P

January 30, 2011

DIARY UNTUK KIAMAT

MENJELANG tahun baru orang sibuk mencari dairi - buku harian. Ada pula yang mencari 'planner' bagi merangka kalendar program tahun baru.
Orang yang telah mendapat buku harian, segera menanda haari-hari cuti am sepanjang tahun. Ada pula orang yang sudah menanda hari, bulan dan minggu yang bakal diisi dengan program keluarga, makan angin dan lawatan serta ziarah.
Kalangan koporat memenuhkan buku hariannya dengan nombor kontak, temu janji pelanggan, senarai tender, malah setengahnya jadual padang golf.

Ingin juga ditanya? Adakah mana-mana ajensi yang menerbitkan 'diary' menyediakan waktu solat di dalamnya>
Demikianlah telatah setengah manusia menghadapi masa depannya.

Alangkah baiknya nasib seseorang andai direnungkannya firman Allah:

'Hai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah. tiap-tiap orang hendaklah melihat apa yang telah disediakannya untuk hari esok (hari kiamat)

Surah Al Hasyr ayat 18.


Jika begitu perintah Allah, maka tidaklah salah diari itu dijadikan media untuk merancang perkara atau amalan yang ada nilai hari akhirat.
Misalnya di catitkan sebagai peringatan untuk menghulurkan sedekah harian, mingguan, bulanan dan tahunan (haul).

jika ada cuti berderet, tidak salah kalau ditandakan hari untuk hadir qiamullal bersama mana-mana jemaah yang berotoriti.

Selari dengan kisah buku harian dan amalan untuk akhirat, alangkah indahnya kalau direnung ayat-ayat 12 Surah Yasin:
'Kami menulis segala apa yang mereka lakukan semasa di dunia, dan juga segala kesan dari perkataan dan perbuatan mereka.

January 27, 2011

10 SEBAB DOA TAK MAKBUL

ADA orang mengeluh kerana doanya tidak makbul. Atau lambat dimakbulkan Tuhan. Ada juga yang hanya sekali berdoa, kemudian putus asa, lalu tidak mau lagi memohon dari Allah s.w.t.

Saad bin Abi Waqqas telah menerima nasihat dari Nabi Muhammad sendiri supaya menjaga makan minum yang halal, kerana yang demikian adalah salah satu syarat doa di terima Tuhan. Mafhum dari apa yang dinyatakan Baginda Nabi s.a.w. kepada Saad bin Abi Waqqas itu, nyatalah bahawa melakukan perbuatan haram menjadi sebab doa itu tertahan.

Bagaimana pandangan ahli-ahli tasawuf tentang doa yang tidak makbul ini?

Seorang tokoh sufi terkemuka, Ibrahim Adham sedang berada di tengah pasar Basrah di Iraq apabila dia ditanya oleh ramai orang. Di antara soalan yang dihadapkan kepadanya ialah ‘mengapa doa mereka tidak dimakbulkan Allah. Mereka mendakwa selalu berdoa kepada Allah. Tetapi tidak makbul.

Dengan penuh tawadhuk Ibrahim Adham menjawab, ‘Hati kamu buta. sebabnya kerana sepuluh perkara:

1 Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hakNya.

2 Kamu sangka cinta kepada Rasulullah s.a.w. tapi kalian tinggalkan sunnahnya.

3 Kalian membaca Al Quran, tetapi tidak beramal dengannya.

4 Kamu menerima nikmat-nikmat Allah s.w.t. tetapi tidak pernah bersyukur.

5 Kamu berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi tidak menentangnya

6 Kamu berkata syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.

7 Kamu berkata neraka itu benar, tetapi tidak lari daripadanya.

8. Kamu berkata mati itu benar, tetapi tidak bersedia untuknya.

9 Kamu bangun tidur, ceritakan keaiban manusia, tetapi lupa keaiban sendiri.

10 Kamu kebumikan mayat saudaramu, tetapi tidak mengambil iktibar darinya.

SEBAB DOA SAAD BIN WAQQAS MAKBUL

Saad bin Abi Waqqas berkata, ‘Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya.’

