P

May 30, 2009

MEMBACA SATU HURUF AL QURAN

Dari Ibn Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al Quran) maka ia mendapat satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu pula dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, bahkan alif adalah satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu pun satu huruf juga.

Riwayat At Tarmizi

Di dalam Hadith ini Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa membaca Al Quran adalah ibadah yang sangat bermanfaat kepada seseorang. Setiap kali seseorang itu membaca satu huruf Al Quran ia pasti mendapat pahala kebaikan dari Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. menjelaskan lagi bahawa pahala membaca Al Quran bukan terhenti setakat itu sahaja, malah ia akan dilipatgandakan sepuluh kali lagi bagi tiap-tiap bacaan tersebut.

Sebagai galakan kepada orang yang membaca Al Quran itu, Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa yang dimaksudkan satu huruf bukan seperti permulaan surah dengan alif lam mim.
Menurut baginda, alif dikira satu huruf. Lam itu juga dikira satu huruf dan demikian juga mim dikira satu huruf.

Tegasnya setiap huruf yang dibaca itu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. dengan sepuluh kali ganda banyaknya.


PENGAJARAN

1- Al Quran adalah kitab suci lagi mulia mengandungi wahyu-wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w.
2- Setiap umat Islam wajib belajar membaca Al Quran dengan kaedah yang betul.
3- Setiap umat Islam juga wajib mempelajari isi kandungan Al Quran.
4- Membaca Al Quran adalah ibadah dan diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah s.w.t.

May 29, 2009

SERUAN MALAIKAT UNTUK SOLAT


KELEBIHAN SOLAT

Ibnu Mas’ud r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,


‘Menjelangnya waktu solat, seorang malaikat ditugaskan menyeru,”Hai anak Adam! Bangunlah dan padamkalah api yang sedang kamu nyalakan untuk membakar dirimu.’
Maka manusia pun bangun, berwudhuk dan solat Zuhur. Ini menyebabkan dosa-dosa yang dilakukannya sejak matahari terbit, terampun. Demikianlah diulangi pula pada waktu Asar, Maghrib dan Isya’. Selepas Isya’ orang pun tidur, tetapi ada setengahnya sibuk mengerjakan kebaikan dan yang lainnya sibuk mengerjakan maksiat.’

Riwayat At Tabarani

Hadith ini menceritakan perihal seruan malaikat kepada manusia ketika hampirnya masuk waktu solat. Seruan tersebut adalah sebagai peringatan dan amaran kepada makhluk manusia iaitu sudah sampai masanya untuk mengabdikan diri kepada Allah melalui perintah solat.

Apabila sampai masuk waktu solat, maka tidak adalah pekerjaan yang paling mulia di sisi Allah kecuali menuanikan solat.

Dalam hadith-hadith yang lain Rasulullah pernah menegaskan bahawa menunaikan solat pada awal waktunya adalah sebaik-baik amal orang beriman.

Kata Salman r.a., selepas Isya’ manusia terbagi kepada tiga golongan:

Bagi satu golongan, malam itu sumber kebajikan dan keuntungan kepadanya. Mereka menghabiskan malam dengan menyembah Allah s.w.t. sedang yang lain nyenyak tidur. Merekalah yang mendapat ganjaran berlipat ganda di akhirat kelak.

Dan setengah golongan yang lain lagi, malam menjadi kutukan baginya kerana mereka melakukan berbagai maksiat sepanjang malam. Mereka menghabiskan malam dengan bersukaria, berpoya-poya, berjudi, berzina, minum arak, merompak menyamun dan seribu satu maksiat yang lain. Oleh kerana itu malam mendatangkan bencana kepada mereka.

Dan bagi setengah golongan yang ketiga malam hanya semata-mata untuk mereka tidur sahaja dengan pelbagai mimpi enak atau yang ngeri. Mereka hanya menghabiskan masa malam diatas katil empuk atau di gubuk buruk, malah tidak kurang pula yang lena di kaki lima jalan. Mereka ini tidak mendapat faedah sedikit pun. Sama ada di dunia mahupun di akhirat.

PENGAJARAN

1. Sembahyang lima waktu adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan
2. Sembahyang adalah ibarat tiang agama seperti yang telah dinyatakan di dalam beberapa hadith

3. Sembahyang hendaklah ditunaikan segera pada awal wakatunya.

4. Melengah-lengahkan menunaikan sembahyang menyebabkan seseorang menjadi lalai dari melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.

