P

September 16, 2010

BOLEHKAH TAHAN LAMA

MUHASABAH AIDILFITRI (2)

UNIKNYA ibadah puasa, kerana ia dipatuhi hampir seratus peratus. Dari mula waktu imsak, orang berjaga-jaga dan berhati-hati. Takut terlajak.

Siangnya pula, meludah sana sini, takut tertelan air liur. Dan hendak menunjukkan kepada orang lain yang dia itu berpuasa.

Tidak bercakap banyak, takut batal puasa. Entah kerana letih atau haus.
Mungkin ingat lagi ustaz membaca hadith Rasulullah s.a.w.
''Kalau berpuasa janganlah melakukan perkara keji atau menjerit-jerit tak tentu hala. Kalau ada orang yang memaki dan mengutukmu katakanlah 'Aku sedang puasa.

Bila berjalan pun tunduk saja ke tanah, takut hilang pahala memandang wanita cantik, tambah pula yang tidak menutup aurat.

Yang nyata sangat dipatuhi iallah 'masa berbuka'. Boleh kata tiada yang melengah-lengahkannya.

Berbeza dengan ibadah sembahyang. Kadang-kadang ia dilakukan di penghujung waktu. Nak jimat masa. Habis saja salam terus menyambung sembahyang yang berikutnya.

Sembahyang tarawih pun, masjid dan surau jadi penuh. Tetapi kebanyakannya minggu pertama Ramadhan sahaja. Malah malam pertama, sampai melimpah dan tidak cukup sajadah.

Amalan bertadarus juga agak rancak. Tetapi sebelum tujuh lekor sudah khatam. Al Quran disimpan semula dalam almaari.

Kewajipan membayar zakat fitrah seiring ibadah puasa itu juga sangat dipatuhi oleh umat Islam. Pertengahan Ramadhan sudah ramai yang menunaikan zakat fitrah. Sifat pemurah dan suka bersedekah itu dilanjutkann di pagi Syawal, hingga kanak-kanak jadi 'ketagih' berziarah dari rumah ke rumah, walaupun sudah masuk hari ketujuh raya.

Pendek kata, pendidikan Ramadhan sebulan itu dikira berjaya membentuk sakhsiah seorang muslim bagi mencapai tingkat taqwa seperti yang disebut dalam ayat 183 suratul Baqarah.

Andainya diibaratkan sebagai bateri, adakah kesan ibadah puasa itu dapat berterusan. Adakah ia TAHAN LAMA.

Bolehkah dilakukan muhasabah pada hari ketujuh - yakni seminggu selepas kita merayakan kemenangan itu.

Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan,
'Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak didapati apa-apa dari puasanya kecuali dahaga semata-mata. Berapa ramai orang yang menghidupkan malam Ramadhan, kecuali penat berjaga sahaja.

email: wadenko@yahoo.com

September 15, 2010

MUHASABAH AIDILFITRI


KEHAIBATAN PUASA Ramadhan ditandai dengan kemenangan kita menguasai nafsu. Ini tergambar di Hariraya Aidilfitri yang hening syahdu..

Pagi itu mulakanlah muhasabah diri berasaskan firman Allah s.w.t. Suratul Baqarah ayat 183

' Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al Baqarah 183).

Saidina Umar Al Khattab pernah bertanya kepada Ubay bin Kaab r.a. mengenai hal taqwa ini.

Jawab Ubay bin Kaab,

‘Apakah kamu pernah berjalan di tempat yang penuh dengan onak dan duri?

Saidnia Umar Al Khattab lantas menjawab,

‘Pernah. Saya sangat berwaspada dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri-duri tersebut.’

Ubay bin Kaab pula membalas, ‘Demikianlah ibaratnya taqwa.’

(Tafsir Ibn Kathier)

Dari penjelasan Ubay bin Kaab itu, mafhumlah kita bahawa taqwa itu adalah sifat berhati-hati, berwaspada dan bersungguh-sungguh mengelak diri dari perbuatan mungkar dan fahsya’. Teliti dan sentiasa mengamati dalam mengamalkan perkara yang halal, takut jatuh ke dalam perkara syubhah.

