P

October 22, 2010

SYAITAN BERKELIARAN WAKTU SENJA

AWASI ANAK WAKTU MALAM


Dari Jabir r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya,

‘Apabila datang gelap malam maka hendaklah kamu menjaga anak kamu, kerana para syaitan berkeliaran pada masa itu. Apabila berlalu beberapa saat dari Isya’ maka hendaklah kamu kumpulkan mereka dan kuncilah pintu dan sebutlah nama Allah. Dan tutuplah lampu (ketika tidur) dengan menyebut nama Allah. Dan tutuplah segala bekas minumanmu sambil menyebut nama Allah. Tutuplah segala bekas takungan dan sebutlah nama Allah. Lintangkan atasnya kayu atau lidi.

Riwayat Bukhari – Mukhtasar ibn Jamrah.

Rasulullah s.a.w. amat sayangkan umatnya. Dalam hadith ini Baginda s.a.w. mengingatkan tentang bahaya godaan syaitan pada waktu malam.

Malam adalah masanya para syaitan berkeliaran mencari dan menggoda mangsa. Hadith ini mengajarkan kita supaya menjaga dan mengawal anak-anak dari berbagai bencana yang dibawa syaitan.

Apabila malam mula menjelang, maka syaitan-syaitan berkeliaran di muka bumi. Manusia ketika itu pula sibuk dengan urusan dunia hingga lupa masa untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Waktu senjalah manusia berada dalam keadaan kelam kabut. Maka ketika itulah syaitan dan iblis mengambil kesempatan melekakan dan melalaikan mereka.

Lihatlah kumpulan unggas dan burung-burung serta hewan ternakan seperti lembu dan kambing. Sebelum matahari terbenam, mereka sudah tiba di sarang atau kandang masing-masing.

Pengajaran dari Rasulullah s.a.w.:

Waktu malam tiba, pastikan anak-anak berada di dalam rumah.

Kuncilah pintu dan tingkap dengan membaca istiazah.

Tutuplah segala bekas takungan air dan bekas makan minum dengan bacaan istiazah.

Lintangkanlah kayu atau lidi diatasnya, mohon perlindungan Allah dari kejahatan syaitan.

Padamkan lampu waktu tidur.

Sentiasa membaca istiazah dan zikir kepada Allah s.w.t.

October 15, 2010

PEMBALASAN YANG SETIMPAL

YANG MENENTANG ALLAH AKAN BINASA

MEREKA menentang Allah dengan membakar dan menghina kitab-kitab Allah.

Apakah mereka lupa perisiwa-peristiwa besar yang menimpa kaum yang menentang Allah. Apakah mereka lupa bagaimana keturunan mereka yang telah dihancurkann suatu masa dahulu.

Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan Allah di Laut Merah kerana menentang Nabi Musa a.s. dan penngikutnya. (Surah Al Baqarah ayat 50).

Lihatlah pula umat Nabi Nuh a.s. yang menghinanya dan mempermainkannya. Mereka ditenggelamkan dengan banjir walaupun ada yang lari ke gunung. Hatta anak Nabi Nuh sendiri tidak dapat diselamatkan oleh ayahnya.

Nabi Nuh memohon untuk menyelamatkan anaknya dengan alasan, ‘dia adalah ahli keluarganya.’

Allah menjawab, ‘Dia bukan ahli keluargamu.’

Kalau dia ahli keluarga, tentu menyokong perjuanganmu. (Surah Nuh).

Umat Nabi Nuh yang engkar habis tenggelam oleh banjir dan taufan.

Kaum nabi Lut yang mengamalkan homoseks juga telah dihancurkan Allah. (lihat Surah Al An’am, Al Anbiya’, An Naml, Al ankabut, Hud, Al Qamar, Al Haj, As Syuara’, Sad, Al A’araf, As Safaat dan At Tahrim.

Allah telah memberi amaran kepada manusia.