5. Sembahyang adalah salah satu cara untuk bertaubat dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.

Wallahu Aalam.

May 27, 2009

TIGA JALAN SELAMAT

Untuk keselamatan dunia dan akhirat.
(AN NAJATU MINAN NAR)

Uqbah bin Amir r.a. berkata,
‘Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

‘Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu?

Baginda s.a.w. menjawab,

‘Peliharalah lidahmu (dari sebarang yang memudaratkanmu), hendaklah rumahmu mendatangkan ketenanganmu, dan tangisilah kesalahanmu.”

(Riwayat Termizi – Al Azkar 663)

Dalam hadith ini Baginda Rasulullah s.a.w. menjelaskan jalan-jalan yang boleh menyelamatkan seseorang dari azab.

Pertama: Lidah selalunya membawa bencana kepada manusia kerana pertuturan yang diucapkannya. Oleh yang demikian Rasulullah menasihatkan supaya menahan lidah dari bertutur dengan perkara yang boleh memudaratkan.

Perkara yang memudaratkan akibat pertuturan ialah kata-kata yang mendatangkan dosa dan kemungkaran. Dengan menjaga lidah manusia akan selamat di dunia dan juga akhirat.

Hal kedua yang disebut oleh Rasulullah ialah ‘rumah yang membahagiakan’. Sayugia diingat, rumah adalah tempat tinggal atau tempat berteduh. Tempat berehat, mencari ketenangan (sakinah) dan yang penting sekali rumah adalah tempat mengasuh dan mendidik keluarga.

Oleh kerana itu rumah sepatutnya mendatangkan kebahagiaan, ketenangan dan keselesaan kepada penghuninya. Suasana rumahtangga yang tidak aman tenteram, menimbulkan pelbagai masalah kepada penghuninya. Ini akan membawa kepada kerosakan sistem keluarga dan akhirnya menjadi porak puranda.

Antara perkara yang boleh mengeruhkan suasana rumahtangga ialah:

1. Tidak menghidupkan amalan sunnah di dalam rumah
2. Rumah tidak dibacakan ayat-ayat suci Al Quran
3. Tidak mendirikan solat.
4. Melakukan perkara maksiat di dalam rumah
5. Tidak berzikir di dalam rumah
6. Hiburan diluar batas syarak
7. Pakaian, makanan dan barang-barang yang haram

Untuk mendatangkan kebahagiaan rumahtangga hendaklah; menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. Sentiasa membaca dan dibacakan Al Quran

Sentiasa solat berjamaah.
Membanyakkan amalan salih dan bersedekah

Perkara ketiga yang disebut Rasulullah s.a.w. ialah jalan bertaubat.
Sabda Baginda, ‘Tangisilah kesilapanmu.’

Menyesali akan diri sendiri terhadap sebarang kesilapan atau kesalahan yang dilakukan adalah satu cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah untuk bertaubat kepada Allah.

Tangisan adalah tanda penyesalan, dengan itu mudah-mudahan akan bangkit rasa insaf yang mendalam untuk meninggalkan perkara yang mendatangkan dosa itu.

Wallahu a’alam.

May 22, 2009

BISIKAN MALAIKAT HASUTAN SYAITAN

PERTARUNGAN SEPANJANG HAYAT


Dari Ibn Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

'Sesungguhnya syaitan ada bisikan di hati anak Adam. Dan Malaikat juga ada bisikannya. Bisikan syaitan itu ialah dorongan supaya melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran. Bisikan malaikat pula menggalakkan kebaikan dan meyakini kebenaran. Oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik di dalam hatinya, maka ketahuilah ia dari Allah dan hendaklah bersyukur kepada Allah. Dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi (bisikan kejahatan) maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.”

(Riwayat Tarmizi dan An Nassai).

Dua perkara yang ada terlintas di dalam hati manusia: hendak melakukan perkara yang baik atau perkara yang buruk.

Hadith ini menyatakan bahawa Malaikat bertugas membisikkan perkara yang baik ke dalam hati manusia. Sementara syaitan pula sentiasa membisikkan perkara yang buruk dan jahat.

Tegasnya malaikat sentiasa mendorong manusia melakukan yang baik, sedangkan syaitan sentiasa menghasut untuk melakukan kejahatan.

Malaikat mendorong manusia meyakini kebenaran, syaitan pula berusaha menyelewengkan manusia supaya menolak kebenaran.