Lalu Rasulullah s.a.w. menasihati Saad dengan sabdanya,

‘Hai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doanya. Demi Muhammad di dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang hamba memasukkan yang haram ke dalam perutnya, tiada diteriema Allah amalnya selama empat puluh hari. Mana-mana hamba yang darah dagingnya tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih layak baginya.

Riwayat At Tabarani – (Matan Arbain)

Dalam banyak riwayat dinyatakan bahawa para sahabat mendapati Saad bin Waqqas adalah termasuk di kalangan orang-orang yang dimakbulkan doanya.

Saad bin Waqqas sendiri menyatakan dengan tegas,

‘Bahawa aku tidak pernah mengangkat ke mulutku sesuatu makanan, melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana pula keluarnya.

Difahami dari hadith dan peristiwa ini, bahawa doa yang diperkenankan adalah doa orang yang memakan makanan halal.

Orang yang beriman dikehendaki supaya jiwanya bersih dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih, dari makanan halal.,

Suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang kusut masai rambutnya, berdebu wajahnya kerana lama dan jauh perjalanannya. Dia mengangkat tangan berdoa Allah dengan katanya, ‘Wahai tuhanku, wahai tuhanku!

Keadaannya nampak bersungguh-sungguh memohon kepada Allah. Tetapi malang nasibnya kerana doanya tidak dimakbulkan. Ia disebabkan ketiadaan syarat yang diperlukan di dalam doa. Baginda Rasulullah menjelaskan, ‘Makannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram, disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah boleh dimakbulkan doanya. (Riwayat Muslim).

Mafhum dari hadith ini, makanan halal adalah syarat penting termakbulnya doa. Sebaliknya pula, memakan maanan haram menyebabkan doa tidak dimakbulkan.

January 26, 2011

DOA YANG TIDAK MAKBUL

PASTIKAN MAKANAN HALAL

Ibn Abbas berkata , ‘Pernah aku membaca di sisi Rasulullah s.a.w. ayat 168 Surah al Baqarah:

‘Hai sekelian manusia, makanlalh barang yang halal lagi baik dari apa yang ada di bumi,

Kemudian Saad bin Abi Waqqas bangun seraya berkata, ‘Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya.’

Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Hai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doanya. Demi Muhammad di dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang hamba memasukkan yang haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amalnya selama empat puluh hari. Mana-mana hamba yang darah dagingnya tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih layak baginya.

At Tabarani (An Nawawi, Matan Arbain).

Baginda s.a.w. menyebutkan, sekali benda haram masuk dalam perut (atau mulut), maka empat puluh hari doa tidak diterima.

Agaknya ayat ini bermanfaat bagi umat Islam yang 'menyumbat' dua puluh hingga tiga puluh batang rokok ke dalam mulut mereka tiap hari.
Tiap hari mereka berdoa, rumah tangga tidak juga aman.

Tiap hari mereka berdoa, anak-anak tidak juga maju dalam pelajaran.

Tiap hari berdoa, pendapatan tidak juga mencukupi.


Selain rokok, banyak lagi benda haram yang dimasukkan ke dalam mulut. Membeli ayam misalnya, tidak langsung diperiksa sama ada ia disembelih atau tidak.

Makan ayam goreng dikedai bersama anak isteri pun tidak ditengok, halalkah atau haram?

Wang hasil pendapaatan pun tidak dikira: rasuahkah atau peras ugut. Atau hadiah kerana meluluskan projek atau tender.


January 25, 2011

AMINKAN BACAAN DOA

SUNAT bagi sesiapa yang membaca Al Fatihah, diakhirnya membaca 'Amin' Ia bermaksud, 'Ya Allah, terimalah.'

Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
'Jika imam membaca waladhdallin, maka bacalah 'Amin!, Nescaya Allah menerima dan menyambut seruanmu.
Hadith riwayat Muslim. (Tafsir Ibn Kathier)

Selain dalam sembahyang, bacaan amin kadang-kadang tidak mendapat sambutan. Dalam majlis-majlis perasmian, kerap dimulai dengan doa. Doa yang dibaca seseorang yang dijemput ke muka majlis, tidak diaminkan oleh orang ramai yang ada di dalamnya. Ini bermakna hanya tukang baca doa sahaja yang memohon kepada Allah. Para hadirin tinggal melopong dan berangan-angan.

Yang mendukacitakan pula ialah bahawa tukang baca doa itu pun dijemput secara bidan terjun (ad hoc). Jadi doa yang dibacanya mungkin tidak tersusun secara kemas. Mungkin itu agaknya hadirin tidak berapa hendak mengaminkannya.

Sangat kecewa dan serba salah pula ialah tukang baca doa itu dijemput membaca doa di majlis yang tidak sesuai untuk baca doa.

Sesuaikah dibacakan doa pelancaran penggambaran filem-filem asmara?

January 22, 2011

TAKUT DITIMPA GUNUNG

DOSA: dari kacamata berbeza

Dari Abdullah r.a. Nabi s.a.w. bersabda,

‘Bahawa orang yang beriman memandang dosanya seolah-olah ia duduk di bawah gunung, ia takut ditimpanya. Orang yang yang jahat melihat dosanya bagai lalat yang lalu di hidungnya. Lalu kastanya ‘Begini’ sambil tangannya menghalau lalat dengan tangannya.

Riwayat Bukhari

(Mukhtasar Ibn Abi Jamrah)

Rasa takut kepada Allah adalah kekuatan Iman. Percaya kepada kekuasaanNya. Beriman dengan segala balasan amalan yang dilakukan, sama ada kecil atau pun besar.

Sebahagian manusia membuat penilaian berbeza tentang dosa. Ada dosa besar ada dosa kecil. Dengan itu timbul gerun berhadapan dosa besar. Kurang takut meninggalkan dosa kecil.

Dengan fikiran waras tidakkah merasa bahawa kedua-duanya masih dalam lingkungan dosa. Sedangkan melakukan dosa itu tanda keingkaran kepada Allah s.w.t.

Sindiran hadith ini amat tajam. Orang yang beriman lagi bertaqwa melihat sesuatu dosa itu bagai gunung yang akan menimpanya. Sedangkan orang yang biasa melakukan kejahatan menganggap dosa hanya bagai seekor lalat yang boleh dihalau dengan jari tangannya.

January 21, 2011

BANGGA DEK HARTA

APA DIMEGAHKAN DENGAN HARTA


TIGA MENGIRINGI JENAZAH

Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Jenazah itu diiringi tiga perkara, dua pulang maka tinggallah satu bersamanya. Dia diiringi keluarganya, hartanya dan amalannya. Keluarga dan hartanya itu pulang semula, maka tinggallah amalnya bersamanya.

Riwayat Bukhari.

JELAS dari hadith ini, ketika jenazah diusung orang, ia diiringi tiga perkara: oleh kau keluarga dan sahabat handai, kereta dan bintang gelarannya, dan juga amalan ya ng telah dilakukannya semasa hayatnya.

Dua yang terdahulu itu akan kembali semula selepas jenazah dikebumikan. Maka tinggal bersama jenazah itu di dalam kubur ialah amalannya.

Maka fikirkanlah oleh manusia bolehkah ahli keluarganya membantunya di dalam kubur?

Mampukah segala hartanya yang banyak itu melepaskan siksa kubur keatasnya.

January 18, 2011

TAQWA MEMELIHARA KEJAHATAN

TAKRIF TAQWA menurut Al Ghazali dalam kitabnya Minhaj Al Abidin:

‘Mensucikan hati dari segala kejahatan, sehingga ia menjadi pemelihara antara anda dan segala kejahatan.