‘Mengapa mereka tidak berjalan-jalan di muka bumi dan melihat kesan-kesan kebinasaan yang ditimpakan keatas umat sebelum mereka... (Surah Yusuf, Haji, Ar Rum, Fatir,Ghafir, Muhammad dan Aal Imran).

Malah kini pun bencana berterusann ditimpakan ke atas mereka dengan turunnya bala dalam berbagai bentuk: banjir besar meragut ribuan nyawa, kebakaran yang tidak terkawal, kemusnahan harta benda, jenayah yang kian meningkat, kestabilan politik yang menggoncangkan dan berbagai lagi.

Mereka yang tidak menurut hukum Allah adalah, kafir, fasik dan zalim (Surah Al Maidah).

wadenko@yahoo.com

7 z.kaedah 1431.



KULLIAH SUBUH

TEMPAT: MASJID AR RIDHA, JENDERAM HULU

SEPANG, SELANGOR - MALAYSIA

SETIAP AHAD (SUNDAY)

MASA: 06:00 - 07:00 pagi

TAJUK: HAK DAN KEWAJIPAN MUSLIM

PENYAMPAI: UST HAJI KAMALUDDIN



October 6, 2010

MUS'AB ANAK JUTAWAN

TINGGALKAN KEKAYAAN KERANA AKIDAH

Anak seorang jutawan Mekah, Mus’ab bin Umair hidup dalam keadaan mewah. Dialah pemuda paling hebat di Mekah dengan sehelai pakaiannya dianggarkan berharga dua ratus dirham. Ibu bapanya menyediakan segala keperluannya dari barang yang berkualiti dan mahal. Mereka sangat menyayanginya.

Namun tanpa diketahui oleh kedua orang tuanya, dia secara sembunyi telah menemui Nabi Muhammad s.a.w. dan masuk Islam.

Ibu bapanya merasa amat marah dan kecewa. Mereka bertindak mengurung dan mengikatnya dengan tujuan tidak membiarkan Mus’ab pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w.

Lonjakan iman dalam jiwanya menguatkan semangat Mus’ab. Dengan takdir Allah dia dapat melepaskan diri, lalu meninggalkan rumah yang penuh dengan kemewahan itu demi akidah yang benar.

Dia lebih mengutamakan akidah dari ibu bapa dan kemewahan yang mellimpah ruah.

Suatu ketika sedang Nabi Muhammad s.a.w. duduk berehat, Mus’ab melintas di hadapan Baginda. Keadaannya sangat dhaif. Pakaiannya compang camping, bertampal-tampal. Orang yang melihatnya sungguh merasa kasihan.

Baginda Rasulullah s.a.w. merasa amat terharu. Dengan linangan air mata, baginda menceritakan bagaimana suatu masa dulu sebelum masuk Islam, Mus’ad adalah anak orang hartawan bergelumang dengan kemewahan.

Dalam satu peristiwa di Medan Uhud, beliau adalah seorang tentera yang ditugaskan memegang bendera Islam. Ketika tentera Islam hampir tewas diserang musuh, Mus’ab terus memegang bendera Islam dengan gagahnya.

Dia tetap berdiri di tempat yang dikhaskan mengibarkan bendera dan memberi semangat kepada bala tentera Islam. Tiba-tiba seorang musuh Islam datang secara mengejut lalu menetak tangannya yang memegang bendera. Jika bendera itu jatuh ke tanah bermakna tentera Islam tewas sama sekali.

Mus’ab tidak menghiraukan tangannya telah kudung itu. Dia segera memegang bendera itu dengan tangannya yang sebelah lagi. Lalu bendera itu tetap berkibar dengan memegahnya. Sekaligus menandakan tentera Islam belum kalah.

Musuh Islam masih tidak berpuas hati, lalu menetak tangan Mus’ab yang memegang bendera itu. Dengann itu kedua-dua tangannya kontong. Mus’ab dengan semangat kepahlawanannya memeluk kayu bendera itu ke dadanya dengan tangannya yang kudung itu. Dengan itu bendera terus berkibar.

