dari Abu Malik Al Ashja’i, katanya, ‘Saya telah berkata kepada Ibn Abi Aufa: Berikanlah tanganmu yang telah membaiat Nabi s.a.w. Maka diberikannya tangannya. Lalu saya pun menciumnya.


Dari apa yang dinyatakan dalam Al Quran dan As Sunnah dapat dibuat beberapa kesimpulan.

KESIMPULAN
Intisari dari pendidikan sosial ini ialah:
1. mendidik manusia bertaqwa
2. menanam nilai ukhuwah
3. melaksanakan gaya hidup berkasih sayang
4. memelihara nilai hidup jamaah.





TEROKAI ilmu di: Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com - darulghufran.blogspot.com

June 21, 2011

BANYAK CAKAP MENGHALANG TAQWA

BANYAK CAKAP
Sifat suka banyak cakap adalah dicela syara’. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t.
‘Tidak ada kebajikan kepada perbuatan membanyakkan perkataan, melainkan orang yang menyuruh berbuat sedekah (perkara baik) atau makruf atau mendamaikan manusia yang bersengketa.
Surah An Nisak 114
Mafhum dari ayat ini jelas bahawa banyak cakap adalah sia-sia dan tidak mendapat apa-apa kebajikan daripadanya.
Banyak cakap menjurus kepada tambahan pertuturan yang tidak membawa sebarang faedah.
Rasululah s.a.w. juga melarang umatnya mengeluarkan kata-kata yang sia-sia. Sabdanya,
‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturrahim. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik, atau hendaklah mendiamkan diri.
(Riwayat Al Bukhari).
Bahaya banyak cakap:
Sabda Rasulullah s.a.w.
‘Barang siapa yang banyak cakap, maka banyak salahnya. Barang siapa banyak salahnya, maka banyak dosanya, barangsiapa yang banyak dosanya, neraka adalah tempat layak baginya.’ (Hidayah as Salikin).

Biasanya orang yang banyak cakap tidak buat kerja. Renungkanlah firman Allah s.w.t.,

‘Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa-apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kemurkaan Allah kerana kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kam lakukan.’ Surah Assaf 2-3

Kelakuan umat Nabi Musa yang banyak tanya dan banyak cakap di rakam di dalam Al
Quran.
Firman Allah s.w.t.


67. Ingatlah ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina". Mereka berkata: "Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?" Nabi Musa menjawab: "Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi dari golongan yang jahil.

68. Mereka berkata pula: "Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana -sifat lembu itu?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa lembu betina itu ialah yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya".
69. Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?" Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Lembu betina itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
70. Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? kerana sesungguhnya lembu Yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami, dan kami Insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
71. Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: sebenarnya lembu yang dikehendaki itu ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
Surah Al Baqarah 66-71

Demikianlah balasan orang yang banyak cakap tetapi tidak melakukan apa-apa seperti yang diucapkannya itu.
Dalam pada itu renungkanlah pula saranan Allah mengenai hal berkata-kata.

FirmanNya,
‘Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang berdakwah ke jalan Allah dan beramal salih lalu berkata, ‘ sesungguhnya aku daripada kalangan orang Islam.
Surah Fussilat ayat 33.

Dalam hal tutur kata ini juga, ada firman yang dapat dijadikan panduan oleh sekelian muslimin dan mukminin.

Contohnya ialah firman Allah s.w.t.

‘Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik dan tepat.
Surah Al Ahzab 70.
Apabila kita mengucapkan kata-kata yang tepat, padat dan jelas maka ia mudah difahami. Oleh kerana itu tidaklah perlu ucapan yang panjang. Kerana itu usaha banyak cakap tidak lagi diperlukan.

Akhirnya hayatilah firman Allah s.w.t.
‘Katakan kepada semua manusia dengan perkataan yang baik.’
Surah Al Baqarah 83.

Kesimpulan:
Banyak cakap dan sia-sia menghalang taqwa.
Kalimah taiyibah membawa taqwa kepada Allah.

Disampaikan dalam kulliah maghrib Masjid Ar Ridha Jenderam Hulu 20/06/2011.