Bisikan syaitan itu sama ada dorongan secara langsung atau ada rasa was-was dan juga ragu-ragu seperti disebut dalam surah An Nas.

‘Dia menimbulkan was-was di dalam dada manusia’.
Jika terasa lintasan kebaikan di dalam hati maka itu adalah dari Allah yang dibisikkan oleh malaikat ke dalam hati manusia. Maka hendaklah dia bersyukur dan meneruskannya.

Jika ada lintasan untuk melakukan kejahatan maka itu adalah dari syaitan. Segeralah beristighfar dan mohon perlindungan Allah dari godaan syaitan.


PENGAJARAN

1. Setiap orang beriman wajib percaya wujudnya malaikat dan jin sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah s.w.t.

2. Ada malaikat yang bertugas membisikkan ke dalam hati manusia supaya melakukan kebajikan.

3. Iblis dan syaitan adalah makhluk Allah dari kumpulan jin.

4. Syaitan berusaha merosakkan manusia dengan membisikkan dalam hati mereka supaya melakukan kejahatan.

5. Setiap kali ada lintasan dalam hati untuk melakukan kebaikan dan meyakini kebenaran, hendaklah bersyukur serta terus melakukan kebaikan itu.

6. Setiap kali ada lintasan dalam hati untuk melakukan kejahatan, maka ia adalah hasutan syaitan. Hendaklah memohon perlindungan Allah dan menahan diri dari melakukannya.

7. Setiap kali terasa lintasan hati hendaklah dipertimbangkan dari sudut syarak supaya tidak mudah ditipu oleh syaitan yang sentiasa menjadi musuh manusia.

May 20, 2009

HIJRAH KERANA PEREMPUAN

NILAI NIAT DALAM IBADAT

Dari Amirul Mukminin Abu Hafsin Umar bin Alkhattab r.a. katanya, ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,


‘Hanya sesungguhnya segala ‘amal itu bergantung dengan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap manusia apa yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehinya, atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang ia hijrah.

Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menyatakan tentang nilai niat dalam setiap perbuatan manusia. Balasan atau ganjaran oleh Allah s.w.t. adalah berasaskan niat seseorang dalam amal pekerjaannya.

Niat itulah yang membezakan perbuatan adat dengan perbuatan yang diberi ganjaran (ibadah).
Misalnya duduk berehat di dalam masjid tidak mendapat apa-apa ganjaran dari Allah s.w.t. Manakala duduk dengan niat iktikaf akan diberi pahala oleh Allah s.w.t.

Niat bermaksud menggerakkan hati untuk melakukan apa yang diperintahkan syara’ dengan tujuan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Niat bagi tujuan selain dari itu adalah tidak diterima oleh Allah s.w.t.

HIJRAH KERANA PEREMPUAN

Seorang lelaki Mekah bernama Hatib bin Balta’ah telah mencintai gadis bernama Ummu Qais. Dia masuk meminang tetapi pinangannya ditolak. Sewaktu orang-orang Islam hijrah ke Madinah, Ummu Qais juga turut hijrah. Hatib yang masih cintakan Ummu Qais mendapat tau kekasihnya telah pindah, maka dia pun turut berhijrah dengan harapan dapat memujuk Ummu Qais supaya kahwin dengannya.

Perkara itu diberitahu kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda menegur perbuatan itu, sebab hijrahnya bukan kerana Allah dan Rasulnya, malah kerana perempuan yang dikasihinya. Dia tidak mendapat apa-apa ganjaran pahala dari hijrahnya itu.

Baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya lalu mengaitkan niat sesuatu amalan itu dengan tindakan berhijrah seperti yang dilakukan oleh lelaki berkenaan.

Walaupun lelaki tersebut akhirnya dapat berkahwin dengan kekasihnya, tetapi ia tidak dapat apa-apa ganjaran dari hijrahnya.


Niat menjadi syarat utama sahnya sesuatu amalan yang baik. Amalan yang tidak ada niat atau niat bukan kerana Allah, adalah tidak sah. Amalan yang tidak sah, tidak akan diterima oleh Allah.

Sesuatu amalan baik dikira ibadat, sekiranya ia disertakan niat. Sesuatu perbuatan baik tanpa disertai niat, maka ia menjadi amalan adat dan tidak diberi apa-apa pahala.

Niat dalam pekerjaan yang baik dan yang diperintahkan oleh syariat, hendaklah ditujukan kepada Allah semata-mata, dan bukan kerana tujuan yang lain.