Pendek kata sifat taqwa itu menuntut kita meluruskan pegangan: yang halal dihalalkan dan yang haram diharamkan.

Berbalik kepada hal puasa, maka Allah sudah menyatakan bahawa tujuannya ialah untuk memantapkan TAQWA di dalam diri orang yang berpuasa itu.

Kesungguhan menghadapi pelbagai penderitaan menghabiskan puasa sebulan tidaklah berlalu dengan sia-sia apabila berhadapan dengan suasana meriah yang mencabar di pagi raya.

Antara muhasabah diri yang wajar dibuat di bulan Syawal ini ialah:

Di bulan puasa kita dapat mengawal nafsu, mengapa tibanya Syawal ini, nafsu tidak lagi terkawal. Ia jadi melimpah-limpah bagai empang pecah. Bayangkan jika nafsu itu bagai empang, dan ia pecah di hari raya kerana tingkah laku yang tidak terkawal.

HANGIT

Umpat, keji, adu domba, fitnah, dusta menjadi ramuan yang sangat 'menyelerakan'. Habis hangus hangit segala pahala puasa Ramadhan.

BAGAI ASAP KILANG

Sepanjang bulan Ramadhan boleh dan berupaya untuk berhenti merokok, mengapa di hari raya asap keluar dari mulut bagai asap kilang.

Malah di bulan Ramadhan, ujian yang sangat kuat adalah kepada para perokok. Siangnya mereka boleh menahan ketagih rokok lebih dua belas jam. Lepas berbuka tabiat ketagihan itu diulang semula, hinggakan sepanjang malam menjelang sahur beberapa bungkus lagi rokok hangus dihujung bibir. Maksudnya ibadat puasanya gagal menghentikan ketagih merokok.

Jika perangai ini diamalkan oleh semua perokok bermakna pengeluaran rokok meningkat berganda-ganda di bulan Ramadhan.

Kilang-kilang rokok mana yang mengaut untung?

MATI DEK MERCUN

Di bulan Ramadhan, ramai anak yang putus tangan dan jari akibat bermain mercun yang dibeli oleh ibu bapa. Malah ada yang mati akibat stor mercun milik ayah meletup.

Namun di hari raya yang dianggap hari kemenangan melawan nafsu itu, ada lagi ibu bapa yang MENGGALAKKAN anak bermain bunga api dan mercun.

Suasana takbir mengangungkan Allah itu tenggelam dek suara bising mercun.

Kesegaran udara Syawal itu bertukar dengan kotor dan hangitnya bau belerang dari mercun dan bunga api.

Inikah yang dikatakan kemenangan Aidilfitri?

Kata Saidina Umar, ‘Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab kelak.’

September 11, 2010

PUASA SEMBILAN

SEMANGAT ARAFAH

ALANGKAH gagahnya orang yang dapat meneruskan kehebatan puasa itu dalam dirinya.

Selepas menguasai Ramadhan sebulan, disambungnya pula denga enam hari puasa sunat di bulan Syawal hingga dengan itu seolah puasanya sepanjang masa (Riwayat Muslim).

Demikianlah seorang muslim perkasa yang dapat meneguhkan wibawanya dengan ibadah puasa.

Apabila tiba pula bulan Zulhijjah, dia tidak tinggal diam. Jauh sekali leka dengan aneka tuntutan dunia yang melalaikan.Dia turut juga berpuasa. Pada hari kesembilan bulan itu, jutaan umat sedang berada di Padang Arafah kerana memenuhi salah satu tuntutan haji.

Maka muslim yang tidak pergi menunaikan haji di sunatkan berpuasa yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah sebagai puasa Hari Sembilan. Ia di kenal juga sebagi Puasa Hari Arafah.

Kata Abu Qatadah, Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa Hari Arafah ini.

Maka jawab Baginda,

‘Puasa Hari Arafah adalah menghapus dosa tahun sebelumnya dan dosa tahun ini.