ADA dua jenis kejahatan:

Pertama: kejahatan ASLI iaitu kejahatan yang dilarang oleh Allah s.w.t. (segala perbuatan haram).

Kedua: kejahatan bukan asli. Larangan Allah berbentuk mendidik, iaitu berlebihan dalam mengambil yang halal kerana dorongan nafsu.

DUA JENIS TAQWA: taqwa fardu dan taqwa baik/adab

WAJIB MENJAUHKAN DIRI DARI SEGALA PERBUATAN MAKSIAT:

Ini dinamakan TAQWA FARDU. Meninggalkan taqwa fardhu, mendapat azab neraka.

TAQWA BAIK dan adab: menolak berlebihan dalam perkara halal. Meninggalkan taqwa baik menyebabkan lambat masuk syurga. Lama pengiraan hisab amalan, mendapat keaiban dan celaan dihari kiamat.

Kejahatan asli ……. Gunakan senjata Taqwa fardhu

Kejahatan bukan asli ………….. gunakan taqwa baik/adab

DUA DARJAH ORANG BERTAQWA:

1 Barangsiapa yang melakukan TAQWA FARDU, dia berada didarjah yang rendah.

2 Barangsiapa yang melakukan TAQWA BAIK DAN ADAB, dia berada didarjah taqwa tertinggi kerana meninggalkan perkara berlebihan yang harus.

Maka barangsiapa yang menghimpunkan kedua-dua taqwa itu, dia telah menyempurnakan makna taqwa yang sebenar.

TAQWA MENURUT UBAI BIN KAAB

Umar Al Khattab bertanya Ubai bin Ka'ab tentang taqwa. Kata Ubai, tidak pernahkah engkau lalu di kawasan yang penuh duri.

Jawab Umar, ‘Saya sangat berwaspada dan bersungguh menyelamatkan diri.

Kata Ubai ‘Itulah contoh taqwa’

Tafsir Ibn Kathir 1:39



Sabda Rasulullah s.a.w.,

'Yang terbaik di kalangan kamu ialah yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.

Hadith riwayat Bukhari.


BELUM TERLEWAT

untuk anda mempelajari Al Quran.

Walau di usia mana anda berada.

Darul Quran Wassunnah
Jenderam Hulu, Mukim Dengkil, Sepang, Malaysia.
Pusat pengajian Al Quran untuk berbagai peringkat umur.

Tel. 60123972860


January 16, 2011

TANGGUNG JAWAB NAFKAH

BUDAYA suka bekerja menyebabkan kaum wanita suka meninggalkan rumah. Mereka keluar rumah untuk mencari wang. Dengan kata-kata yang manis, mereka katakan keluar mencari nafkah.

Siapakah yang bertanggung jawab mencari dan memberI nafkah?

Bukankah tanggung jawab memberi nafkah itu diletakkan pada kaum lelaki yakni suami. (Rujuk ayat 7 Surah At Talaq).

Seorang suami wajib memberi nafkah kepada isteri. Tidak gugur wajibnya itu, walaupun isteri itu seorang jutawan.

Seorang suami juga wajib menyediakan tempat tinggal untuk isteri dan anak-anaknya.

Seorang isteri berhak mendapat perlindungan dan jaminann keselamatan dari suaminya.

Jika tanggung jawab ini diabaikan maka berdosalah si suami.

Sabda Rasulullah s.a.w.

‘Menjadi berdosalah seseorang yang mencuaikan orang yang dibawah tanggung jawabnya.

Hadith Riwayat Muslim.

January 15, 2011

PAKAI BAJU SENTENG

Baju singkat

Abu Said Al Khudri berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Ketika aku tidur, aku diperlihatkan manusia berbaju singkat hingga nampak payu dara. Maka Umar lalu sedang dia menarik-narik pakaiannya (kerana panjang). Para sahabat bertanya, apa yang engkau takwilkan ya Rasulullah?