Hijrah diberi contoh oleh Rasulullah s.a.w., kerana ada sebahagian umat Islam melakukannya bukan kerana Allah, tetapi tujuan keduniaan seperti perkahwinan dan lain-lain kepentingan duniawi.



PENGAJARAN HADIS

1 Setiap amal ibadat memerlukan niat.
Niat membezakan perbuatan adat dari perbuatan ibadah.

2 Niat yang ikhlas kepada Allah dalam ibadah menentukan ganjaran daripadaNya.

3 Perbuatan ibadah yang yang dilakukan bukan kerana mencari keredhaan Allah tidak akan mendapat ganjaran daripadaNya.

May 19, 2009

MUFLIS DI AKHIRAT

SIAPAKAH ORANG MUFLIS



Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?

Sahabat-sahabat baginda menjawab, “Orang muflis di kalangan kami ialah orang yang tidak ada dirham (wang) dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda,

“Sebenarnya orang muflis di kalangan umatku ialah yang datang di hari kiamat membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan (dosa) memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini (cara haram) dan menumpahkan darah orang itu (cara haram), dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari pahala amal kebajikannya lalu diberikan kepada orang-orang itu. Kiranya habis pahala amal kebajikannya sebelum habis dibayar (hutang) kesalahannya, maka akan diambil pula dosa orang yang dianiayanya itu serta ditimpakan ke atasnya. Akhirnya ia dihumbankan ke dalam neraka.

(Hadith riwayat Tarmizi)

Hadith ini menceritakan keadaan bagaimana manusia dihisab amalnya di hari akhirat. Setiap amalan akan dikira dan diberi ganjaran yang setimpal oleh allah s.w.t.

Amal kebajikan akan dibalas dengan syurga. Sedangkan perbuatan jahat, mungkar atau maksiat akan dibalas dengan azab neraka.

Apabila seseorang melakukan kejahatan atau aniaya terhadap orang lain, maka orang itu akan menuntutnya di akhirat kelak. Lalu pahala kebajikannya akan diberikan kepada orang yang dianiayai itu.

Jika di dunia dia mengambil harta orang secara haram, maka di akhirat pahala kebajikannya akan diberikan kepada tuan punya harta yang diambilnya itu menurut kadarnya.

Demikian juga jika dia melakukan khianat terhadap orang lain, maka pahala kebajikannya akan diberikan kepada orang itu.

Akhirnya habislah pahala kebajikan (dari ibadat dan lainnya) yang dibawanya. Nyatalah dia sudah menjadi muflis. Tetapi ‘hutang’nya masih banyak terhadap orang lain. Maka sebagai ganti, dosa orang yang dianiaya itu dihumbankan keatasnya.

Pahala sudah habis, dosa orang lain pun ditanggung, maka sudah pasti dia dihumbankan ke dalam neraka.

PENGAJARAN

1. Setiap amal perbuatan manusia, baik atau jahat adalah dicatit oleh para malaikat dan akan
dihisab di hari akhirat.
2. Hendaklah sentiasa menambah amal kebajikan sebagai bekal di hari akhirat kelak.
3. Hendaklah sentiasa berlumba membuat kebajikan dan berusaha meninggalkan segala
kejahatan.
4. Setiap perbuatan jahat hendaklah segera disusuli amal kebajikan.
5. Sentiasa taubat kepada Allah atas segala kesalahan.

May 16, 2009

DOA YANG DITOLAK

MENGAPA TIDAK MUJARRAB

SERING manusia mengeluh kerana doanya tidak dimakbulkan Tuhan. Tetapi manusia lupa melihat ke dalam dirinya, mengapa doanya tidak ‘mujarrab’. Perhatikan dan renunglah hadith selanjutnya.

Dari Abu Hurairah r.a.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Sesungguhnya Allah Taala itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang beriman seperti apa
yanag diperintahkanNya kepada para Rasul. Maka Allah berfirman kepada para Rasul. ‘Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah amalan yang baik.’

Dan Ia berfirman lagi,

‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari segala yang baik-baik yang telah direzekikan kepada kamu’.

Kemudian baginda menyebutkan kisah seorang lelaki yang jauh perjalanan, kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, menghulurkan dua tangannya ke langit dan berdoa. ‘Hai tuhanku’. Padahal makanannya haram, mulutnya disumbat dengan yang haram, tempat tinggalnya haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya?

(Hadith riwayat Muslim).