Namun seorang tentera musuh dengan bengisnya melontarkan lembing kearah Mus’ab dan tepat menembusi dadanya. Dia tewas, tetapi belum sempat rebah ke bumi, seorang tentera Islam berlari segera mendapatkan bendera itu dan terus menjulangnya.

Ketika urusan pengkebumiannya, para sahabat amat terharu. Dia hanya ada sehelai kain untuk menutup jenazahnya. Kain itu tidak mencukupi untuk membalut seluruh badanya.

Baginda Rasulullah s.a.w. merasa amat sedih, lalu bersabda,

Tutupkanlah kepalanya dengan kain itu. Dan tutupkan kakinya dengan daun.

- Dari Fahail a’amal.

27 Syawal 1431

October 5, 2010

SOLAT ENAM RIBU RAKAAT

ABU HURAIRAH r.a. berkata, 'Ada dua orang dari satu qabilah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan kemudiannya memeluk Islam. Dalam salah satu peperangan, seorang darinya telah gugur mati syahid. Seorang lagi pula, meninggal setahun kemudiannya. Seorang sahabat, Talhah bin Ubaidillah berkata, dia melihat dalam mimpinya bahawa orang yang meninggal kemudian itu telah lebih awal dimasukkan ke syurga berbanding orang yang mati syahid tersebut. Dia juga tidak ingat siapa yang memberitahu mimpi itu kepada Rasulullah. s.a.w. Rasulullah s.a.w. bersabda menjelaskan hal itu. 'Bukankah orang yang meninggal kemudian itu berpuasa sebulan Ramadhan, dan bukankah beliau itu telah bersolalt enam ribu rakaat atau lebih sebmasa setahun dia hidup selepas orang yang syahid itu meninggal.
Hadith riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Ibn Hibban.

26 syawal 1431.

October 4, 2010

MENGHARGAI JASA

Sebarang jasa baik sangat wajar dihargai dan diberi penghormatan. Sebarang khidmat bakti sebenarnya amat sukar dibalas dengan yang setimpal. Namun kewajipan kita adalah memberi penghargaan setinggi-tingginya terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan itu.

Kita menyingkap sejarah silam tentang kehebatan akhlak dalam memberi penghargaan terhadap orang yang telah berjasa.

Dari Kharijah bin Syalt, katanya,
'Aku datang menghadap Nabi s.a.w. lalu masuk Islam.Dalam perjalanan pulang, aku bertemu dengan suatu kaum. Di kalangan mereka ada seorang sedang dipasung dengan besi kerana gila.

Keluarga orang itu minta bantuan menyembuhkan penyakit tersebut.
Aku ubati orang itu dengan membaca surah Al Fatihah. Kemudian dia sembuh.
Keluarganya memberi aku seratus ekor kambing.
Aku memberitahu hal itu kepada Nabi s.a.w.

Tanya Baginda, 'Adakah apa-apa yang lain kau baca?
Jawabku, 'Tidak ada!
Maka sabda Baginda,
'Demi Allah, sesungguhnya ada orang yang memakan upah dari yang batil, namun sesungguhnya engkau memakan hasil upah dari yang benar (halal).

Riwayat Abu Daud..

25 syawal 1431.

October 3, 2010

CERAMAH SERIBU DINAR

PENGHARGAAN masyarkat terhadap pendakwah sangat tinggi di zamann silam. Khalayak sangat memandang mulia kalangan ahli agama, apatah lagi kalau dia pandai menyampaikan ilmu-ilmu syariat.

Suatu ketika Mansur bin Ammar datang ke Mesir. Dia diundang memberikan ceramah di satu masjid jamik yang penuh sesak dengan jamaah.

Selesai berceramah dia diminta menemui Al Laith bin Saad, seorang ulama terkenal di Mesir. Apabila berkunjung ke rumah Al Laith dia diterima baik dan penuh hormat oleh Al Laith.

Kata Al Laith, ‘Ulangilah ceramah mu itu kepada saya!

Mansur pun mengulang ceramah yang telah di sampaikan kepada jamaah di masjid sebelum itu.