Hadith riwayat Muslim.

Assaum Junnatun, puasa adalah benteng kukuh, sabda Rasulullah. Sedangkan sedekah itu menghapus dosa seperti air memadamkan api.

Hadith riwayat Termizi.

- 2 2 Syawal 1431

September 10, 2010

KEKAL KEHEBATAN PUASA


KEHEBBATAN puasa mendidik manusia ternyata di akhir ibadah itu dengan ganjaran dari Allah s.w.t. melalui ANUGERAH AIDIL FITRI.

Allah maha pengasih akan umatnya. Pada hari kemenangan itu dibebaskannya manusia. Malah diharamkannya manusia berpuasa. Itulah satu penghormatan dan penghargaan dari Allah s.w.t.

Suasana berpuasa adalah suasana disiplin diri mengawal nafsu. Suatu sisem kawalan yang sangat berjaya mendidik manusia.

Ibadah puasa berbeza dengan ibadah lain. Solat umpamanya mempunyai disiplin berlainan. Waktunya agak ‘longgar’.

Ibadat puasa sangat unik. Masuk saja waktu imsak, semua orang berhenti makan dan minum. Dan mulai menjaga segala perkara yang boleh membatalkan puasa.l

Apabila azan maghrib berkumandang, semua orang berbuka tanpa berlengah lagi. Malah di sunatkan segera berbuka apabila telah sampai waktunya.

Suasana disiplin yang sangat berkesan ini dilanjutkan lagi selepas Ramadhan melalui puasa sunat.

Baginda Rasulullah s.a.w. menegaskan,

‘Siapa yang puasa Ramadan, kemudian melanjutkan pula dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, maka seolah ia puasa sepanjang masa.

Hadith riwayat Muslim.

Alangkah beruntungnya mereka yang dapat mengekalkan nikmat dan amalan berpuasa itu selanjutnya.

September 9, 2010

MINAL 'AIDIN WAL FAIZIN

MENGENAI puasa Rasulullah s.a.w. menyatakan,

‘Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari hadith ini nyata balasan puasa itu sangat tinggi. Dikirakan langsailah hutang dosa yang lama. Bebas dari dosa seolah-olah baru dilahirkan dari perut ibu.

Oleh yang demikian hari raya adalah hari merayakan kembalinya kita kepada fitrah. Hari kemenangan atas kejayaan melawan nafsu hingga terhapusnya dosa. Alangkah besarnya makna kemenangan itu.

Islam mantapkan kemenangan itu dengan galakan bersyukur ke hadhrat Allah melalui kalimah suci takbir dan tahmid.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar

La ilaha illallah huallahu akbar

Allahu akbar wa lillahil hamd.

Kebiasaan mendatangi masjid di pagi Syawal untuk solat Aidilfitri adalah perbuatan mulia. Namun setiap individu hendaklah berhati-hati.

Kesucian Syawal dalam merayakan kemenangan ini kerap tercemar akibat perbuatan melampau.

· Melampau dalam memilih pakaian: menampakkan aurat dsb.

· Memakai bau-bauan hingga menimbulkan fitnah dan berahi

· Pergaulan yang bebas dan merangsang berahi

· Kaum wanita bersolek melebihi takat yang dibenarkan syarak.

Kesemua perbuatan dan tingkah laku yang merugikan ini boleh menjejaskan kemenangan dan kejayaan puasa Ramadhan.

Jika benar puasa kita telah menghapus dosa yang lalu, mengapa diulang pula pada pagi syawal?

September 8, 2010

ZAKAT FITRAH MEMBERSIH YANG KEJI


HIKMAH ZAKAT FITRAH

Ibn Abbas radhiallahu anhuma berkata,

‘Rasulullah s.a.w. telah memfardhukan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa dari dosa kata-katanya yang sia-sia dan keji. Ia juga menjadi sumber makanan orang-orang miskin. Oleh yang demikian sesiapa yang menunaikan zakat sebelum sembahyang hari raya, maka zakat fitrahnya dimakbulkan. Dan siapa yang menunaikannya sesudah solat hari raya maka ia sebagai sedekah biasa.

