P

March 31, 2009

APABILA MATI ANAK ADAM

BERAMAL SEMASA HIDUP

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,

‘Apabila mati seseorang anak Adam, putuslah pahala amalannya, kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat atau anak yang saleh yang mendoakannya.
(Riwayat Imam Ahmad)

Manusia selepas Nabi Adam disebut sebagai ‘anak adam’. Ini sebagai satu penghormatan kepadanya.

Setiap perbuatan manusia diberi ganjaran atau balasan. Perbuatan baik diberi balasan baik dan perbuatan jahat akan diberi balasan jahat. Semasa manusia itu hidup, peluang melakukan kebaikan dan kebajikan adalah luas. Amal perbuatannya, yang baik dan yang jahat, dicatit oleh dua malaikat: Atid dan Raqib.

Apabila dia mati, maka habislah tempoh dan peluang untuknya berbuat kebajikan. Tidak ada peluang dia mendapat pahala kecuali dengan tiga perkara.

Pertama, dia masih mendapat pahala hasil dari perbuatannya bersedekah jariah semasa dia hidup. Sedekah jariah ialah sedekah yang berkekalan. Misalnya dia mewakafkan tanah untuk didirikan masjid atau lain-lain kegunaan umat Islam.

Kedua, dia masih mendapat pahala hasil dari ilmu yang baik yang diajarkannya kepada orang lain sewaktu dia hidup dahulu.

Ketiga, dia masih mendapat pahala dari anak-anaknya yang saleh yang mendoakan dirinya.

PENGAJARAN

* Setiap yang bernyawa pasti akan mati.
* Apabila manusia mati, tidak ada peluang untuknya berbuat amal.
* Apabila manusia mati, dia masih mendapat pahala melalui tiga perkara: sedekah jariah semasa hidup, ilmu bermanfaat yang dijarkannya dan doa dari anak-anak yang soleh.
* Semasa hidup hendaklah memperbanyak amal.
* Anak hendaklah dididik menjadi anak yang saleh supaya mendoakan ibu bapanya.

March 4, 2009

IKHLAS DALAM IBADAT

LURUS NIAT KERANA ALLAH

Dalam setiap amal ibadat, ikhlaskan hati bahawa semuanya adalah untuk dan kerana Allah semata-mata.
Hadis berikut mengisahkan kesan dari amal perbuatan seseorang yang dilakukan hanya untuk tujuan duniawi.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya,
'Sesungguhnya di antara yang mula-mula dibicarakan pada hari kiamat kelak ialah orang yang gugur syahid. Dia dibawa menghadap Allah s.w.t. Maka Allah menyatakan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada orang itu.
Maka orang itu mengakui telah menerimanya. Kemudian Allah bertanya kepdanya, 'Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?

Jawab orang itu, 'Aku berperang kerana mematuhi perintahMu hingga aku gugur mati syahid.'
Allah berfirman, 'Engkau berdusta. Engkau berperang supaya mendapat gelaran 'gagah berani'. Dan engkau telah pun mendapat gelaran demikian.
Kemudian dia dihukum dan diseret dalam keadaan tertiarap. Lalu dihumban ke dalam neraka.

Orang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca Al Quran, dipanggil pula menghadap Allah s.w.t. Allah menyatakan tentang segala nikmat yang telah diberikan kepadanya. Dia mengakui telah menerima nikmat-nikmat itu.
Allah bertanya kepadanya, 'Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?

Maka jawabnya, 'Aku mempelajari ilmu dan mengajarkannya, serta membaca Al Quran kerana meangharapkan keredhaanMu.'
Allah berfirman, 'Engkau berdusta, engkau mempelajari ilmu dengan tujuan supaya orang mengatakan engkau itu 'orang alim'. Engkau mempelajari dan membaca Al Quran dengan tujuan supaya orang mengatakan engkau 'Qari'. Dan engkau telah pun mendapat gelaran itu.'

Kemudian dia dihukum. Lalu diseret dengan keadaan tertiarap dan dihumban ke dalam neraka.

Orang yang dimewahkan oleh Allah dengan berbagai harta kekayaan, dibawa menghadap Allah s.w.t. Allah menyatakan nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan kepadanya. Lalu dia mengakui telah menerimanya.
Allah bertanya kepadanya, 'Apa yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?

Maka jawabnya, 'Segala jalan yang Engkau sukai telah aku belanjakan untuknya?

Allah berfirman, 'Engkau berdusta. Tetapi engkau belanjakan kekayaanmu dengan tujuan supaya orang mengatakan 'engkau orang dermawan'. Engkau telah mendapat gelaran itu.'

Kemudian dia di hukum. Lalu diseret dengan keadaan tertiarap dan dihumban ke dalam neraka.
Hadith riwayat Muslilm, Tirmizi dan An Nassai.