Baginda menjawab, ‘Ugama.’

Riwayat Bukhari – Ib Abi Jamrah.

Baginda melihat dalam mimpinya ada orang berpakaian terlalu singkat hingga menampakkan buah dada. Ada pula orang yang memakai pakaian labuh. Hingga terpaksa disingsing atau ditarik ke atas.

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang tafsiran mimpi tersebut. Maka Baginda s.a.w. bersabda, itu adalah gambaran agama.

Agama adalah untuk membimbing manusia ke jalan benar. Dengan agama itu terlindung segala keburukan dan kesesatan.

Pakaian untuk melindungi aurat, kemaluan dan maruah. Jikalau tidak berpakaian maka terdedahlah semua itu.

Berpakaian ala kadar dengan menampakkan pusat, buah dada atau bahagian lain yang patut dilindungi, maka itu adalah amalan songsang.

January 14, 2011

KEUTAMAAN BELAJAR DAN MENGAJAR AL QURAN

Uthman bin Affan meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya.

Hadith riwayat Bukhari.

Hadith ini menjelaskan bahawa adalah ganjaran terbesar bagi mereka yang belajar Al Quran dan mengajarkannya.

Hadith ini menunjukkan betapa tingginya pengiktirafan Allah terhadap usaha hambanya bersusah payah mempelajari kitabNya Al Quran. Allah juga menyanjung tinggi orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh mengajarkan Al Quran itu.

Orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi makhluk dan juga di sisi Tuhannya.

Alangkah besarnya balasan dari Allah kelak bagi mereka yang mempelajari Al Quran dan juga yang mengajarkannya.

Mempelajaari Al Quran ini adalah suatu kewajipan. Ia menjadi suatu fardhu ain terhadap setiap muslim. Al Quran itu menjadi panduan hidup dalam hal syariat atau urusan-urusan keduniaan yang lain.

Oleh kerana itu setiap orang yang beragama Islam wajib mempelajari Al Quran.

January 13, 2011

LAGAK PONDAN DILAKNAT

Dari Ibn Abbas r.a. dari Nabi s.a.w.

‘Allah melaknat orang-orang lelaki menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan menyerupai lelaki.

Riwayat Bukhari –

Orang-orang lelaki adalah dilarang menyerupai orang perempuan. Menyerupai itu termasuk dalam hal berpakaian, tutur kata, atau tingkah laku. Berlagak seperti perempuan adalah dilarang. Istilah moden dalam menyerupai perempuan ini ialah ‘pondan, maknyah, lady boy, shemale, tranny.

Orang perempuan juga dilarang menyerupai orang lelaki. Istilah modennya ‘tomboy’, penkid.

Kedua-dua kumpulan manusia ini dilaknat Allah.

Orang Islam hendaklah mendidik anak-anak dengan didikan Islam yang sempurna termasuk dalam hal berpakaian.

Dari kecil mereka hendaklah dibiasakan dengan pakaian yang betul. Anak lelaki dipakaikan dengan pakaian lelaki, dan anak perempuan dipakaikan dengan pakaian perempuan.

Jika dari kecil anak lelaki sudah terbiasa memakai pakaian perempuan, maka apabila besar watak perempuan jelas dalam dirinya. Begitulah juga sebaliknya.

Ibu bapalah yang bertanggung jawab terhadap tingkah laku anak-anak.

#####

HABBATUS SAUDA

Abu Hurairah berkata bahawa dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Pada habatus sauda (jintan hitam) itu ada penyembuh segala penyakit kecuali mati.

Riwayat Bukhari - Ibn Abi Jamrah

January 9, 2011

SEGERAKAN MEMBERI SEDEKAH

UQBAH bin Al Haarith berkata, 'Aku bersembahyang 'Asar bersama Rasulullah s.a.w. Selepas salam Baginda terus bangun dengan segera dan masuk menemui sebahagian isterinya. Kemudian keluar . Dia melihat wajah-wajah kaum yang dalam takjub melihatnya dalam keadaan kalut.