Rujukan: Al Quran, Al Hadith, Riadus Salihin, Hidayatus Salikin
http://albaiyinah.blogspot.com facebook: kamaluddin mad zin email: wadenko@yahoo.com

June 13, 2011

TAQWA ASAS PENDIDIKAN SOSIAL

Asas pedidikan sosial ialah taqwa. Menanamkan taqwa dalam setiap diri manusia. Kerana orang bertaqwa sahaja yang mulia disisi Allah s.w.t. (Surah Al Hujurat).

Umar Al Khattab r.a. bertanya kepada Ubai bin Kaab apa makna taqwa. Kata Ubai,

‘Pernahkah engkau berjalan dalam kawasan penuh duri?

Kata Umar, ‘Aku berusaha dengan teliti dan bersungguh keluar daripadanya’

Jawab Ubai, ‘Itulah taqwa. (Nasih 425)

Pengertian taqwa mesti disebarkan secara meluas melalui pendidikan sosial. Matlamatnya ialah kesejahteraan dunia dan kebahagiaan akhirat. Jenteranya adalah mencari keridhaan Allah di dunia.

Dalam pandangan hidup muslim setiap orang bersaudara antara satu sama lain. (ayat 10 Al Hujurat).

Oleh kerana kita bersaudara sekeliannya, maka wajiblah ditunaikan segala hak dan kewajipannya.

MENJAGA KEHORMATAN

Ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.

‘Seorang muslim itu saudara muslim yang lainnya. Tidak boleh menganiayainya, atau menyerahkannya kepada musuh, atau mengabaikannya, atau menghinanya. Memada seorang itu dikira membuat kejahatan bila dia menghina saudara muslim. Seorang muslim haram darahnya keatas muslim lainnya, haram hartanya dari diceroboh, Taqwa itu di sini, baginda Rasulullah s,a,w, lalu menuding jarinya ke dadanya.(R. Muslim) Nasih Ulwan 429

KEHORMATAN seorang muslim adalah dilindungi. Tidak boleh dianiayai, tidak boleh diserahkan kepada musuh atau orang zalim. Tidak boleh diabaikan tanpa diberi bantuan, subsidi dan peluang. Tidak boleh menghinanya atau mendedahkannya kepada apa-apa yang menjatuhkan maruahnya. Tidak boleh dibunuh dengan mengenepikan keadilan ke atasnya.

PERKONGSIAN KASIH SAYANG

Sabda Baginda s.a.w.

‘Tidak beriman seseorang kamu hinggalah dia mencintai saudaranya (Bukhari)

Baginda menjelaskan lagi,

‘Bandingan orang beriman dalam hal kasih sayang dan timbang rasa sesama mereka adalah seperti sekujur tubuh. Bila salah satu anggota mengadu sakit, maka seluruhnya berjaga malam dan merasa demam. (Muslim dan Ahmad ).

Hadith ini mengajar kita supaya hidup bertimbang rasa, bersimpati dan mengambil berat hal orang lain yang perlukan bantuan.

KESEJAHTERAAN AWAM

Sabda Rasulullah s.a.w.

‘Tiap anggota itu ada pahala sedekahnya setiap kali matahari terbit. Berlaku adil terhadap dua orang bersengketa ada sedekah. Menolong orang memunggah barangnya keatas kenderaannya ada sedekah. Ucapan kata-kata yang baik juga ada sedekah. Tiap langkah untuk solat itu ada sedekah, malah membuang halangan di jalanan itu pun sedekah.

(Bukhari dan Muslim).

Hadith ini mengajar kita banyak perkara:

1. Allah kurniakan anggota tubuh badan untuk berbagai manfaat.

2. Ringan tulang menolong orang lain adalah pahala

3. Ucapan yang baik, tunjuk ajar dan nasihat adalah pahala. menuduh orang tanpa bukti adalah berdosa.

4. Segala daya usaha untuk menunaikan solat dan perintah Allah yang lain adalah pahala

5. Menjaga alam sekitar dan maslahat awam adalah pahala.

Mengawal alam sekitar dari membahayakan nyawa dan hartabenda ada pahala.

MENGHORMATI TETAMU

Sabda Rasululah s.a.w.
‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kahirat hendaklah dia memuliakan tetamunya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturrahim. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah berkata yang baik, atau hendaklah mendiamkan diri (Al Bukhari).