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa makanan yang haram, tempat tinggal atau rumah yang haram dan pakaian yang haram boleh menjejaskan doa seseorang. Doanya tidak diterima Allah.

PENGAJARAN

Doa adalah sebahagian dari ibadat
1. Berdoa (memohon) hanya kepada Allah sahaja seperti yang dinyatakan dalam surah Al
Fatihah.
2. Hendaklah ikhlas dalam berdoa.
bersihkan diri melalui taubat sebelum berdoa.
3. Berada dalam keadaan haram sama ada makan minum, pakaian dan tempat tinggal
menyebabkan doa tertolak.

May 14, 2009

TUTUR YANG BAIK TANDA IMAN

Sentiasa Jaga lidah

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda,

‘Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata yang baik atau hendaklah diam saja.
(Riwayat Bukhari dan Muslim – al azkar 660)

Percakapan atau pertuturan adalah penting bagi manusia. Ia adalah alat perhubungan dalam kehidupan. Melalui pertuturan manusia dapat memahami antara satu sama lain. Pertuturan boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan.

Pertuturan yang mendatangkan kebaikan adalah bermanfaat kepada manusia. Sebaliknya pertuturan yang mendatangkan keburukan adalah membinasakan manusia itu sendiri.

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. mengaitkan kata-kata yang baik itu dengan iman. Ini kerana kata-kata yang baik mendapat ganjaran baik di akirat, sementara kata-kata yang tidak elok kelak akan mendapat ganjaran buruk.

Oleh kerana itu hendaklah kita selalu bertutur perkara yang baik. Jika tidak maka adalah lebih elok berdiam diri sahaja. Supaya dengan itu kita akan selamat dari sebarang dosa dan azab akhirat.

PENGAJARAN


1. Setiap amalan manusia akan dihisab di hari akhirat kelak termasuk tutur
katanya.
2. Tutur kata yang baik diberi ganjaran pahala manakala tutur kata yang buruk

akan mendapat dosa.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak mendatangkan bencana kepada diri dan orang lain.
4. Tutur kata yang tidak baik boleh menjejaskan akidah dan keimanan
5. Sentiasalah berhati-hati ketika bertutur.

Wallahu aalam.

May 13, 2009

KELEBIHAN SOLAT



MALAM: SIKAP TIGA GOLONGAN MANUSIA

Ibnu Mas’ud r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Menjelangnya waktu solat, satu malaikat ditugaskan menyeru,


”Hai anak Adam! Bangunlah dan padamkalah api yang sedang kamu nyalakan untuk membakar dirimu.’

Maka manusia pun bangun, berwudhuk dan solat Zuhur. Ini menyebabkan dosa-dosa yang dilakukannya sejak matahari terbit, terampun. Demikianlah diulangi pula pada waktu Asar, Maghrib dan Isya’. Selepas Isya’ orang tidur, tetapi ada setengahnya sibuk mengerjakan kebaikan dan yang lainnya sibuk mengerjakan maksiat.’
Riwayat At Tabarani

Hadith ini menceritakan perihal seruan malaikat kepada manusia ketika hampirnya masuk waktu solat. Seruan tersebut adalah sebagai peringatan dan amaran kepada makhluk manusia iaitu sudah sampai masanya untuk mengabdikan diri kepada Allah melalui perintah solat.

Apabila sampai masuk waktu solat, maka tidak ada pekerjaan yang paling mulia disisi Allah kecuali menuanikan solat.

Dalam hadith-hadith yang lain Rasulullah pernah menegaskan bahawa menunaikan solat pada awal waktunya adalah sebaik-baik amal orang beriman.

Kata Salman r.a., selepas Isya’ manusia terbagi kepada tiga golongan: Bagi satu golongan, malam itu sumber kebajikan dan keuntungan kepadanya. Mereka menghabiskan malam dengan menyembah Allah s.w.t. sedang yang lain nyenyak tidur. Merekalah yang mendapat ganjaran berlipat ganda di akhirat kelak.

Dan setengah golongan yang lain lagi, malam menjadi kutukan baginya kerana mereka melakukan berbagai maksiat sepanjang malam. Mereka menghabiskan malam dengan bersukaria, berpoya-poya, berjudi, berzina, minum arak, merompak menyamun dan seribu satu maksiat yang lain. Oleh kerana itu malam mendatangkan bencana kepada mereka.