Lalu Baginda bersabda,

Aku baru teringat dalam sembahyang tentang emasRdi sisi kami yang belum dibersihkan (belum disedekahkan) . Aku tidak suka emas itu 'berpetang atau bermalam di rumah kami, maka aku suruh orang membahagi-bahagikannya.
riwayat Bukhari - Ibn Abi Jamrah.


Ada orang memberi ketul-ketul emas kepada Baginda s.a.w. untuk disedekahkan. Masih ada berbaki beberapa ketul yang belum sempat dibahagi-bahagikan, tibalah waktu 'Asar.

Baginda Rasulullah tidak suka emas itu tersimpan di rumahnya hingga petang dan bermalam.
Kerana itu baginda memerintahkan supaya segera dibahagi-bahagi kepada yang layak menerimanya.

Hadith ini menunjukkan pentingnya sedekah itu disegerakan supaya tidak ada masalah berbangkit kemudiannya.

Menangguhkan sedekah itu menimbulkan berbagai risiko yang boleh melibatkan dosa.

January 8, 2011

JANGAN LUPA BERI SALAM

CARA hidup moden kini hampir melupakan hikmah salam. Ada kalanya salam hanya diberi bila hendak memasuki rumah orang lain, sedangkan rumah sendiri lupa untuk memberi salam.

Rasululllah s.a.w. berwasiat kepada Anas,

‘Wahai anakku, Jika kamu masuk kepada keluarga (masuk rumah) berilah salam. Ia menjadi berkat untuk mu dan untuk keluargamu.’

Riwayat Tarmizi.

Alangkah bahagianya rumah tangga yang ada keberkatan di dalamnya. Sudah pasti ia rumahtangga yang aman lagi diridhai Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t.

Maka apabila kamu masuk ke rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada ahlinya, ucapan selamat dari sisi Allah lagi berkat dan baik, Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya - Surah An Nur 61.

BIARLAH TUA
ASAL MASIH ADA KEMAHUAN
UNTUK BELAJAR

Darul Quran was sunnah, Jenderam Hulu, Mukim Dengkil di Sepang Selangor, menyediakan pengajian Al Quran untuk berbagai peringkat umur.

Mulakanlah pengajian anda, walaupun dari Alif Ba Ta.

'Terbaik di kalangan kamu adalah yang belajar Al Quran dan mengajarkannya.'
Hadith Rasulullah s.a.w.

January 6, 2011

GURU ATAU ORANG GAJI

ABAI TANGGUNG JAWAB BERDOSA

ALANGKAH kecohnya dihari pertama persekolahan 3 Januari lalu. Ada ayah yang hantar anak masuk pra sekolah, tapi hingga lebih pukul 12 tengahari tak datang ambil anaknya.


Sayang anakkah namanya.

Guru dan pembantu murid macam jadi pengasuh pula layaknya. sekali fikir macam orang gaji dia pula.

Sebab rasa tanggung jawab, mereka terpaksa tunggu juga 'keberangkatan tiba' ayahanda kanak-kanak itu, walaupun sepatutnya mereka boleh buat kerja sekolah yang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Cukuplah seorang itu jadi berdosa, apabila dia mengabaikan orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Riwayat Muslim.

Dalam nas hadith disebut, menjadi berdosa orang yang mensia-siakan mereka yang dibawah tanggung jawabnya memberi makan dan lain-lain keperluan. Orang yang di bawah tanggung jawab kita tidak boleh diabaikan, sama ada dari segi pendidikan maupun kemudahan makan dan pakaiannya.

Di dalam satu keluarga, maka ketua keluarga adalah orang yang bertanggung jawab mempastikan bahawa orang yang di dalam tanggungannya mendapat hak sepenuhnya. Mereka berhak mendapat pendidikan, keselamatan, perlindungan, dan kemudahan sara hidup.