Hadith ini menyatakan kewajipan sosial orang Islam:

- Menghormati dan memuliakan tetamu

- Menjaga dan mengeratkan silaturahim

- Menjaga tutur kata (komunikasi) yang baik.

KOMUNIKASI YANG BAIK

Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Sesiapa yang memiliki tiga perkara Allah akan menghisabnya dengan hisab yang mudah di akhirat dan dimasukkannya ke dalam Syurga. Sahabat bertanya, ‘Apakah dia ya Rasulullah?

‘Rasulullah menjawab, ‘Iaitu engkau memberi kepada orang yang menahan hakmu, engkau hubungkan silaturrahim dengan orang yang memutuskannya, engkau memaafkan orang yang menganiayaimu. Apabila engkau dapat melakukannya pasti Allah memasukkan engkau ke dalam syurga. (Al Bazzar, Al Hakim dan At Tabarani)

TEROKAI ilmu di: Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com - darulghufran.blogspot.com 12/06/11

June 12, 2011

HAK DAN TANGGUNG JAWAB MUSLLM

PENDIDIKAN SOSIAL

TUJUAN: melazimkan tata susila mulia (makarimul akhlak) sejak dari kecil berasaskan pengajaran Al Quran dan As Sunnah Rasulullah s.a.w.

انما بعثت لاتمم مكا رم الا خلاق

‘Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia - hadith

Tanggung jawab ibu bapa memberi pendidikan sosial adalah sangat penting untuk anak-anak itu berupaya menghadapi suasana hidup bermasyarakat yang pelbagai. Dengan itu dia dapat menyelesaikan masalah hidup di dunia, sekali gus mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Kesejahteraan masyarakat adalah berpunca dari kemantapan susila anggotanya dari peringkat anak kecil hinggalah orang dewasa dan yang lanjut usia.

Panduan pendidikan sosial diperincikan di dalam Al Quran Suratul Hujurat.

1. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum mendapat hukum atau kebenaran Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

2. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara dengan lantang semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. Larangan yang demikian supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.

3. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah s.a.w, - merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertaqwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

4. Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik tempat ahlimu, Wahai Muhammad, kebanyakan mereka tidak mengerti adab dan tata tertib.

5. Kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka; Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

6. Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu mengenainya - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

7. Ketahuilah! bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam banyak perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta dihiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran, fasik serta perbuatan derhaka itu perkara yang kamu benci; Mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; -

8. keadaan demikian sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

9. Jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil menurut hukum Allah, serta berlaku adillah kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

10. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

11. Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, mungkin puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya sebutan nama fasik kepada seseorang sesudah ia beriman. dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang-orang yang zalim.

12. Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

14. Orang-orang A'raab berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah kepada: "Kamu belum beriman, tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu. Katakanlah ` Kami telah Islam '. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

15. Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka terus percaya dengan tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar pengakuan imannya.

16. Wahai Muhammad: Katakanlah (kepada orang-orang Aarab itu, "Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang ugama kamu (dengan berkata: ` Kami telah beriman ')? padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

17. Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu Wahai Muhammad, dengan sebab mereka telah Islam. Katakanlah (kepada mereka): "Janganlah kamu mengira keIslaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan jika sah dakwaan kamu itu sekalipun maka Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkabudiNya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya).

18. "Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha melihat akan segala yang kamu kerjakan". Surah Al Hujurat 1-18.

TEROKAI ilmu di: Blog: http://albaiyinah.blogspot.com fb: kamaluddin mad zin email:wadenko@yahoo.com - darulghufran.blogspot.com

June 1, 2011

PENDIDIKAN FIZIKAL (JASMANI)

Pertumbuhan jasmani anak-anak adalah hasil dari bahan yang dinafkahkan oleh orang yang bertanggung jawab ke atasnya.

Kewajipan memberi nafkah itu dinyatakan di dalam Al Quran seperti firman Allah,
'Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika kedua suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan mereka sesudah berunding, maka tidaklah menjadi halangan. Jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu memberi upah dengan cara patut. dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa jua yang kamu lakukan.
Al Baqarah 233.
Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Wang yang engkau belanjakan pada jalan Allah, dan wang yang engkau belanjakan untuk memerdekakan hamba sahaya, dan wang yang engkau sedekahkan ke atas orang miskin dan wang yang engkau belanjakan ke atas isterimu. Yang paling besar ganjarannya ialah wang yang engkau belanjakan ke atas isterimu.
Riwayat Muslim.
Firman Allah dan Sabda Rasulullah s.a.w. itu menunjukkan wajibnya memberi nafkah kepada orang yang di bawah tanggungan.

