P

October 15, 2009

MEREKA YANG MUFLIS

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?

Sahabat-sahabat baginda menjawab, “Orang muflis dikalangan kami ialah orang yang tidak ada dirham (wang) dan tidak ada harta benda.” Nabi s.a.w. bersabda,

“Sebenarnya orang muflis di kalangan umatku ialah yang datang di hari kiamat membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan (dosa) memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini (cara haram) dan menumpahkan darah orang itu (cara haram), dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari pahala amal kebajikannya lalu diberikan kepada orang-orang itu. Kiranya habis pahala amal kebajikannya sebelum habis dibayar (hutang) kesalahannya, maka akan diambil pula dosa orang yang dianiayanya itu serta ditimpakan ke atasnya. Akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka.

Hadis riwayat Tarmizi. Mustika 364

Hadis menceritakan keadaan bagaimana manusia dihisab amalannya di hari akhirat. Setiap amalan akan dikira dan diberi ganjaran yang setimpal lagi adil.

Amal kebajikan akan dibalas dengan pahala. Sedangkan perbuatan jahat, mungkar atau maksiat akan dibalas dengan dosa.

Apabila seseorang melakukan kejahatan atau aniaya terhadap orang lain maka orang itu akan menuntutnya diakhirat kelak. Lalu pahala kebajikannya akan diberikan kepada orang yang dianiayai itu.

Jika di dunia dia mengambil harta orang secara haram, maka di akhirat pahala kebajikannya akan diberikan kepada tuanpunya harta yang diambilnya itu menurut kadarnya.

Demikian juga jika dia melakukan khianat terhadap orang lain, maka pahal kebajikannya akan diberikan kepada orang itu.

Akhirnya habislah pahala kebajikan yang dibawanya. Nyatalah dia sudah menjadi muflis. Tetapi ‘hutang’nya masih banyak terhadap orang lain. Maka sebagai ganti, dosa orang yang dianiaya itu dihumbankan keatasnya.

Pahala sudah habis, dosa orang lain pun ditanggung, maka sudah pasti dia dihumbankan ke dalam neraka.

PENGAJARAN

1. Setiap amal perbuatan manusia, baik dan jahat akan dihisab.
2. Hendaklah sentiasa menambah amal kebajikan sebagai bekal dihari hisab.
3. hendaklah sentiasa berlumba membuat kebajikan dan berusaha meninggalkan segala kejahatan.
4. Setiap perbuatan jahat hendaklah segera disusuli amal kebajikan.