Dan bagi setengah golongan yang ketiga, malam hanya semata-mata untuk mereka tidur sahaja, dengan pelbagai mimpi enak atau yang ngeri. Mereka hanya menghabiskan masa malam diatas katil empuk atau digubuk buruk, malah tidak kurang pula yang lena di kaki lima jalan. Mereka ini tidak mendapat faedah sedikit pun. Sama ada di dunia mahupun di akhirat.

PENGAJARAN

- Sembahyang lima waktu adalah salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan
- Sembahyang adalah ibarat tiang agama seperti yang telah dinyatakan di dalam beberapa hadith
- Sembahyang hendaklah ditunaikan segera pada awal wakatunya.
- Melengah-lengahkan masa menunaikan sembahyang menyebabkan seseorang menjadi lalai dari melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.
- Sembahyang adalah salah satu cara untuk bertaubat dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.

Wallahu Aalam.

May 12, 2009

TERSUNGKUR ANGKARA LIDAH

PINTU KEBAJIKAN

Dari Mu’az, katanya,

‘Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

‘Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku tentang amalan yang membawaku masuk ke syurga dan menjauhkan daku dari neraka?

Baginda bersabda,

‘Sesungguhnya kamu telah menanyakan suatu yang hebat, sesungguhnya ia adalah mudah bagi orang yang mendapat kemudahan dari Allah Taala. Beribadatlah hanya kepada Allah dan jangan sekutukanNya. Kamu dirikan sembahyang, puasa Ramadhan, tunaikan haji ke Baitullah.

Kemudian Baginda menyambung,

‘Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan?

Katanya,

‘Puasa adalah perisai, sedekah itu memadamkan kejahatan sebagaimana air memadamkan api, dan solat seseorang itu di tengah malam.

Kemudian Baginda membaca ayat sajdah Surah Sajdah ayat 16-17. Kemudian berkata,

‘Mahukah kamu aku beritahukan tentang pokok suatu perkara, tiangnya dan kemuncaknya. Aku menjawab, ‘Iya, ya Rasulullah’.

Sabda Baginda,

‘Dasar suatu perkara ialah Islam, tiang-tiangnya solat, dan kemuncaknya adalah jihad.

Kemudian Baginda bertanya,

‘Mahukah kamu aku beritahukan tunggak kesemuanya itu? Aku menjawab, ‘Iya ya Rasulullah.’

Maka Baginda memegang lidahnya, kemudian bersabda,

‘Peliharalah ini atasmu’.

Aku berkata,

‘Wahai Rasulullah apakah kami akan diseksa dengan sebab apa yang kami ucapkan dengan lidah?

Rasulullah s.a.w. menjawab,

‘Ibumu kehilanganmu. Tiada orang yang tersungkur mukanya ke dalam api neraka melainkan adalah kerana tutur kata dari lidahnya.

’ (Riwayat Termizi - al azkar 664)

May 11, 2009

MENGAPA DOA TIDAK DIMAKBULKAN


SERING manusia mengeluh kerana doanya tidak dimakbulkan Tuhan. Tetapi manusia lupa melihat ke dalam dirinya, mengapa doanya tidak ‘mujarrab’. Perhatikan dan renunglah hadith selanjutnya.

Dari Abu Hurairah r.a.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Sesungguhnya Allah Taala itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang beriman seperti apa
yanag diperintahkanNya kepada para Rasul. Maka Allah berfirman kepada para Rasul. ‘Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah amalan yang baik.’

Dan Ia berfirman lagi,

‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari segala yang baik-baik yang telah direzekikan kepada kamu’.

Kemudian baginda menyebutkan kisah seorang lelaki yang jauh perjalanan yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya, menghulurkan dua tangannya ke langit dan berdoa. ‘Hai tuhanku’. Padahal makanannya haram, mulutnya disumbat dengan yang haram, tempat tinggalnya haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan doanya?

(Hadith riewayat Muslim).

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa makanan yang haram, tempat tinggal atau rumah yang haram dan pakaian yang haram boleh menjejaskan doa seseorang. Doanya tidak diterima Allah.

May 10, 2009

MENGHAPUS KEJAHATAN

FADILAT KALIMAH TAIYIBAH

Abu Zar Al Gifari r.a. meriwayatkan, beliau berkata,

‘Ya Rasulullah, Nasihatkanlah aku,’

Lantas Baginda s.a.w, bersabda,

‘Apabila kamu telah mengerjakan sesuatu kejahatan maka segerakanlah melakukan perkara kebajikan, nescaya kejahatan itu akan terhapus.’