Al Laith sungguh khusyuk mendengar ceramah Mansur sehingga mengalirkan air mata. Al Laith tanpa disedari menangis terisak-isak bagaikan suatu penyesalan dari suatu perbuatan dosa.

Penceramah merasa kasihan melihatkan Al Laith terus tersedu sedan menangis. Dia meminta Al Laith bertenang dan memperbanyak sabar.

Al Laith memanggil hambanya dan menyuruh bawakan kantung wang dinar.

Di dalam kantung itu terdapat seribu dinar. Lalu kantung itu diberikannya kepada Mansur.

Kata Al Laith,

‘Ambillah wang ini dan singgahlah dimana-mana untuk menyampaikan ceramah dan dakwah. Janganlah engkau suka memuji-muji selain memuji Maha Pencipta.’

Demikianlah tingginya penghargaan yang diberikan kepada pendakwah di masa silam.

-(Mansur Abdul Hakim, 162 KISAH INSAN YANG MENANGIS, 2008)

24 Syawal 1431.

October 2, 2010

SAHAM AKHIRAT

SAIDINA UTHMAN R.A.

Ketika menghadapi peperangan Tabuk, Rasulullah S.A.W. dari atas mimbar mengumumkan segala kelengkapan yang perlu disediakan.

Saidina Othman bin Affan R.A. adalah orang yang mula-mula bangun menyatakan kesaggupannya membantu.

‘Ya Rasulullah, Saya sanggup menyumbang seratus ekor unta dengan segala kelengkapannya.

Lepas seketika, beliau berkata, ‘Ya Rasulullah, saya menambah seratus ekor unta lagi.

Setelah Rasulullah S.A.W. turun dari mimbar, Saidina Othman R.A. berkata lagi, Ya Rasulullah, saya tambah seratus ekor unta lagi.

Dengan itu cukup tiga ratus ekor unta disumbangkan oleh Saidina Othman untuk kelengkapan perang Tabuk. (Mustafa Abdul Rahman, 40 hadith).

23 SYAWAL 1431

October 1, 2010

MENGAPA MENANGIS

MENGAPA menangis ketika kehilangan sesuatu yang disayangi?

Anak, isteri, keluarga, harta dan kebun ladang adalah ujian dari Allah.

Firman Allah s.w.t.

‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan merasai kelaparan, dan dengan berlakunya kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar. Al Baqarah 155.

Kesemuanya adalah hak Allah. Semuanya akan kembali kepadaNya.

Namun Rasulullah s.a.w. juga ada kalanya menangis.

Suatu hari Ibn Mas’ud dipanggil Rasulullah s.a.w.

‘Wahai Ibn Mas’ud, Bacakanlah kepada saya Al Quran!

Ibn Mas’ud berkata,

‘Adakah patut aku membacakan kepada Tuan. Sedangkan ia diturunkan kepada Tuan.

Baginda Rasulullah s.a.w. menjawab,

‘Sesungguhnya saya merasa senang sekali mendengar orang lain membacakannya untuk saya.

Mendengar kata-kata ituk, maka Ibn Mas’ud pun mula membaca. Dipilihnya Surah An Nisaa dari ayat pertama. Baginda Rasulullah s.a.w. meneliti bacaan Ibn Mas’ud dan merasa tenang dengan bacaan itu.

Ibn Mas’ud pula meneruskan bacaannya dengan penuh hati-hati. Selang sebentar dia melihat wajah Rasulullah, untuk memastikan bacaannya itu betul.

Namun apabila sampai pada ayat ke 41 surah tersebut, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Cukuplah, cukuplah tu.’

Maka Ibn Mas’ud pun berhenti membaca. Dia mendongak dan melihat wajah Rasulullah.

Kata Ibn Mas’ud, saya lihat air mata Baginda Rasulullah berlinangan.

Mafhum Surah An Nisaa ayat 41,

‘Maka bagaimanakah (Keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan Engkau (Wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini? An Nisaa 41.

- Jumaat 22 Syawal 1431