March 3, 2009

EMPAT SOALAN DI AKHIRAT

Empat persoalan besar di Hari Perbicaraan Padang Mahsyar kelak ialah mengenai usia, ilmu, harta dan kesihatan fizikal.

Dari Abu Barzah Al Aslami r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda,
'Tidak akan berganjak kedua kaki seseorang pada hari kiamat sehingga ia selesai ditanya tentang umurnya: kemana dihabiskannya. Tentang ilmunya, untuk apa digunakannya. Tentang hartanya, dari mana di dapati dan kemana dibelanjakannya. Tentang tubuh badannya, untuk apa ia di susutkan.
- Hadith rieayat Tirmizi.

Hadith ini menggambarkan perbicaraan yang akan dihadapi oleh setiap manusia di hari akhirat kelak. Pokok persoalan adalah sekitar amal perbuatan semasa hidup di dunia. Ia merangkumi soal jangka hayat atau umur, untuk apa ia telah dihabiskan.

Akan dihisab dan ditanyakan tentang ilmu-ilmu yang dituntut dan untuk apakah ilmu itu digunakan?

Tentang harta benda milik seseorang juga akan ditanya. Dari mana ia diperolehi, sama ada secara sah halal atau secara haram. Kemanakah ia dibelanjakan?

Ke jalan yang halal atau ke arah yang haram dan maksiat.

Tubuh badan yang sihat pula adalah anugerah dari Allah s.w.t.
Untuk apakah ia digunakan sehingga ia jadi susut?
Adakah digunakan untuk melakukan amal ibadat atau untuk tunjuan memperagakan kepada manusia lain bagi mendapat pujian dan sanjungan.
Atau adakah ia hanya untuk tujuan sesuka hati, hiburan dan mendatangkan kemaksiatan.

PENGAJARAN
1. Setiap amal perbutan akan diperhitung dan dihisab di hari kiamat
2. Umur yang diberi Allah adalah suatu kerniaan dan hendaklah dipenuhi dengan amalan yang diridhaiNya.
3. Ilmu yang agama hendaklah dituntut dan disampaikan kepada orang lain.
4. Mencari nafkah yang halal adalah wajib, dan hendaklah membelanjakannya di jalan Allah.
5. Kesihatan tubuh badan rahmat dari Allah. Hendaklah dipergunakan untuk beramal dan mencari keridhaanNya.

March 2, 2009

RENDAHKAN SUARA ZIKIR

BERZIKIR adalah sebagai dari doa kepada Allah. Mafhumnya melalui zikir itu kita berdoa kepada Allah s.w.t.

Berdoa maknanya memohon atau meminta.
Munasabahkah kita meminta atau memohon dengan suara tinggi, suara garang atau suara kasar.

Memohon ertinya kita yang lemah meminta dari yang Maha Kuasa. Patutkah kita kuatkan suara seperti membentak dan menherdik?
Al Quran mengajarkan kita bagaimana berdoa. Firman Allah dalam surah Al Aaraf ayat 55,

'Berdoalah kepada Tuahanmu dengan rendah hati dan suara lembut.'

Dalam surah Al Anbiya pula di jelaskan,

'Sesungguhnya mereka adalah kaum yang selalu bersegera membuat kebajikan dan berdoa kepada kami dengan harap dan takut. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.'
Al Anbiya 90.

Pada ayat lain Allah berfirman,

'Dan sebutlah (zikir) nama Tuhanmu dalam dirimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan suara yang tidak keras diwaktu pagi dan petang.
Al Aaraf 205.
- Al Azkar Iman An Nawawi,

Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

March 1, 2009

ZIKIR LEPAS SOLAT

TASBIH TAHMID DAN TAKBIR menghapus kesalahan walau sebanyak buih

Berbagai jalan umat Islam boleh berusaha untuk mendapat keampunan dari Allah s.w.t. Sifat Allah adalah Maha Pengampun.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
DOSA DIAMPUNI WALAU SEBANYAK BUIH


'Barangsiapa bertasbih kepada Allah pada setiap selesai solat tiga puluh tiga kali, bertahmid tiga puluh tiga kali, bertakbir kepada Allah tiga puluh tiga kali dan mengucapkan la ilaha illalllah lahul mulk wa lahul hamd wa hua ala kulli syain qadir, jadi genap seratus, maka diampuni segala kesalahannya walupun sebanyak buih di laut. (Riwayat Muslim - Kitab Al Azkar Imam Nawawi).

Ucapan tasbih ialah lafaz subhanallah. Ucapan tahmid ialah Alhamdulillah dan ucapan takbir ialah Allahu Akbar.

Dosa yang tidak diampun ialah syirik kepada Allah.