Abu Zar Al Ghifari bertanya, ‘Ya Rasulullah, bacaan La ilah Illal lah itu adakah termasuk dalam kebajikan?

Baginda bersabda,
‘Ia adalah kebaikan yang terlebih afdhal.

(Riwayat Ahmad)

Fadhail a’amal –

MENGURUS MASA

PUNCA GAGAL MERANCANG

Dari Abdullah bin Umar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda,

‘Jadikanlah dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang dagang bahkan seolah-olah orang perantau (musafir).

Semenjak itu Ibn Umar (Abdullah) selalu berkata, ‘Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau tunggu datangnya waktu petang. Dan ambillah peluang dari kesihatanmu itu membuat amal untuk masa sakitmu dan peluang masa hidupmu berbekal untuk matimu.’
(Riwayat Bukhari) mustika 434


Dari Amru bin Maimun Al Audi r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda menasihati seorang lelaki, ‘Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara yang lain:

Mudamu sebelum datang masa tuamu
Sihatmu sebelum datang masa sakitmu
Kayamu sebelum datang masa miskinmu
Lapang sebelum datang masa sibuk
Hidupmu sebelum datang maut.
(Riwayat Termizi)

Kedua-dua hadith ini adalah mengajar manusia mengenai pengurusan masa. Masa yang diberi oleh Allah s.w.t. kepada manusia tidak wajar dipersia-siakan.

Allah memberi tiap orang masa yang mencukupi. Kerana gagal merancang penggunaan masa, maka manusia selalu mengeluh ‘Tak Cukup masa.’ Tak Sempat atau kata-kata yang menunjukkan gagal mengurus masa.

Suka bertangguh pula adalah suatu tabiat buruk yang menyebabkan manusia gagal dalam banyak perkara.



FADILAT KALIMAH TAIYIBAH

MENGHAPUS KEJAHATAN


Abu Zar Al Gifari r.a. meriwayatkan, beliau berkata,

‘Ya Rasulullah, Nasihatkanlah aku,’

Lantas Baginda s.a.w, bersabda,

‘Apabila kamu telah mengerjakan sesuatu kejahatan maka segerakanlah melakukan perkara kebajikan, nescaya kejahatan itu akan terhapus.’

Abu Zar Al Ghifari bertanya, ‘Ya Rasulullah, bacaan La ilah Illal lah itu adakah termasuk dalam kebajikan?

Baginda bersabda,
‘Ia adalah kebaikan yang terlebih afdhal.

(Riwayat Ahmad)

Fadhail a’amal –

May 9, 2009

FANTASIA DUNIA

FANTASIA DUNIA

PANJANG ANGAN-ANGANDari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda,‘Hati orang tua sentiasa muda dalam dua perkara: cinta dunia dan panjang angan-angan.(Riwayat Bukhari)


Anas bin Malilk r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,

‘Anak Adam membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara: sayangkan harta dan ingin panjang umur.

Riwayat Bukhari.

Seseorang itu umurnya semakin meningkat. Dalam masa yang sama dua perkara iaitu cinta harta dan inginkan panjang umur bertambah subur dalam dirinya.

Jika diperhatikan seseorang itu tidak seimbang antara umur dan tingkah lakunya. Ada orang yang sudah tua, tetapi kelakuannya seperti anak remaja.

Malah ada juga yang sudah sampai ke peringkat ‘bangka’ namun tindak tanduknya tidak menggambarkan yang dia sudah berumur.

Mengenai harta pula, walaupun seseorang itu sudah melangkah ke usia emas, namun masih kedekut bakhil bersedekah dan mendermakan hartanya untuk bekal akhirat.

Tentang hal dunia pula ada sebahagian manusia, masih leka dengan fantasia dan gemerlapan lampu-lampu walaupun usia semakin lanjut. Mereka masih gemar berhibur dan melihat acara-acara hiburan, secara langsung atau melalui media TV dan seumpamanya.

Wallahu ‘aalam

May 8, 2009

RUMAH YANG TENANG

Uqbah bin Amir berkata,
‘Aku bertanya ‘Wahai Rasulullah, apakah keselamatan itu?

Baginda menjawab,

‘Peliharalah lidahmu (dari sebarang yang memudaratkanmu), hendaklah rumahmu mendatangkan ketenangan padamu, dan tangisilah kesalahanmu.
(Riwayat Termizi – Al Azkar 663)


Maksud pertanyaan Uqbah selamat itu ialah selamat di dunia dan selamat di akhirat. Maka Rasulullah s.w.a. menyatakan bahawa selamat adalah untuk kedua-duanya sekali.