Lebih jelas lagi dengan adanya sabda Rasulullah s.a.w. tentang mereka yang mengabaikan tanggung jawab memberi nafkah.

‘Memadalah seorang itu jadi berdosa apabila dia mensia-siakan nafkah orang yang dibawah tanggungannya.’
Riwayat Abu Daud.
GARIS PANDUAN
Garis panduan pendidikan jasmani untuk anak dan keluarga adalah seperti yang dijelaskan oleh sunnah.

Pertama: menurut kaedah kesihatan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
Contoh: menjaga tabiat makan. Adab makan antaranya adalah seperti berikut"

1. Berdoa
2. Pastikan halal
3. Mengikut masa
4. Makan ketika lapar –
Sabda Rasulullah s.a.w. ‘Kita adalah satu kaum yang tidak makan sehingga lapar. Apabila makan tidak sampai kenyang.
5. Tidak terlalu kenyang
6. Tidak melebihi keperluan
7. Makan secara berjamaah. Berjimat – makanan 1:2 Satu orang cukup untuk dua orangl makanan sepuluh cukup untuk dua puluh.
8. Makanan seimbang. Nabi suka ulam (R.Salihin 2:828)
Dalam satu jamuan, Nabi bertanya, ‘Adakah ulam? Mereka berkata, yang ada hanyalah cuka. Nabi lalu makan bersamanya dan bersabda, sebaik lauk adalah cuka. Riwayat Muslim
Contoh: menjaga tabiat minum
1. Berdoa
2. Pasti halal
3. Tidak bernafas dalam bekas. Tidak meniup.
4. Tidak berdiri (R.Salihin 2:851) – pengaruh iklan media membiasakan anak-anak minum dan makan sambil berdiri dan berjalan, khususnya di padang.
Kedua: menjaga kesihatan jasmani (fizikal)
1. Menjaga kebersihan tubuh badan – mandi, wudhuk, guna bahan halal
2. Mendapatkan rawatan - likull dain dawa’
3. Melindungi dari perbuatan merbahya. Alat solek beracun, bunga api, Mercun? Merokok dan narkotik.
Ketiga: Riadhah Jasmani
1. Menanam semangat wirawan
Firman Allah,
‘Sediakanlah segala kekuatan yang kamu mampu untuk menentang musuh. Dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain dari mereka yang tidak kamu ketahui, sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya’. Al Anfal ayat 60.

Kata Muslim dalam Sahihnya ada riwayat, bahawa Baginda s.a.w. selepas membaca ayat itu lalu bersabda,
Ala innal quwata ar ramyu – tiga kali.
‘Ingatlah, kekuatan itu ialah memanah.’ (Nasih 255) -
Tentang hobi memanah:
Al Bazzar dan At Tabarani meriwayatkan Baginda s.a.w. menggalakkan riadhah memanah dengan sabdanya,

‘Hendaklah kamu belajar memanah, itulah sebaik-baik aktiviti masa lapang.

Dalam hal yang lain Rasulullah s.a.w. menyatakan perbandingan fizikal orang mukmin.

‘Orang mukmin gagah lebih baik dan lebih dikasihi Allah berbanding mukmin lemah’.
Riwayat Muslim.
Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka juga ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. pernah membenarkan kaum Habsyi menunjukkan kemahiran mereka bermain pedang di masjid Baginda.

Sedang mereka bermain, tiba-tiba datang Umar Al Khattab. Melihat yang demikian itu, diapun mengambil batu-batu kecil lalu melempar ke arah orang bermain pedang itu.
Baginda Rasulullah s.a.w. lalu menegurnya, ‘Biarkanlah mereka, wahai Umar.’

Rujukan: Al Quran - Riadhus Salihin - Tarbiatul Awlad - Hadith 40 An Nawawi -
Mustika Hadith 2.
Layari facebook: kamaluddin mad zin email: wadenko@yahoo.com