Riwaya t Abu Daud.

Bersegeralah menunaikan zakat fitrah supaya hikmahnya dapat meresap ke dalam ruh kehidupan kita:

1. Membersihkan diri dari segala kesilapan dan dosa sepanjang bulan Ramadhan

2. Membersihkan lidah dari segala ucapan nista, keji, lancang dan memutuskan silatur rahim.

3. Membersihkan hati dari sifat dendam, hasad, dan buruk sangka terhadap orang lain.

4. Menyuburkan ukhuwah dan cinta sesama makhluk

5. Mengukuhkan rasa belas kasihan terhadap golongan kurang berada.

September 7, 2010

AMALAN MEMBAWA KE SYURGA

ABU HURAIRAH pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

‘Ya Rasulullah, beritahulah kepadaku amalan-amalan yang membolehkan aku masuk syurga bila mengamalkannya.

Baginda s.a.w. menjawab,

‘Beri makan fakir miskin, amalkan member salam, hubungkan silatur rahim, sembahyang malam (qiamul lail) sedangkan manusia lain sedang tidur. Nescaya engkau masuk syurga dengan selamat.

Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Hibban.

Kata Abdullah bin Salam, antara ucapan awal Rasulullah s.a.w. mula sampai di Madinah ialah:

‘Wahai Manusia, amalkanlah memberi salam, berilah makan fakir miskin, hubungkan silatur rahim, dirikan sembahyang malam ketika manusia lain tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.

Riwayat Termizi, Ibn Majah dan Ad Darimi.

September 6, 2010

MALAM TUJUH LEKOR

Tujuhlekor

Malam tujuh lekor yang disambut dengan meriah oleh masyarakat Melayu bukanlah malam Lailatul Qadar.

Zaman dahulu, malam tujuh lekor disambut pada 27 Ramadhan. Tetapi kebelakangan ini, ia sudah mula dimeriahkan sejak pertengahan bulan Ramadhan.

Malam tujuh lekor disambut dengan pesta cahaya berupa lampu pelbagai jenis. Ada lampu dari lilin, malah ada lampu dari colok menggunakan minyak gas. Lampu-lampu itu pula dipasang sepanjang malam.

Kebiasaan memasang lampu malam tujuh lekor kian merebak, sehingga ada yang sanggup menjadikannya sebagai pesta cahaya.

Tiada kaitan langsung malam tujuh lekor itu dengan Lailatul Qadar. Lailatul Qadar adalah malam mulia.

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,

2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?

3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Surahh Al Qadar 1-5.

Tiada ketentuan bahawa malam Lailatul Qadar itu tetap berlaku pada 27 Ramadhan. Tetapi Rasulullah s.a.w. mengatakan,

‘Bersungguh-sungguhlah kamu melakukan ibadat pada malam ganjil, sepuluh yang akhir bulan Ramadhan.

Hadith Bukhari.

Aishah jua menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh beribadat pada sepuluh yang akhir bulan Ramadhan, dibandingkan dengan bulan lain. – Riwayat Muslim.

September 4, 2010

TERLANJUR DI SIANG RAMADHAN

KIFARAT PUASA

DEK TERLANJUR BULAN RAMADHAN

NAFSU yang membuak-buak menyebabkan seorang lelaki terlanjur melakukan hubungan kelamin bersama isterinya di siang bulan Ramadhan dalam keadaan dia berpuasa.

Menyesal diatas ketelanjurannya itu, dia terus datang menemui Rasulullah s.a.w. untuk menyerah diri sekaligus memohon apa hukum yang harus dijalaninya bagi menebus dosa besar yang dilakukannya itu.

Peristiwa yang tragik ini diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.

Katanya, ‘Suatu ketika sedang kami duduk di sisi Nabi s.a.w. tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata,

‘Ya Rasulullah, saya telah binasa!