Hendak selamat di dunia maka jagalah lidah. Lidah yang menyebabkan manusia rosak. Pepatah Melayu banyak menyebut tentang bencana lildah. Lidah bercabang bagi orang yang engkar janji. Lidah tidak bertulang bagi orang yang suka mempermainkan kata-kata.

Kerana lidah badan binasa.

Kerana lidah juga manusia terseret ke neraka.


Mu’az bin Jabal pernah bertanya kepada Rasulullah,

‘Adakah apa-apa yang kami ucapkan diambil kira dan diberi pembalasan?

Rasulullah menjawab,

‘Ibumu kehilanganmu. Tiada orang yang tersungkur mukanya ke dalam api neraka melainkan adalah kerana tutur kata dari lidahnya.’

(Riwayat Termizi - al azkar 664)

Rumahtangga adalah tempat mencari ketenangan. Itu yang dinyatakan oleh Rasulullah kepada Uqbah. Malah Baginda pernah menganggap tempat tinggalnya sebagai ‘Rumahku Syurgaku’.

Jika rumah tidak mendatangkan ketenangan kepada penghuninya maka kembalilah ke pangkal jalan iaitu syariat dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Hindarilah sebarang perbuatan maksiat di dalamnya.
Banyakkan zikir dan tilawah Al Quran.
Hidupkan sunnah dan amalkan cara hidup berjamaah menurut Islam.,

Terakhir yang dipesan oleh Rasulullah kepada Uqbah ialah supaya menangisi akan sebarang kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan.

Mafhumnya. untuk menimbulkan penyesalan terhadap sebarang kesalahan atau maksiat yang dilakukan, hendaklah ia ditangisi. Kerana dengan menangis, keinsafan akan lebih mendalam. Dengan itu timbul keinginan yang bersungguh-sungguh untuk taubat kepada Allah s.w.t.

JALAN KE SYURGA

Pintu kebajikan


Dari Mu’az katanya, ‘Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,

‘Wahai Rasulullah, beritahukan kepadaku tentang amalan yang membawaku masuk ke syurga dan menjauhkan daku dari neraka?

Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya kamu telah menanyakan suatu yang hebat. Sesungguhnya ia adalah mudah bagi orang yang mendapat kemudahan dari Allah Taala. Beribadatlah hanya kepada Allah dan jangan sekutukanNya. Kamu dirikan sembahyang, puasa Ramadhan, tunaikan haji ke Baitullah.

Kemudian baginda menyambung, ‘Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebajikan?

Katanya, ‘Puasa adalah perisai, sedekah itu memadamkan kejahatan sebagaimana air memadamkan api, dan solat seseorang itu di tengah malam.
Kemudian baginda membaca ayat sajdah (Surah Sajdah ayat 16-17).

Kemudian berkata, ‘Mahukah kamu aku beritahukan tentang pokok suatu perkara, tiangnya dan kemuncaknya.

Aku menjawab, ‘Iya, ya Rasulullah’.

Sabda Baginda, ‘Dasar suatu perkara ialah Islam, tiang-tiangnya solat, dan kemuncaknya adalah jihad.

Kemudian baginda bertanya, ‘Mahukah kamu aku beritahukan tunggak kesemuanya itu?

Aku menjawab, ‘Iya ya Rasulullah.

Maka baginda memegang lidahnya, kemudian bersabda,
‘Peliharalah ini atasmu’.

Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, apakah kami akan diseksa dengan sebab apa yang kami ucapkan dengan lidah.’

Rasulullah menjawab, ‘Ibumu kehilanganmu. Tiada orang yang tersungkur mukanya ke dalam api neraka melainkan adalah kerana tutur kata dari lidahnya.’

(Riwayat Termizi - al azkar 664)

Dalam hadith ini Rasulullah menerangkan bahawa jalan yang boleh membawa seseorang ke syurga ialah:

1- berbadat dengan ikhlas kepada Allah s.w.t.
2- tidak menyengutukan Allah
3- menunaikan rukun-rukun Islam yang lima
1- puasa sunat, bersedekah dan sembahyang malam
2- berjihad.

Baginda juga menyebutkan perkara-perkara yang mesti dielakkan supaya dijauhi dari api neraka.
1- Tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu
2- Mengawal lidah dari kata-kata yang membawa dosa.