Rasulullah menjawab dan bertanya, ‘Apa hal kamu?

Jawab lelaki itu,

‘Saya telah bersetubuh dengan isteri saya sedang saya berpuasa.’

Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya lagi,

‘Adakah engkau memiliki hamba abdi untuk dimerdekakan (menebusnya).

Lelaki itu berkata, ‘Tidak ada’

Maka baginda bersabda lagi,

‘Sangggupkah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?

Lelaki itu berkata, ‘Tidak sanggup’.

Maka baginda bertanya lagi,

‘Mampukah engkau member makan enam puluh fakir miskin?

Lelaki itu menjawab, ‘Tidak sanggup.

Baginda diam sebentar. Dalam keadaan kami tertunggu-tunggu, tiba-tiba datang seorang membawa kepada Nabi s.a.w. sebakul besar buah kurma.

Dengan itu lalu Nabi s.a.w. bersabda,

‘Mana dia orang tadi?

Orang itu menjawab, ‘Saya!

Maka Baginda bersabda,

‘Ambil kurma ini dan sedekahkan’

‘Lelaki itu berkata,

‘Nak sedekahkan kepada orang yang lelbih miskin dari saya, ya Rasulullah?

Demi Allah, tidak ada orang yang lebih miskin dari keluarga saya.’

Lalu Rasulullah ketawa mendengar jawapan lelaki itu.

Kemudian baginda bersabda,

‘Jika begitu, ambillah kurma ini dan beri makan keluargamu.’


Hadith riwayat Bukhari.

Hukum yang terbit dari hadith ini ialah orang itu dikehendaki membayar kifarat . Pertamanya memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Dan jika tidak mampu, hendaklah memberi makan enam puluh orang fakir miskin.

September 3, 2010

SALAM MALAIKAT DI LAILATUL QADAR

LAILATULQADAR

MALAM Lailatul Qadar adalah salah satu malam di dalam bulan Ramadhan.Malam Lailatul Qadar dinyatakan sebagai bulan yang lebih baik dari seribu bulan yang lain.

Firman Allah s.w.t.,

‘Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan lain. Malam itu malaikat dan Jibril sendiri turun dengan izin Tuhan mereka. Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar. SURAH AL QADAR 4-5

ALLAH juga menyebut dalam surah ini bahawa Al Quran diturunkan pada malam Al Qadar. Malam diturunkann Al Quran . Ini disebut juga sebagai malam yang berkat (surah Ad Dukhan).

Dalam surah Al Baqarah disebut bahawa al Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan.

KELEBIHAN LAILATUL QADAR

Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dan beribadat (Qiamul lail) dengan iman dan mengharapkan keampunan, diampunkan dosanya yang teelah lalu. Hadith riwayat Bukhari dan Muslim. (Ibnu Kathier 9:117).

‘salamun hia hatta matla’il fajri’

Selamat sejahtera hingga terbit fajar, kata As Syaabi ‘Bahawa salam yang diucapkan oleh malaikat ialah kepada orang yang berada dalam masjid.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Lailatul qadar berlaku pada malam yang ganjil sepuluh yang akhir. Para malaikat lebih ramai dari bilangan kerikil. – Riwayat Ahmad.

Kata Ibn Kathier malam turunnya Al Quran ialah malam Lailatul Qadar.

Kata Aishah, malam-malam ganjil yang terakhir (21. 23, 25, 27, 29) Nabi s.a.w. bangun mengerjakan ibadah bersama isteri-isterinya. – Muslim.

Aishah pernah bertanya kepada baginda,

‘Wahai Rasulullah, jika aku mendapat malam Lailatul Qadar, maka apakah sebaiknya aku berdoa?

Baginda menjawab,

‘Ucapkanlah:

Allalhumma innaka afuwwun, tuhibbul afwa, fa’fuanni.

(Ya Allah Engkaulah Maha Pengampun, maka ampunilah aku)

Riwayat Ahmad, Tarmizi Annasai dan Ibn Majah).